Tuesday, November 9, 2010

Yang Silap Pastinya Kita, Yang Benar Semuanya Dia.

http://kerajaanrakyat.blogspot.com

Merah, Biru, Putih. Cantik!!!

Apa saja yang ditulis para blogger pastinya betul jika berita/ceritanya mengangkat nama dan menjulang tinggi martabat pemimpin PKR.

Apa saja yang ditulis para blogger pastinya betul jika berita/ceritanya menghamput nama dan menginjak hina maruah dan jasa pemimpin Umno.

Saya tidak pernah minum bersama Zaid Ibrahim tetapi saya pernah makan semeja dengan Azmin Ali. Saya tidak pernah bersalam dengan Najib Razak tetapi saya kerap bersalaman, malah berpelukan dengan Anwar Ibrahim. Saya pernah ke pejabat Perdana Menteri tetapi saya selalu di pejabat Ketua Pembangkang. Saya tidak ambil pot jika ada pelawaan untuk menghadiri majlis oleh pemimpin Umno tetapi saya pasti akan usahakan untuk bersama dalam majlis bersama pemimpin PKR.

Seingat saya, semasa saya rajin bersama rakan-rakan Umno Johor (sebelum 1998) saya juga amat kritikal dalam perbincangan. Malahan dalam banyak hal, bangkangan saya jauh lebih keras dan kasar dalam menyampaikan ketidakpuasan hati. Kalau sekarang saya hanya dapat berjumpa dan bicara dengan pemimpin PKR dalam majlis yang dijemput, dengan pemimpin Umno, saya boleh berborak panjang di ruang tamu rumah mereka, ikut masa saya!

Demi mengharapkan suatu perubahan, saya memilih untuk tidak bersama rakan-rakan yang masih di dalam Umno. Saya memandang PKR dan Pakatan Rakyat sebagai wadah perjuangan yang awal anggapan dapat mengangkat kembali maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.

Sekitar tahun 2003, dalam satu perjumpaan santai dengan Khaled Nordin (Dato' Sri) pernah saya dinasihatkan, "engkau jangan tersilap catur". Saya bertegas menyatakan pandangan dan fahaman saya betul. Saya bertegas menyatakan Anwar dan wadah perjuangannya wajar disokong. January 2010 lalu, Khaled telephone saya dan bertanya khabar, "Fi, apa khabar dengan wadah perjuangan kau?" Saya tidak jawab dan membawanya kepada topik lain. Saya sedar, dia memperli saya. Saya juga sedar, dia amat arif apa yang berlaku dalam PKR. Saya tidak mengalah dan detik hati mengatakan, mungkin Khaled yang yang silap. Tetapi.... !!!

Satu malam, sekitar bulan Ramadhan lalu di Puchong, saya berkesempatan untuk minum tea dan pekena roti canai dengan YB Marsom Paing (ADUN Dengkil, Selangor). Bersama lima rakan lain, kami bersembang tanpa menyentuh sedikitpun hal politik kepartian. Sembangan kami hanya menjurus kepada hal kemasyarakatan dan sedikit hal agama. Nyaman sembang kami. Topik kami berkisar tentang isu tol yang berselerak disetiap penjuru Puchong. Kami menganyam isu pasir yang masih tersembunyi. Kami berseloroh hal ada pemimpin yang bukan hanya takutkan isteri malah menjadi isteri kepada isteri.

Dalam seminggu dua ini, saya titipkan hal parti dokongan saya, PKR. Saya menegur, malah memarahi anak saya kerna saya menyayangi mereka. Saya juga mengkritik, malah bertengkar dalam beberapa hal berkaitan Umno satu ketika dulu kerna saya pernah sayangkan Umno. Maka, saya juga mengkritik, menegur dan membidas cara dan kaedah pengurusan dalam beberapa arena kepimpinan PKR kerna saya sayangkan PKR. Malangnya, kritikan dianggap hinaan. Bidasan dinilai sebagai cacian. Teguran dipandang sinis.

