Showing posts with label berita semasa. Show all posts
Showing posts with label berita semasa. Show all posts

Monday, October 25, 2010

Perlembagaan dan ekonomi

- ABDUL AZIZ BARI

Minggu lepas saya menyentuh beberapa perkara mengenai ekonomi dan cuba menunjukkan bagaimana isu-isu itu penting dalam konteks perlembagaan.

Kali ini saya akan menyentuh secara langsung kaitan antara perlembagaan dengan pengurusan dan pembangunan ekonomi.

Ada banyak peruntukan perlembagaan boleh dibincangkan bagi tujuan itu. Tetapi dalam rangka kita masih menganalisis bajet atau belanjawan 2011 yang baru dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, kita perlu mengetahui bahawa Perlembagaan Persekutuan, melalui Perkara 68(1), menetapkan bahawa sekiranya rang undang-undang mengenai belanjawan yang diluluskan Dewan Rakyat itu tidak diluluskan Dewan Negara, maka ia hendaklah dipersembahkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan.

Apa yang jelas dalam peruntukan berkenaan ialah Dewan Rakyat, selaku Dewan yang dianggotai ahli-ahli dipilih rakyat secara terus, mempunyai kuasa lebih besar berbanding Dewan Negara yang terdiri daripada ahli-ahli dilantik.

Kuasa Dewan Rakyat dalam rang undang-undang yang tidak melibatkan kewangan juga begitu. Cuma perlembagaan menyatakan, tempoh dibenarkan ialah setahun dan tidak sebulan sebagaimana dalam konteks rang undang-undang mengenai kewangan tadi.

Kuasa lebih besar di tangan Dewan Rakyat itu jelas menandakan betapa mereka dipilih rakyat mempunyai peranan lebih besar.

Sebagaimana termaklum – seperti diperuntukkan Perkara 43(2)(a) – hanya ahli Dewan Rakyat sahaja boleh dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri. Ahli-ahli Kabinet lain bagaimanapun, boleh dilantik daripada kalangan senator di Dewan Negara.

Selain keutamaan Dewan Rakyat sebagai wakil dan suara rakyat, peruntukan disediakan perlembagaan itu juga bertujuan mengelakkan berlakunya jalan buntu yang boleh berlaku sekiranya kedua-dua Dewan diberikan kuasa sama.

Bagaimanapun apabila rang undang-undang itu melibatkan pindaan perlembagaan, Dewan Negara mempunyai kuasa yang sama dengan Dewan Rakyat.

Ini bermakna sekiranya majoriti senator-senator tidak bersetuju dengan cadangan pindaan perlembagaan oleh Dewan Rakyat, ia boleh menolaknya dan ia akan gagal. Peruntukan ini munasabah kerana Dewan Negara turut mewakili negeri-negeri dan kuasa sedemikian memang wajar.

Bajet ialah cadangan atau kerangka pengurusan kewangan oleh kerajaan memerintah yang perlu diluluskan oleh Dewan. Perlembagaan melalui Perkara 96 menyatakan, cukai hanya boleh dikenakan melalui undang-undang diluluskan Parlimen.

Negara kita tidak pernah menyaksikan kerajaan memerintah gagal mendapat belanjawannya ditolak oleh Parlimen. Bagaimanapun di negara-negara lain ia pernah berlaku, termasuk di Australia pada 1975. Ia membawa kepada pemecatan Perdana Menteri Gough Whitlam oleh Gabnor-Jeneral Sir John Kerr.

Perkara ini sukar berlaku di Malaysia kerana wujudnya Perkara 68(1) yang disebutkan tadi. Tetapi awal tahun ini Kerajaan Barisan Nasional hampir-hampir gagal mendapatkan kelulusan itu apabila ramai Ahli Parlimennya tidak hadir di dalam Dewan sewaktu pengundian. Nampaknya Ahli-ahli Parlimen Barisan terlalu yakin atau mereka tidak faham perlembagaan.

Antara sebab mengapa kerajaan di bawah sistem Westminster perlu mempunyai majoriti dalam Dewan ialah supaya mudah untuk mereka mendapatkan kelulusan Dewan bagi rang undang-undang yang mereka kemukakan, khususnya bajet tahunan.

Inilah sebabnya mengapa kerajaan campuran terpaksa dibentuk di United Kingdom selepas pilihan raya April lalu. Begitu juga dengan Australia dua bulan lalu.

Selain memastikan pencukaian dan perbelanjaan diluluskan atas autoriti rakyat, perlembagaan juga mewajibkan supaya kerajaan bertanggungjawab kepada Dewan.

Inilah prinsip penting menyebabkan tindakan memecat Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin di Perak tahun lalu, salah di sisi perlembagaan. Kerajaan juga perlu dipertanggungjawabkan sekiranya Juruaudit Negara memberi laporan negatif.

