Monday, October 25, 2010

Perlembagaan dan ekonomi

- ABDUL AZIZ BARI

Minggu lepas saya menyentuh beberapa perkara mengenai ekonomi dan cuba menunjukkan bagaimana isu-isu itu penting dalam konteks perlembagaan.

Kali ini saya akan menyentuh secara langsung kaitan antara perlembagaan dengan pengurusan dan pembangunan ekonomi.

Ada banyak peruntukan perlembagaan boleh dibincangkan bagi tujuan itu. Tetapi dalam rangka kita masih menganalisis bajet atau belanjawan 2011 yang baru dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, kita perlu mengetahui bahawa Perlembagaan Persekutuan, melalui Perkara 68(1), menetapkan bahawa sekiranya rang undang-undang mengenai belanjawan yang diluluskan Dewan Rakyat itu tidak diluluskan Dewan Negara, maka ia hendaklah dipersembahkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan.

Apa yang jelas dalam peruntukan berkenaan ialah Dewan Rakyat, selaku Dewan yang dianggotai ahli-ahli dipilih rakyat secara terus, mempunyai kuasa lebih besar berbanding Dewan Negara yang terdiri daripada ahli-ahli dilantik.

Kuasa Dewan Rakyat dalam rang undang-undang yang tidak melibatkan kewangan juga begitu. Cuma perlembagaan menyatakan, tempoh dibenarkan ialah setahun dan tidak sebulan sebagaimana dalam konteks rang undang-undang mengenai kewangan tadi.

Kuasa lebih besar di tangan Dewan Rakyat itu jelas menandakan betapa mereka dipilih rakyat mempunyai peranan lebih besar.

Sebagaimana termaklum – seperti diperuntukkan Perkara 43(2)(a) – hanya ahli Dewan Rakyat sahaja boleh dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri. Ahli-ahli Kabinet lain bagaimanapun, boleh dilantik daripada kalangan senator di Dewan Negara.

Selain keutamaan Dewan Rakyat sebagai wakil dan suara rakyat, peruntukan disediakan perlembagaan itu juga bertujuan mengelakkan berlakunya jalan buntu yang boleh berlaku sekiranya kedua-dua Dewan diberikan kuasa sama.

Bagaimanapun apabila rang undang-undang itu melibatkan pindaan perlembagaan, Dewan Negara mempunyai kuasa yang sama dengan Dewan Rakyat.

Ini bermakna sekiranya majoriti senator-senator tidak bersetuju dengan cadangan pindaan perlembagaan oleh Dewan Rakyat, ia boleh menolaknya dan ia akan gagal. Peruntukan ini munasabah kerana Dewan Negara turut mewakili negeri-negeri dan kuasa sedemikian memang wajar.

Bajet ialah cadangan atau kerangka pengurusan kewangan oleh kerajaan memerintah yang perlu diluluskan oleh Dewan. Perlembagaan melalui Perkara 96 menyatakan, cukai hanya boleh dikenakan melalui undang-undang diluluskan Parlimen.

Negara kita tidak pernah menyaksikan kerajaan memerintah gagal mendapat belanjawannya ditolak oleh Parlimen. Bagaimanapun di negara-negara lain ia pernah berlaku, termasuk di Australia pada 1975. Ia membawa kepada pemecatan Perdana Menteri Gough Whitlam oleh Gabnor-Jeneral Sir John Kerr.

Perkara ini sukar berlaku di Malaysia kerana wujudnya Perkara 68(1) yang disebutkan tadi. Tetapi awal tahun ini Kerajaan Barisan Nasional hampir-hampir gagal mendapatkan kelulusan itu apabila ramai Ahli Parlimennya tidak hadir di dalam Dewan sewaktu pengundian. Nampaknya Ahli-ahli Parlimen Barisan terlalu yakin atau mereka tidak faham perlembagaan.

Antara sebab mengapa kerajaan di bawah sistem Westminster perlu mempunyai majoriti dalam Dewan ialah supaya mudah untuk mereka mendapatkan kelulusan Dewan bagi rang undang-undang yang mereka kemukakan, khususnya bajet tahunan.

Inilah sebabnya mengapa kerajaan campuran terpaksa dibentuk di United Kingdom selepas pilihan raya April lalu. Begitu juga dengan Australia dua bulan lalu.

Selain memastikan pencukaian dan perbelanjaan diluluskan atas autoriti rakyat, perlembagaan juga mewajibkan supaya kerajaan bertanggungjawab kepada Dewan.

Inilah prinsip penting menyebabkan tindakan memecat Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin di Perak tahun lalu, salah di sisi perlembagaan. Kerajaan juga perlu dipertanggungjawabkan sekiranya Juruaudit Negara memberi laporan negatif.

Semangat ini jugalah yang mengisyaratkan perlunya jawatan Pengerusi PAC atau Jawatankuasa Wang Awam dilantik daripada kalangan pembangkang.

Kerajaan Negeri Selangor menawarkan jawatan itu kepada pemimpin UMNO dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu. Bagaimanapun tawaran yang selaras dengan semangat perlembagaan itu ditolak UMNO.

Dalam merangka peruntukan-peruntukan berkenaan, perlembagaan mahukan sebuah kerangka semak dan imbang wujud serta berfungsi.

Sekiranya PAC diketuai kerajaan yang memerintah maka pastinya ia sukar berfungsi. Lihat sahaja apa yang PAC di Parlimen putuskan dalam soal kehilangan enjin jet pejuang TUDM itu.

Secara keseluruhan perlembagaan hendak membentuk sebuah sistem dan pentadbiran yang telus dan sentiasa disemak dan diimbangi.

Ini perlu kita ingat dalam memahami peruntukan-peruntukan mengenai kebebasan rakyat yang termasuk di dalamnya hak mendapat maklumat dan seumpamanya. Dan atas sebab inilah maka undang-undang yang menyekat media dan seumpamanya perlu dimansuhkan. Ini semua ada kaitan dengan pembangunan ekonomi; khususnya pengembangan kreativiti dan pembangunan modal insan sebagai pemacu utama.

Betapa perlembagaan menekankan soal pertanggungjawaban mengenai kewangan ini dapat kita lihat, hatta dalam soal penganugerahan bintang kebesaran oleh Raja-Raja.

Meskipun ia adalah hak dan bidang kuasa mereka sekiranya pewujudan dan penganugerahan itu melibatkan implikasi kewangan persetujuan DUN adalah satu kemestian. Jadi kalau Raja-Raja pun dipaksa berbuat begitu siapakah kerajaan dan ahli-ahli politik yang cuba hendak lari daripada prosedur itu?


* Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang selama lebih 20 tahun

www.sinarharian.com.my,
25.10.2010

No comments:

Post a Comment