Silapnya saya kerna saya terlupa, "Apa saja yang ditulis para blogger pastinya betul jika berita/ceritanya mengangkat nama dan menjulang tinggi martabat pemimpin PKR."
Posted by AlKundangi at 9:28 AM 0 comments
Labels: pandangan blogger
Pemilihan PKR: Zaib Ibrahim Tarik Diri

A Kadir Jasin


[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

RINGKAS sahaja. Hendak maklumkan kepada pembahas dan pembaca blog (kalau belum) bahawa Mohd Zaid Ibrahim, pengerusi perhubungan PKR Wilayah Persekutuan dan bekas Menteri Kabinet Abdullah Ahmad Badawi telah menarik diri daripada pertandingan Timbalan Presiden PKR yang berlangsung sekarang.

Portal berita Malaysian Insider memetik Zaid, sebagai barkata: “Saya ingin mengumumkan keputusan saya menarik diri daripada sebagai salah seorang calon yang bertanding jawatan timbalan presiden PKR dan kesemua jawatan yang dipegang dalam parti.”

Dia berkata demikian dalam posting terbaru blognya awal pagi ini.

Malaysian Insider berkata, Zaid menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden berikutan dakwaan pemilihan kepemimpinan parti itu telah dicemari dan tidak telus.

Zaid dilaporkan berkata, dia mengambil keputusan itu kerana tiada usaha di kalangan pucuk kepimpinan parti untuk menangani pelbagai isu manipulasi dan amalan-amalan pemilihan tidak adil meskipun isu terbabit telah dibangkitkan berulang kali.

Menurut Malaysian Insider lagi, selepas 87 cabang telah menyelesaikan proses pengundian, Azmin (Ali) berada jauh di depan khususnya selepas pemilihan cabang-cabang Sabah kelmarin dan semalam.

Saya tidak mahu tambah apa-apa sebab saya kenal siapa Zaid sejak dia menjadi peguam kepada Renong/UEM pada tahun 1980an dan kemudian cergas dalam Umno hingga menjadi Ahli Parlimen Kota Baru dan kemudian menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden Umno, tetapi gagal mendapat pencalonan yang mencukupi.

Selain itu, saya juga tidak mahu bercakap banyak sebab kes saman Zaid terhadap saya berikutan tulisan saya dalam blog ini berada di mahkamah.

Jadi, saya harap Saudara dan Saudari pun berhati-hatilah. Tolong saya. Bukan mudah dan bukan murah kena saman oleh peguam dan politikus macam Mohd Zaid.

Sekarang ini politikus di negara kita, tak kira di pihak kerajaan atau pembangkang, cepat menggunakan undang-undang dan saman ke atas blogger dan pembahas blog. Jadi, berhati-hatilah.


PRK: BN Menyerlah Tapi PM Masuk Hospital
A Kadir Jasin



Secara ringkas, reaksi saya adalah seperti berikut:

1. Kemenangan besar Barisan Nasional di kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah membayangkan kesepaduan BN negeri, simpati pengundi terhadap calonnya, kerana kematian suaminya yang berupa Ahli Parlimen kawasan itu dan undi pembangkang yang berpecah antara PKR dan SAPP;

2. Kejayaan BN merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri Galas, Kelantan, adalah berpunca daripada:

i. Ketepatan lantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya BN;

ii. Dengan ekonomi rakyat jelata semakin tidak menentu dan kos sara hidup semakin meningkat, janji pembangunan dan bantuan kewangan oleh BN mengatasi pertimbangan ideologi dan emosi;

iii. BN/Umno juga mendapat faedah daripada masalah dalaman Pas. Walaupun Nik Abdul Aziz Nik Mat terus karismatik di kalangan akar umbi Pas, namun peranannya sebagai ketua pentadbir Kelantan dan ketua Pas negeri semakin dipertikaikan;