Semangat ini jugalah yang mengisyaratkan perlunya jawatan Pengerusi PAC atau Jawatankuasa Wang Awam dilantik daripada kalangan pembangkang.

Kerajaan Negeri Selangor menawarkan jawatan itu kepada pemimpin UMNO dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu. Bagaimanapun tawaran yang selaras dengan semangat perlembagaan itu ditolak UMNO.

Dalam merangka peruntukan-peruntukan berkenaan, perlembagaan mahukan sebuah kerangka semak dan imbang wujud serta berfungsi.

Sekiranya PAC diketuai kerajaan yang memerintah maka pastinya ia sukar berfungsi. Lihat sahaja apa yang PAC di Parlimen putuskan dalam soal kehilangan enjin jet pejuang TUDM itu.

Secara keseluruhan perlembagaan hendak membentuk sebuah sistem dan pentadbiran yang telus dan sentiasa disemak dan diimbangi.

Ini perlu kita ingat dalam memahami peruntukan-peruntukan mengenai kebebasan rakyat yang termasuk di dalamnya hak mendapat maklumat dan seumpamanya. Dan atas sebab inilah maka undang-undang yang menyekat media dan seumpamanya perlu dimansuhkan. Ini semua ada kaitan dengan pembangunan ekonomi; khususnya pengembangan kreativiti dan pembangunan modal insan sebagai pemacu utama.

Betapa perlembagaan menekankan soal pertanggungjawaban mengenai kewangan ini dapat kita lihat, hatta dalam soal penganugerahan bintang kebesaran oleh Raja-Raja.

Meskipun ia adalah hak dan bidang kuasa mereka sekiranya pewujudan dan penganugerahan itu melibatkan implikasi kewangan persetujuan DUN adalah satu kemestian. Jadi kalau Raja-Raja pun dipaksa berbuat begitu siapakah kerajaan dan ahli-ahli politik yang cuba hendak lari daripada prosedur itu?


* Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang selama lebih 20 tahun

www.sinarharian.com.my,
25.10.2010

Tuesday, September 28, 2010

Kaedah politik Zaid Ibrahim

- RAHMAN SHAARI

Bagi peninjau politik yang tiada kecenderungan untuk menyokong seseorang secara tidak menentu, kaedah berpolitik Datuk Zaid Ibrahim adalah menarik. Zaid mungkin sebaik Datuk Ibrahim Ali dalam hal tertentu, dan sebaik Dr Syed Husin Ali dalam hal lain. Zaid dan Ibrahim menjadi popular kerana tingkah politik yang terang-terang tidak menuntut rasa senang sesetengah pihak, namun diterima baik oleh pengikut. Syed Husin tidak begitu popular, terutama kerana beliau bertindak terlalu cermat, warisan daripada cara parti sosialis.

Rahsia kejayaan mereka, antara lain ialah keberanian. Bagi mereka berdua, pendapat orang lain elok didengar sahaja, bukan diikuti, apatah lagi dipatuhi. Bagi mereka juga, pendapat sendiri adalah terbaik, kerana mereka betul-betul boleh berfikir. Memanglah besar jumlah orang tidak menyetujui cara dan isi kandungan politik Ibrahim, tetapi adalah silap untuk mengatakan jumlah orang bersetuju adalah kecil.

Saya ingin menyentuh hal-hal di sekitar politik Zaid. Tokoh ini pernah menjadi menteri, tanda beliau dipercayai oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri Islam Hadhari. Kepercayaan Abdullah itu dipergunakannya sebaik-baiknya bagi menyatakan sikap dan kaedah politiknya yang asing dan aneh dalam perkiraan UMNO. Akhirnya, atas beberapa alasan telah dinyatakannya, dengan terang tetapi tidak semestinya dipercayai, beliau berhenti dan keluar dari UMNO. Tidak lama kemudian, menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sepertimana Ezam anggap UMNO tidak bobrok, begitulah Zaid ketika itu memikirkan bahawa PKR tidak bobrok. Politik adalah begitu sahaja, tiada yang lain, sedikit pun tiada yang lain.

Dalam percakapan pada Hari Raya Aidilfitri di Perlis, saya ada nyatakan alasan utama Hukum Anjakan Makna ditubuhkan. Hukum tersebut akan membunuh segala konflik, kerana tujuan politik seseorang adalah sama, cuma kaedah mereka berbeza. Masih saya ingati, wanita aktif yang bernama Roselawati mengatakan Hukum Anjakan Makna tidak menarik, kerana dengan mengamalkan hukum ini, tiada lagi perkelahian.

Saya setuju dengan kata-kata Roselawati, kerana sekurang-kurangnya beliau dapat melihat bahawa Hukum Anjakan Makna memang berfungsi. Apabila kita bercakap tentang kebaikan sesuatu pihak tanpa mengatakan pihak lawannya buruk, maka hukum ini berlaku. Kita hendaklah bermula dengan melihat, Najib, Anwar, Muhyiddin, Azizah, Khairy, Azmin, dan lain-lain dalam deretan ini, mempunyai jalan fikiran yang berbeza, tetapi hasrat mereka sama: berpolitik.