iv. Ada kebenaran kepada tanggapan bahawa kepemimpinan Pas Kelantan tidak (atau belum) menampakkan barisan pewarisan yang jelas. Terdapat andaian wujudnya persaingan hebat antara golongan konservatif dan progresif dalam kepemimpinan Pas Kelantan;

v. Pas menanggung beban yang berat mempertahankan perkongsian kuasa dengan DAP dan PKR yang memperjuangkan sekularisme dan secara terbuka menolak konsep Negara Islam dan Hukum Hudud Pas;

vi. Dalam jangka masa sederhana – sehingga pilihan raya umum akan datang – BN mempunyai peluang lebih cerah memperkukuhkan kedudukannya jika ia berjaya membawa perubahan positif kepada taraf ekonomi dan sosial rakyat jelata seperti dijanjikannya di bawah pelbagai slogan, model, program dan projek; dan

vii. Tetapi jika BN agal melaksanakan ikrar-ikrar ini, sebaliknya menjadi angkuh, terus memandang remeh korupsi dan tidak membuat pembaharuan kepemimpinan, pengundi akan menghukumnya dengan lebih teruk pada PRU akan datang, apatah lagi dengan bertambahnya bilangan pemilih muda.

[Posting Asal]



HARI ini perayaan Deepavali atau Divali. Zaman saya jadi pengarang di New Straits Times Press dulu, kita terbitkan akbar 365 hari setahun. Tak boleh jual banyak pada cuti umum, kita jual sedikit. Peranan akhbar untuk memberi maklumat tetap dilaksanakan.

Sekarang cuti umum akhbar tutup kedai. Nasib baik ada radio, TV dan pada akhir-akhir ini Internet. Jadi yang ada radio, TV dan Internet tak putus berita. Bayangkan selepas lebih 50 tahun merdeka, pengedaran akhbar masih dimonopoli oleh kaum India. Mereka mahu cuti atau mogok, akhbar tak boleh diedarkan.

Malaysia kita ni dah jadi negara cuti -- negara siasta. Banyak sangat cuti sampai dah mula jejas produktiviti. Kalau nak tahu jadilah majikan. Gaji pekerja jalan, tapi tak dapat penghasilan. Lepas tu kena bayar kerja lebih masa pula untuk kejar deadline.

Antara maklumat yang kita hendak tahu hari ini adalah keputusan pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah dan Dewan Undangan Negeri Galas, Kelantan. Barisan Nasional menang kedua-duanya.

Di Batu Sapi, calon Barisan Nasional, Linda Tsen Thau Lin mengekalkan kerusi itu dengan kelebihan suara 6,359 setelah mendapat 9,773 undi. Beliau mengalahkan calon PKR, Ansari Abdullah yang memperoleh 3,414 undi dan calon SAPP, Yong Teck Lee yang mendapat 2,031 undi.

Manakala di Galas, BN merampas semula kerusi itu daripada Pas dengan kelebihan undi 1,190 undi. Calonnya Abdul Aziz Yusof mendapat 5,324 undi manakala calon Pas Dr Zulkefli Mohamed memperoleh 4,134 undi.

Sementara itu, Bernama melaporkan yang Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur malam tadi setelah bersungut sakit perut.

Pemeriksaan mendapati beliau menderita “superficial ulcers” dan gastrik ringan. Respons kepada perubatan adalah baik dan beliau dijangka berada di hospital beberapa hari. Sebelum ini beliau bercuti kerana deman campak (chicken pox).

Kita harap beliau makan ubat betul-betul seperti diarahkan doktor dan jangan tersalah makan. Bila dah berusia ni, kita kena jaga makan. Tanya dulu apa yang orang jamu. Saya dah lama tak makan melulu.

Saya sikit-sikit tahulah sebab saya pun ada “mild gastrics”. Semalam perut meragam. Saya kunyah pucuk jambu batu, Alhamdulillah baik. Pucuk jambu batu baik untuk ceret-beret.

kadirjasin.blogspot.com
Posted by AlKundangi at 9:18 AM 0 comments
Kenapa Tengku Razaleigh
Berterima Kasih Kepada Pas?

[kemaskini] NAMPAKNYA para pemerhati politik dan bloger yang bersimpati dengan Pas (atau yang pengulik kepada indvidu tertentu) masih terus meracau dan mencari sebab musabab kenapa Pas tewas parah di Galas. Dengan menolak takdir itu juga disebabkan perbuatan manusia juga, wajar kalau mereka mencari di manakah kesilapan Pas. Usah dilihat kepada kekekutan BN tetapi cubalah menyelami kesalahan diri sendiri. Tragedi yang berlaku itu adalah kombinasi antara kelemahan diri dengan kekuatan musuh.

Jadilah manusia yang bersikap tasamuh.

Ada macam-macam yang digali dan diselidiki sehingga ada yang tersasar jauh sampai menjamah jemboran tidak berair. Kerana kurang berhati-hati dan mungkin juga kerana diulik perasaan dengki dan marah, maka dicakar kepada orang-orang tertentu. Segala penyakit lama dikait dan dihimpunkkan dan dicampakkan di Galas untuk membusukkan orang-orang tertentu. Janganlah begitu, tidak baik. Itu juga sebahagian kerja syaitan.

Tuhan memesankan kepada kita, supaya berikhtiar kemudian bertakwa. Berbaik sangkalah kamu sesama kamu dan diminta bertasbeh dan bersyukur. Saya yakin kalau mereka yang berminat nak mencari di mana sebab musabab atau suis kekalahan Pas ia akan ditemui. Carilah dengan hakikat bukannya dengan ilusi dan bayang-bayangan.

Carilah... bagi saya, seperti saya katakan, saya membuat ulasan dan meletakkan kesalahan kepada apa yang dapat dilihat, dapat dirasa dan dihayati sendiri. Yang kita tahu. Sedikit-sedikit didengar. Kandatipun ada lagi sebab-sebab ghaib yang sukar untuk dihuraikan. Bukan sukar kalau dihuraikan tetapi untuk tidak menimbulkan masalah kerana ia menyentuh soal hidup dan aspirasi politik orang lain, elak tangguhkan dulu.

Marilah kita sama-sama mencari dan menggalinya tanpa 'melesetkan' (melumurkan) najis fitnah kepada sesiapa. Sekiranya kita menemui suis dan rahsia itu, apakah ianya wajar atau sebaliknya sama-sama kita fikirkan? Apakah strategi itu silap dan dianggap memakan diri sendiri? Politik adalah penyelesaian masalah ummah dan bukannya penimbul masalah kepada ummah. Tidak ada ertinya politik kalau ia boleh menyusah dan memperpanjangkan masalah ummah.

Saya yakin apa jua tindakan baik di sebelah kiri atau kanan ,tujuannya sama untuk menyelesaikan masalah ummah. Apa juga strategi diambil untuk kemenangan Pas. Dalam konteks Galas untuk kemenangan rakyat. Adalah celaka ahli politik yang berstrategi dengan niat kalau untuk menjahamkan negeri dan menyusahkan rakyat. Pemimpin yang sedemikian sejahat-jahat pemimpin wajar disalit di pohon balak.

Jadi kepada pencari jawaban kepada kekalahan Pas hendaklah bertenang dan menbeleknya dengan baik. Jangan berprangsangka, apa lagi kalau cuba menarik kambing-kambing putih untuk dijadikan kambing hitam bagi menjustifikasi kekalahan itu. Berdosa dan dimurkai Tuhan. Ini bukan masanya untuk melakukan korban, ingat kepada 'kenduri' di hapan masih besar dan memerlukan pengorbanan dan bukan melakukan korban.