Adalah sukar mendapatkan parti yang tidak bobrok, namun Zaid ketika itu memejam sebelah mata agar beliau dapat menerima dan diterima oleh PKR. Seperti terlihat jelas, beliau dipilih calon pilihan raya kecil. Zaid tentu amat senang dalam keadaan demikian, kerana pemilihan oleh PKR untuk beliau menjadi calon adalah tanda nyata bahawa beliau adalah wira.

Timbul isu karut dalam masa berkempen ketika itu – minum dan taubat – Zaid tahu cara hadapinya. Kekalahannya bukan kerana isu itu, tetapi hakikat politik Malaysia secara keseluruhannya.

Kecenderungan menjadi wira melekat pada diri seseorang sejak kecil. Filem-filem aksi, terutama filem-filem Hindustan, hampir seratus peratus melukiskan wira yang berani, dan sentiasa berjaya menentang musuh. Wira tidak akan dikatakan wira jika tidak muncul pengacau. Jika pengacau itu gagah dan penuh perancangan jahat, maka watak wira akan kian menyerlah. Wira selalunya hampir mati dibelasah penjahat, namun masih tetap cekal dan hebat.

Ketika makalah ini saya tulis Zaid sedang dihalang merebut jawatan Timbalan Presiden PKR. Zaid tetap dengan pendiriannya, dan beliau kini berhadapan penentangan yang wajar malah wajib ada pada peribadi wira. Beliau merasakan bahawa PKR tidak begitu demokratik kerana perjalanannya banyak ditentukan Ketua Umum, bukan oleh Presiden. Itulah musuh utama Zaid dalam konteks pertentangan ini.

Fikiran Zaid Ibrahim amat jelas, iaitu jika Datin Seri Dr Wan Azizah menjadi Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya menjadi ketua umum (yang tidak dipilih melalui undi ramai), maka PKR ialah parti yang ‘terkeluar’ dari landasan demokrasi. Apabila saya katakan watak-watak melanggar prinsip demokrasi ini dimusuhi Zaid, tidaklah saya bermaksud Zaid anti mereka, sebaliknya Zaid hanya mahu membaiki perjalanan demokrasi dalam PKR.

Saya mendapati pemikiran Zaid cukup jelas, sehingga beliau tidak sesuai berada dalam parti-parti politik Malaysia. Ahli-ahli parti politik di Malaysia, biarpun apa partinya, secara keseluruhannya berfikiran pro-feudal. Mereka menerima seseorang sebagai ketua, berasaskan mitos kelebihan, bukan kelebihan yang nyata, iaitu bukan berasaskan bakti sebenar, dan sikap tegas dalam membela rakyat. Di sisi lain, ahli-ahli parti politik Malaysia amat kagum dengan pidato. Jika ketua umum yang karismatik berpidato di atas busut, maka busut itu akan dikelilingi pengikut.

Adakah itu tidak baik? Saya kira tidak demikian. Biarlah politik berjalan dengan segala sifatnya, asalkan janganlah kita berkonflik berlebih-lebihan. Pada masa lepas, kita telah melihat Tun Mahathir disenangi ahli-ahli UMNO, hingga mereka tidak bosan mendengar pidatonya yang berjam-jam. Dalam andaian di atas, saya sebenarnya mahu mengatakan, bahawa pada satu ketika dulu, jika Mahahir berada di atas busut, itu jugalah yang terjadi. Demikian juga dengan Abu Bakar Hamzah, dan kemudiannya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Zaid berusaha mendidik ahli-ahli parti agar memahami demokrasi dengan jelas. Beliau sentiasa baik dari ukuran tertentu, dan tidak disenangi jika segi lain diambil sebagai tali ukur. Politik ialah lapangan banyak segi.

Zaid kini teringatkan UMNO zaman Tun Abdul Ghafar Baba yang ditentang Anwar. Katanya, beliau bukanlah penyokong Ghafar, tetapi beliau berasa kasihan kepada Ghafar yang dibuat begitu rupa, padahal Ghafar ialah Timbalan Perdana Menteri ketika itu. (Mingguan Malaysia, 26 September 2010). Dapat dikatakan, dalam hal sebegini, Zaid betul-betul bersikap demokratik. Beliau tidak takut menghadapi kekalahan, asalkan dalam pertandingan yang diadakan, demokrasi berjalan dengan baik.

Namun, kita masih terfikir akan sesuatu: Jika demikian sikap Zaid, belum ada parti politik di Malaysia yang sesuai baginya.

28.9.2010
Sinar Harian.




Anasir luar sabotaj PKR

PETALING JAYA – Kekecohan yang berlaku pada mesyuarat agung dan proses pemilihan peringkat Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di beberapa kawasan kelmarin terpaksa ditangguhkan kerana beberapa isu termasuk merosakkan kotak undi oleh orang luar.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) telah mengenal pasti beberapa individu melalui rakaman video dan foto yang terlibat, yang didakwa terbabit dalam perbuatan vandalisme.

“Melalui rakaman foto, petugas kami mengesahkan individu yang dikenal pasti bukan ahli parti cuba mencemarkan imej PKR. Kami boleh mengesahkan wujudnya elemen provokasi, kerana apa yang berlaku sama sahaja caranya iaitu kotak undi dipecahkan, kertas undi diselerakkan dan selepas itu (mereka yang terlibat) beredar,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.

Tujuh cabang terlibat dalam kekecohan kelmarin ialah Klang, Kapar, Petaling Jaya Selatan dan Kuala Langat di Selangor, Jerai dan Merbok di Kedah dan Kuala Nerus, Terengganu.

Ahli Parlimen Machang itu berkata, ekoran daripada kekecohan itu, JPP memutuskan untuk menangguhkan proses pemilihan di tiga cabang terbabit.

Saiffudin berkata, empat lagi pemilihan peringkat cabang yang turut ditangguhkan adalah Petaling Jaya Selatan, Jerai, Merbok dan Kuala Nerus kerana mempunyai masalah tadbir dan teknikal.

“Tujuh daripada 166 cabang di seluruh negara yang sudah menyempurnakan mesyuarat agung masing-masing ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan oleh JPP,” katanya.

Menurutnya, keputusan di 159 daripada 166 cabang yang selesai bermesyuarat sejak 17 September adalah mengikut peraturan walaupun berdepan dengan isu-isu seperti tidak cukup kotak undi.

“Di samping itu, terdapat keghairahan luar biasa di kalangan anggota parti untuk mengambil bahagian aktif dalam proses pemilihan parti yang memperkenalkan sistem pemilihan langsung tahun ini,” katanya.

Sehingga kelmarin, 166 daripada 205 cabang telah menyempurnakan mesyuarat agung tahunan dan pemilihan pimpinan cabang masing-masing.

Sebanyak 39 cabang lagi bakal melengkapkan jadual mesyuarat agung hujung minggu ini.

Sinar Harian,
28.9.2010
MENIPU/PECAH AMANAH: 290 PEGUAM DISIASAT. 35 DITAHAN UNTUK SIASATAN DAN 30 PEGUAM DISINGKIRKAN DARIPADA MAJLIS PEGUAM SETAKAT INI.

POLIS sedang menyiasat 290 kes membabitkan peguam disyaki menipu, pecah amanah dan memalsukan afidavit penjualan tanah dan harta berkaitan. Dan dalam tempoh 9 bulan tahun ini, 35 pengamal undang-undang itu juga ditahan polis untuk disiasat berkaitan beberapa laporan yang diterima.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Norryah Md Anvar, berkata kebanyakan kes pecah amanah dan penipuan itu membabitkan penjualan tanah dan pemalsuan dokumen termasuk afidavit.

Sementara Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan pula dilaporkan berkata, lebih 13,000 peguam menjadi ahli majlis itu setakat ini. Bagaimanapun, 30 orang di antara mereka telah disingkirkan selepas didapati bersalah dalam kes tertentu termasuk pecah amanah.

Beberapa kes melibatkan peguam dalam perbuatan salah laku dilaporkan kebelakangan ini termasuk kes pembunuhan Datuk Sosilawati dan tiga yang lain, di mana dua beradik yang juga peguam kini ditahan kerana disyaki menjadi suspek utama.

Ragunath pula ketika mengulas kes peguam yang terbabit dalam jenayah dan salah laku, menyokong tindakan polis menyiasat dan memberi jaminan pihaknya bersedia memberi kerjasama.

singalautmetro,
289.2010





Dedahkan siapa pihak ketiga ganggu tugas polis

Oleh MOHAMAD SABU


Beberapa kali kenyataan parti-parti politik dan badan-badan NGO yang menyentuh tentang pasukan Polis Diraja Malaysia dalam soal tanggungjawab, keberkesanan melawan jenayah, kecekapan dalam menanggani sesuatu isu.

Kita melihat ada semacam perkara yang tidak kena cara pasukan polis Malaysia menjalankan tugas mereka. Polis dilihat tidak bebas dan kehilangan wibawa dalam usaha mereka untuk melaksanakan penguatkuasaan undang di Malaysia.

Pihak polis tidak dapat pamerkan dan jelmakan kewibawaan mereka dalam menjalankan tugas untuk menegakan keadilan melalui kedaulatan undang-undang dan dilihat adil tentang keadilan mereka.