Sekiranya apa yang saya ketahui ini jawaban kepada persoalan itu, atau menjadi punca kepada kekalahan itu maka bolehlah didedahkan agar tidak menimbulkan ruang fitnah kepada orang lain dan demi menyelamatkan orang lain juga tidak tersalut dengan darah merah fitnah. Pendedahan itu rasanya tidak elak di ruang terbuka. Sesiapa berminat bolehlah bertemu secara peribadi dengan saya bukan saja demi mengetahuinya tetapi mengkaji sejauh manakah kebijaksanaan asas strategi itu.

Tengku Razaleigh Hamzah ketika mengulas kemenangan bergaya UBN itu mengucap terima kasih kepada Pas? Kenapa? Ia tentu ada makna yang tersira yang sukar dibongkar oleh para penjulang panji hijau ataupun yang menghatuh hebat di pentas ceramah. Jaya atau tidak sesebuah peperangan itu bergantung kepada kebijaksanaan panglima perangnya.

Bagi yang bijak pandai mendengar kenyataan dan ulasan Tengku Razaleigh itu sudah dapat mengintai di mana duduk perkara sebenarnya. Ini mesti ada sesuatu yang perlu dihurai dan ditafsirkan berpandukan pelbagai lembaga dan kitab politik muktabar? [wm.kl.1:10 pm 05/11/10]

mohd sayuti omar,
msomelayu.blogspot.com
Posted by AlKundangi at 9:13 AM 0 comments
Pas Masih Bernafas Di Galas
Walaupun Dibelasah Teruk

PILIHAN RAYA kecil Galas sudah berakhir jam 5:00 petang semalam dan secara rasminya pada jam 8:30 malam apabila Pengurus pilihan raya itu mengistyharkan calon BN, Abdul Aziz Yusuf menang besar dengan mejoriti 1,190. Beliau mendapat 5,324 undi manakala calon Pas Zulkefli Mohamad mendapat 4,134 undi. Sebanyak 132 undi yang ditolak manakala peratus keluar mengundi sebanyak 83 peratus.

Kemenangan Aziz itu besar dan mengejutkan. Ia hampir dua kali ganda dengan kemenangan Allahyarham Che Hashim Sulaima dalam pilihan raya umum 2008 yang mendapat majoriti sebanyak 646 undi. Jadi BN bolehlah bergembira dengan kemenangan itu menebus kekalahan sebelum ini. Perlu dicatat bahawa DUN Galas tidak pernah jatuh ke tangan Pas sejak ia diwujudkan pada tahun 1955 dikenali dengan nama Gua Musang dan menjadi Galas pada tahun 1986.

Menyedari sejarah itu Pas tidak perlu menangis dan berdukalara atas kehilangan kerusi yang dipegang selama lebih dua tahun itu kerana kerusi itu asalnya hak BN dan secara peribadi kepunyaan Tengku Razaleigh Hamzah. Apa yang berlaku sebelum ini kerusi itu hanya dipinjamkan kepada Pas sahaja. Namun ia tidak mustahil selepas ini kerusi itu akan dipinjamkan atau diberi terus kepada Pas kalau Pas sedia melakukan perubahan baik dari segi perjuangan, cara mendekati rakyat, tidak mungkir janji dan ikhlas dalam perjuangan serta tidak bermain kongkaling dalam pilihan raya.

Dari segi angka Pas hanya kekurangan sebanyak 265 undi saja berbanding dengan undi diperolehi Che Hashim tahun 2008 sebanyak 4,399. Kemerosotan ini bukannya besar. Tetapi kalau dilihat daripada majoriti ia mengejutkan. Kalau ikutkan logik dengan kehilangan undi sebanyak 256 calon BN tidak separtutnya mendapat majoriti hingga 1,190. Angka paling sesuai dan munasabah diraih Aziz untuk menang ialah sekitar 500 atau 700 sahaja menyamai majoriti yang diperolehi Pas sebelum ini.