Sudah terang lagi bersuluh, sudah melata apa yang tumbuh, segala perasangka sudah menjadi kenyataan dan pembuktian, apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, seminggu sebelum bersara mendedahkan bahawa ada campuran pihak ketiga menganggu tugas-tugas polis di Raja Malaysia.
Selama ini kami (parti politik dan NGO) menyatakan dan menegaskan bahawa dilihat ada campurtangan "asing" dalam hal tugasan polis di Raja Malaysia.

Pengakuan dan penegasan Musa Hassan bahawa memang ada campurtangan pihak ketiga dalam urusan polis, amatlah berat kenyataan itu dan perlu diambil perhatian oleh semua pihak.

Pasukan Polis Di Raja Malaysia akan terus hilang kewibawaan dan penghormatan dari rakyat dengan kenyataan Musa yang masih di dalam tugas semasa kenyataan dibuat.

Satu pasukan khas bertaraf Suruhanjaya di Raja perlu dibentuk untuk menyelidik, menyiasat, dan menerangkan perkara sebenar sejauh mana campurtangan pihak ketiga dalam urusan Polis untuk menegakkan keadilan melalui undang-undang.

KPN bukan sebarang orang, ia bukan seorang sarjan sebuah balai, bukan pengetua sekolah, bukan ketua pembangkang di parlimen, atau pegawai kerajaan yang bersara tetapi jawatan dan kedudukannya sebagai orang nombor satu dan mengendalikan hal keselamatan di Malaysia.

Rakyat ingin tahu, siapa orang ketiga itu; adakah para pegawai di KDN, adakah pemimpin-pemimpin politik parti pemerintah Umno-Barisan Nasional, Menteri, Timbalan Menteri atau Setiausaha Parlimen?

Adakah orang ketiga itu tauke-tauke judi, mafia dadah yang kaya raya?

Semua persoalan keselamatan rakyat dan negara berlegar di kepala apabila ketua polis yang berwibawa membuat kenyataan sebegitu rupa.

Lebih dahsyat lagi apabila KPN terus melenting dengan mengatakan "kami bukan orang upahan". Sudah tentu upahan di sini tidak bermaksud dengan gaji bulanan dan elaun yang anggota polis terima di atas perkhidmatan mereka. Apa yang di maksud dengan "upahan" di sini.

Apakah ada peranan pihak ketiga sehingga pihak polis tergamak melakukan kepungan dan serangan.

Tentulah banyak persoalan timbul difikiran orang awam seperti saya.
Pembunuhan peniaga video, Mustakizah beberapa tahun dahulu, sampai sekarang tidak tahu hujung pangkalnya. Adakala polis tak dapat menyiasat dan membongkar pembunuhan itu kerana ada campurtangan pihak ketiga.

Pembebasan tauke-tauke dadah (mafia) yang ditangkap oleh polis, adakah ada campurtangan pihak ketiga.

Siapa yang menyediakan senarai tangkapan operasi Lalang, adakah pihak polis atau pihak ketiga.

Mengharamkan himpunan aman, ceramah-ceramah parti politik dilepaskan gas pemedih mata, ditangkap orang ramai dan penceramah, adakah diatas kehendak polis atau kehendak pihak ketiga.

Siasatan terhadap Anwar Ibrahim adakah kehendak dan ikut prosedur polis atau tunduk kepada pihak ketiga? Jangan ada pihak ketiga dalam siasatan kes pembunuhan Sosilawati.

Siapa pihak ketiga yang mengarahkan polis membunuh Altantuya seperti diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam. Masakan polis bertindak sendiri jikalau tidak ada arahan pihak ketiga. Pihak ketiga mana yang mengarahkan dokumen mengenai peristiwa sebenar diselindung dari rakyat Malaysia.

Kejahatan pihak ketiga ini terhadap penduduk Memali sehingga mengorbankan 14 orang penduduk kampung dan 4 anggota polis. Siapa pihak ketiga ini?

Kewibawaan pasukan keselamatan khasnya Polis Di Raja Malaysia perlu dipulihkan. Kenyataan Tan Seri Musa Hassan (KPN) mesti diambil serius.

Suruhanjaya penyiasatan perlu dibentuk untuk menyiasat secara menyeluruh untuk memulihkan wibawa polis.

Suruhanjaya memperbaiki prestasi polis yang telah selesai menjalankan tugas dan membuat segala rekomendasi untuk memperbaskan pasukan polis tidak memberi kesan selagi ada pihak ketiga yang lebih berkuasa dari polis-pihak ketiga memang lebih 'camca dari bubur.'


Harakah,Edisi Jumaat.
24.09.2010

Thursday, September 23, 2010

Zahid Patut Jadi Hero Negara Bukan Champion Dalam Parti

APABILA Zaid Ibrahim membuat keputusan untuk tidak merayu kepada Umno atas pemecatannya dan selepas itu mengumumkan kemasukannya ke dalam PKR banyak orang merasa gembira dan bertuah. Kedatangan Zaid ke dalam PKR dikira akan menyemarakkan lagi perjuangan Pakatan Rakyat untuk menumbangkan BN. Apa yang diharap, pengalaman jahat, provokasi, politik wang, rasuah di dalam Umno yang dilalui dan dialami Zaid akan digunakan untuk menempelak BN seluruhnya. Zaid akan menjadi senjata ampuh untuk membunuh Umno.

Selain itu orang melihat langkah Zaid bersama pembangkang dan meninggalkan kedudukan lumayan sebagai menteri satu tindakan berani beliau dan menggambarkan beliau seorang pejuang tulen. Orang yang ingin melihat keadilan, kebenaran dan benci kepada penyelewengan dan salah guna kuasa yang diratah UBN selama ini. Orang sudah benci!

Tanpa mempersoalkan bagaiman atau kronologi beliau melepaskan jawatan menteri dan dipecat dari parti, orang di luar khasnya penyokong Pakatan Rakyat mengangkat Zaid sebagai seorang berprinsip, berani, telus, tidak mementingkan diri dan kedudukan. Beliau mulai dilihat atau diletakkan bakal menjadi hero baru pembangkang. Beliau diharap menjadi wira membela rakyat tertindas. Itulah ilusi umum.

Memang Pakatan Rakyat terutamanya PKR memerlukan orang seperti Zaid. Apa lagi PKR telah kehilangan beberapa jagohan termasuk jagohan kampung yang perut leper dan tetapi pelahap. Kekosongan yang ditinggalkan mereka itu dikira akan dipenuhi oleh Zaid. Hati penyokong PKR dan Pakatan Rakyat dikira terubat dengan kehadiran Zaid.

Zaid memang diterima dengan seadanya dan sesuai dengan profesionalisme dimilikinya. Dia diletakkan terus ke dalam saf kepimpinan tertinggi PKR. Beliau menjadi ahli Biro Politik, biro tertinggi dalam membuat dasar dan menentukan hala tuju parti. Beliau dilayan sama tinggi dan sestatus timbalan presiden dan naib-naib presiden.

Tidak cukup itu, dan atas kepercayaan kehebatan serta wibawa beliau juga beliau diberi tugas untuk menguruskan Pakatan Rakyat sebagai penyelaras. Ini tugas besar sebenarnya di mana beliau seolah bertindak menjadi Setiausaha Agung kepada Pakatan Rakyat. Sudah pasti sekiranya Pakatan Rakyat menjadi sebuah komponen sah beliaulah menjadi Setiausaha Agungnya.

Kemajuan terus dicapai oleh beliau apabila diberi kepercayaan untuk menghadapi calon BN dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor. Kepercayaan PKR kepada beliau satu penghormatan yang memerlukan pengorbanan bukan kecil. PKR terpaksa berkorban dan turut sama kehilangan beberapa ahli jagohan kampung (perut leper dan pelahap) apabila beliau diberi kepercayaan. Hakikat ini patut disedari Zaid dan hendaklah dijadikan bahan renungan jiwa buatnya.

Iya tidak terhenti di situ saja. Bintang dan tanggungjawab beliau semakin bertambah, terbaru beliau dilantik pula menjadi Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Lebih ironisnya beliau mengambil tempat Mohamad Azmin Ali.

Sebenarnya dengan kedudukan itu semua sudah cukup untuk Zaid menunjukkan bakat, komitmen dan melakukan sesuatu kepada PKR dan Pakatan Rakyat dalam usaha gagasan untuk memerintah Malaysia. Zaid seharusnya tidak perlu sibuk dengan hal-hal yang akhirnya menyerlahkan beliau sebagai tamak ataupun inginkan kepada kuasa lebih besar dalam waktu terdekat yang mana menatijahkan perbalahsan sesama sendiri.

Beliau boleh menjadi hero dengan jawatan itu semua. Misalnya beliau harus mencari ikhtiar bagaimana kedudukan Pakatan Rakyat kemas, mantap dan kuat. Tugas menyelaras bukan saja setakat untuk memastikan ROS meluluskan pendaftaran Pakatan Rakyat sebagai parti politik. Kita dianggap bijak kalau kita boleh menyelaras, menyusun dan memperkuatkan ikatan parti-parti Pakatan Rakyat tanpa ianya dilulus sebagai sebuah parti. Di sinilah orang akan menilai kerja dan kebolehan kita.

Agak malangnya, tugas-tugas dan harapan diberikan kepada Zaid itu sedikit terbengkalai apabila beliau kini berkucah dalam pergolakan untuk menadi Timbalan Presiden PKR. Beliau nampak lebih menumpukan kepada agenda diri sendiri daripada agenda parti. Beliau banyak berusaha menjadi ch0mpion dalam parti bukannya hero dalam negara. Bukan tidak boleh beliau bertanding, dengan nilai dan wibawanya beliau layak. Tetapi untuk apa? Zaid harus bertanya diri sendiri dulu sedalam-dalamnya untuk mengambil keputusan itu. Itu sepatutnya.