Tetapi kenapa majoriti BN besar? Faktor paling jelas ialah kerana berlaku peningkatan peratus keluar mengundi kali ini iaitu sebanyak 83% kira-kira 2.11% atau seramai 1,267 orang. pertambahan. Secara mudah bolehlah disifatkan pengundi yang membantu peningkatan peratus ini berpihak kepada UBN. Walaupun ada maklumat mengatakan undi Cina beralih kepada BN dalam pilihan raya semalam, tetapi bila Pas dapat mengekalkan undi lama menunjukkan ada entiti lain yang mengganti tempat dilompongkan oleh pengundi Cina itu. Apakah sokongan Melayu kepada Pas di Gua Musang meningkat?

Dengan keupayaan Zulkefli hampir mengekalkan undi diraih Che Hashim itu Pas harus berbangga dan tidak perlu merasa dukacita yang amat sangat. Dalam hal ini para penyokong dan ahli Pas kena insaf mengenai kelaziman pilihan raya kecil selalunya berpihak kepada BN. Hanya selepas berlaku tsunami politik 2008 sahaja beberapa pilihan raya kecil mula berpihak kepada pembangkang - Pakatan Rakyat, sebelum ini hampir semua pilihan raya kecil yang dianggap berat sebelah dimenangi oleh BN.

Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa berlaku lonjakan begitu tinggi kepada BN sebanyak 926 sehingga hampir melebih dua kali ganda dengan majoriti dicapai oleh Pas sebelum ini? Sekali lagi faktor utamanya ialah kerana ia pilihan raya kecil. Sebab-sebab lain ialah pilihan raya itu ditambah dengan satu lagi suasana yang tidak mudah untuk difahami dan akan dihuraikan kemudian nanti.

Faktor inilah membawa kemenangan kepada calon BN. Di sini saya akan senaraikan faktor membantu kepada kemenangan BN itu tanpa memberi ulasan dan sebab musabab mengenai apa yang berlaku pada pilihan raya itu yang sebenarnya. [Saya sepatutnya post posting ulasan beracun tengah malam tadi, tetapi ditangguhkan]. Marilah kita berbahas secara berfakta yang nampak dan mudah difahanmi dulu bagi mengelak saya prejudis dan mahu mengkhianati sesiapa!

1. Faktor Tengku Razaleigh Hamzah. Kemenangan ini boleh disifatkan kemenangan peribadi Tengku Razaleigh Hamzah. Kemenangan untuk parti Tengku Razaleigh. Justeru Umno tidak boleh berbangga dengan kemenangan ini. Seperti mana kata Mustapa Mohamed mulanya mereka beranggapan keadaan 50 - 50 dan kemenangan itu mengejutkannya. Mustapa tidak tahu apa yang ada di sebalik tabir mengenai pilihan raya ini. Kalau bukan Tengku Razaleigh terlibat sebagai pengarah, besar kemungkinan Pas dapat mengekalkan kerusi berkenaan. Jadi penumpangan (penswastaan) kerusi berkenaan oleh BN kepada Tengku Razaleigh adalah tepat dan membawa kejayaan besar.

2. Peningkatan peratus pengundian. Peningkatan peratus pengundian sebanyak 2.11% ini memberi kelebihan kepada calon BN. Peningkatan ini membawa kepada pertambahan pengundi keluar mengundi sebanyak 9,590 berbanding dengan keluar mengundi tahun 2008 hanya 8,323 ianya meningkat sebanyak 1,265. Pertambahan ini adalah dari kalangan pengundi muda atau mereka yang pertama kali mengundi.

3. Kesungguh berpilihan raya. Awal-awal lagi Pas sudah melakukan beberapa kesilapan dalam pilihan raya. Perkara paling utama ialah apabila meneruskan kerja mengarah pilihan raya kepada mereka yang sudah menopause. Stail pengarahan lama zaman tahun 60-an atau 70-an tidak sesuai lagi. Paling ketara dalam pilihan raya kali ini tidak ada mana-mana pihak menyediakan blog khas pilihan raya kecil itu seperti biasa. Kealpaan ini disebabkan ketumpulan minda mereka yang menguasai bilik gerakan.