Saya nampak alasan yang diberikan untuk mengembalikan kuasa presiden adalah semata-mata alasan setelah alasan lebih besar tidak ada. Apakah Zaid mengira selama ini Wan Azizah Wan Ismail gagal mengemudikan parti secara berkesan kerana beliau dihalang atau kuasanya dirogol? Dan ikhlas saya tanya, apakah Zaid mempercayai seorang wanita seperti Azizah mampu untuk mengemudi bahtra sebesar PKR yang menjadi tunggak kepada Pakatan Rakyat kalaupun Azizah diserahkan tanggungjawab itu sepenuhnya?

Zaid juga tahu selama ini Azizah hanyalah lambang kepada presiden sebenar. Sebagai simbol juga Azizah tidak mungkin dapat atau berkuasa melakukan lebih dari itu.

Rasanya Zaid sendiri tidak percaya dan tahu sejauh mana kemampuan Azizah. Selain itu beliau juga tahu bahawa kuasa Wan Azizah sebagai presiden siapa yang memakan dan memamahnya. Bukankah Awanr? Jadi kalau Anwar yang memakan dan memamahnya, kenapa Zaid harus bingkas memeprsoalkan kedudukan Azizah terhalang. Makanya itu cuma alasan semata.

Kalau begitu kenapa Zaid tidak saja bertanding jawatan presiden? Kenapa timbalan Presiden?

Dalam satu hal saya tidak senang dengan sikap Azmin terhadap semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor. Pada saya Azmin jelas mensebotaj Zaid dan salah satu faktor kekalahan Zaid ialah bila Azmin tidak berperanan sepatutnya dan melumpuhkan sebahagian jentera pilihan PKR. Azmin perlakukan begitu kerana bimbang dengan Zaid. Kemenangan Zaid di Hulu Selangor boleh mengancam periok politiknya dalam PKR. Makanya beliau kena usaha kalahkan Zaid dalam tidur.

Tetapi itu bukan alsan besar untuk Zaid membenci Azmin dan menjadikan pertandingan merebut jawatan timbalan presiden satu peluang terbaik buatnya. Beliau harus melalui pertandingan ini dengan tenang tanpa menimbulkan kerosakan kepada parti. Beliau harus menumpukan kepada Azmin saja disamping mendedahkan apakah misi dan visi beliau. Zaid sepatutnya meletakkan kepentingan parti lebih daripada kepentingan untuk menjatuhkan Azmin.

Beliau tidak boleh menjadi 'bas ekspress' dalam PKR. Beliau harus menjadi bas henti-henti terlebih dahulu. Beliau tidak perlu bertanding jawatan timbalan presiden, apa lagi atas alasan peribadi kerana tidak senang dengan Azmin. Beliau boleh menyokong mana-mana calon lain kalaupun beliau tidak setuju dengan Azmin dan bukan terus memandu bas ekspres - bertanding jawatan itu. Bila beliau bersikap memandu bas ekspress orang akan nampak yang beliau ingin lekas sampai!

Pun begitu, tidak menjadi masalah. PKR mengamalkan demokrasi tulen (kononnya). Zaid boleh bertanding dan sesiapa saja boleh bertanding. Tetapi dalam kempen janganlah terkeluar kata nesta, andaian dan provokasi yang boleh merosakkan parti ianya tidak baik. Kenapa harus emosi sangat. Hadapilah pertandingan sebagai satu ruang yang halal dan hadapi dengan sikap kekeluargaan. Misalnya membaitkan orang lain sebagai alat kempen adalah tidak bagus. Kritikan terbuka Zaid kepada Syed Husin Ali sesuatu yang mendukacitakan.

Saya mencatatkan ini kerana ada bahasa dan lenggok Zaid yang pada saya tidak elok kepada PKR. Ketegasan dan ketelusan Zaid dalam mempertahankan prinsipnya ada kalanya tidak tepat dan ini memberi masalah kepada PKR sendiri. Sesuatu yang selama ini orang tidak tahu, kini ia sudah terbuka dan terbahar bila Zaid menghuraikannya dalam mempertahakan tindakannya. Zaid juga tidak boleh merasakan tindakannya bersama PKR satu pengorbanan besar yang tak mungkin dilakukan orang lain. Beliau harus ingat beliau bersama PKR sesudah penyokong dan pemimpin PKR lain telah menyeberang sungai darah dan airmata.

Justeru diseru kepda Zaid agar tenang menghadapi pertandingan merebut jawatan timbalan presiden ini. Serahkan kepada ahli tanpa banyak provokasi dan muslihat. Tirulah sifat dan sikap seorang lagi calon, Mustapa Kamil Ayub yang diam dan tidak berbuat sesuatu yang boleh memberi imej buruk kepada parti. Bersikap sedarhana dan bersifat tasamuh itu lebih baik ia dari agresif dan penuh emosi.