Saya awal-awal lagi telah mencadangkan supaya Pas melantik Husam Musa bersama Takiyuddin Hassan untuk mengendalikan pilihan raya berkenaan. Husam mengatur strategi Takiyuddin pula menyediakan logistik dari luar. Sentuhan mereka mungkin berbisa dan dapat membawa perubahan dalam stail dan juga bentuk-bentuk kempen. Mereka dapat membaca perkembangan dan selera kontemporari pengundi terutamanya di kalangan anak-anak muda. Selain itu perlantikan mereka boleh melatih mereka untuk mengambil tugas berat itu di masa akan datang.

Kelesuan kempen dan serangan kepada BN kali ini juga amat ketara sekali. Poster yang dapat dilihat selalu menggila dalam pilihan raya terjadi sebaliknya di Gua Musang. Nampaknya permintaan dan harapan tengku Razaleigh agar Pas tidak menyerangnya benar-benar dilaksanakan. Apakah ada persefahaman di antara tengku Razaleigh dengan orang tertentu di dalam Pas? Jika diperhatikan kepada kenyataan Razaleigh dalam menerima kemenangan itu di mana beliau mengucapkan terima kasih kepada Pas, semacam ada ikrar kecil antara beliau dengan Pas?

Selain dari itu beberapa kenyataan ataupun pendekatan diambil atau dikeluarkan Pengarah pilihan raya, Abdul Halim Abdul Rahman yang disokong kuat oleh penasihatnya Wan Abdul Rahim Abdullah dan digerakan oleh Pengarah operasinya Abdul Fatah Haron memberi imej buruk kepada Pas dalam pilihan raya itu. Misalnya tawaran untuk membayar RM250 kepada pengundi luar secara terbuka sangat menjatuhkan moral Pas.

Barangkali tidak salah kalau dikatakan kekalahan teruk Pas itu perlu dipikul oleh Tiga Abdul yang cuba menguak balik dalam politik Kelantan dan mahu menunjukkan kehebatan mereka dalam pilihan raya. Mereka harus memikul segala malu dan aib Pas itu untuk dibuang ke laut dan kalau perlu mereka boleh terjun bersama tongkolan malu dan aib itu ke dalam laut.

Nantilah ulasan selanjutnya sebelum saya mengeposkan ulasan beracun yang ditangguhkan itu! [wm.kl. 8:00 am 05/11/10]

MOHD SAYUTI OMAR,
msomelayu.blogspot.com
Posted by AlKundangi at 9:08 AM 0 comments
Labels: penulis tamu
KEPUTUSAN RASMI PRK GALAS DAN BATU SAPI

Keputusan muktamad: BN 5,324 Pas 4,143 Majoriti 1,190. Undi Rosak 132 Peratus keluar mengundi 83%.

Keputusan tidak rasmi BN menang dengan majoriti lebih 1,000 undi di Galas. Kemenangan ini menyeronokkan Tengku Razaleigh Hamzah. Kemenangan ini juga dikira ganjil dan pelik serta diluar perkiraan ahli Pas bawahan.

Bagaimana pun saya percaya kelalahan ini sudah pun dibaca oleh sesetengah pemimpin Pas sejak awal-awal lagi.

Saya akan menyediakan ulasan khas atas kekalahan Pas dan kemenangan BN - Tengku Razaleigh ini. Tunggulah menjelang tengah malam nanti. InsyaAllah.

Keputusan rasmi pilihan raya Batu Sapi.

Calon BN, Linda Tsen Tau 9,769
Calon SAPP Yong Teck Lee 2,031
Calon PKR Anshari Abdullah 3,414
Majoriti: 6,359.
Posted by AlKundangi at 9:05 AM 0 comments
Labels: isu semasa, prk