Jika ini tidak dikawal dan berlebihan kemungkinan apa yang saya bimbang sebelum ini akan jadi kenyataan. Sesungguhnya parti PKR itu sudah terlalu penat dan letih untuk berdepan dengan satu lagi perpercahan. Apa lagi Anwar sendiri juga sudah tidak daya untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Kekadang kesian melihat Anwar dalam dia bergelut dengan masalah dirinya sendiri, (kes mahkamah) beliau juga kena tangani masalah parti bukan saja dalam PKR adakalanya masalah membabitkan Pas dan DAP.

Sebenarnya kalau semua orang sayangkan parti dan sayangkan Anwar jangan cipta masalah tetapi cubalah hindarkan masalah dari timbul. Zaid dan Azmin adalah aset besar untuk Anwar dan PKR. [wm.kl.8:00 am 23/09/10]

msomelayu.blogspot.com
23.9.2010

Sunday, September 19, 2010




anilisis isu

Siapa yang paling layak Timbalan Presiden

Menjelang pemilihan PKR November ini, antara jawatan yang hangat diperkatakan ialah Timbalan Presiden, bukan Naib Presiden mahupun Presiden. Untuk jawatan Presiden tidak ada sesiapa yang dijangka bersedia mencabar Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Bagaimanapun Naib Presiden, dijangka menjadi gelanggang besar dengan awal-awal lagi Wanita PKR telah menamakan calon mereka.

Fokus calon jawatan Timbalan Presiden ini tertumpu kepada empat nama, iaitu dua Naib Presiden sedia ada YB Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub, dengan dua lagi nama masih bermain tarik tali. Tan Sri Khalid Ibrahim dari awal memukul canang beliau tidak berminat dengan jawatan tersebut, begitu juga Datuk Zaid Ibrahim. Cuma akhir-akhir ini Zaid memberikan mesej sedia bertanding jika Khalid menolak. Ini seolah-olah bermakna, antara Khalid dan Zaid, salah seorang mungkin akan bertanding jawatan Timbalan Presiden. Sebenarnya jika bukan dengan kemunculan Zaid yang memberikan pilihan antara beliau dan Khalid, mungkin timbul nama kelima, iaitu Tien Chua.

Berdasarkan kekananan dalam hierarki parti, Azmin dan Mustaffa dikira paling kanan. Azmin telah bersama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak dalam kerajaan dan tidak pernah sama sekali meninggalkan Anwar. Malah boleh dikatakan segala rahsia Anwar di dalam kocek Azmin. Apatah lagi sebagai Naib Presiden, kekosongan jawatan Timbalan Presiden memang wajar diisi salah seorang Naib Presiden. Cuma Azmin lebih bernasib baik berbanding dengan Mustaffa walaupun Mustaffa lebih dahulu mengenali dan rapat dengan Anwar.

Sewaktu Anwar memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia, Mustaffa ialah Presiden Pertubuhan Kebajikan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). PKPIM pada waktu itu antara pertubuhan pelajar paling kuat menyokong Anwar, baik semasa beliau dalam ABIM atau kerajaan. Cuma Mustaffa tidak begitu bernasib baik berbanding Azmin. Bagaimanapun, jika mahu mencari seorang lagi yang se acuan Anwar, dia ialah Mustaffa. Itulah kekuatan dan kelemahan beliau.

Kekuatan Mustaffa kerana beliau mempunyai sahsiah politik yang amat similar dengan Anwar dek kerana dilatih oleh Anwar. Sebab itu beliau berbicara seumpama Anwar, kadangkala juga berpakaian semacam Anwar pada zaman perjuangannya, dan bervisi sesuatu yang tulus dan amat jujur. Cuma dalam politik, tidak cukup hanya menyerupai dan berfikiran seperti bosnya. Dari segi pengalaman dan sepak terajang politik, Anwar jauh meninggalkan Mustaffa.

Mustaffa tidak bernasib baik kerana kalah dalam Pilihan Raya Umum 2008. Andai beliau menang, kerusi Menteri Besar Perak adalah haknya yang tidak dipersoalkan. Ketika Pakatan Rakyat terlibat dalam sesi panjang mencari calon Menteri Besar, nama beliau turut diusulkan walaupun beliau tidak memenangi kerusi DUN. Dikatakan bahawa dalam Perlembagaan Tubuh Negeri Perak, tidak tercatat seseorang itu perlulah ahli DUN. Bagaimanapun kerana situasi melantik bukan Ahli DUN sebagai Menteri Besar belum pernah berlaku, malah mendapat pelbagai bantahan, maka Mustaffa terkeluar daripada senarai calon akhirnya. Tanpa sebarang kerusi kuasa Mustaffa menjadi pemimpin sekunder dalam hierarki PKR. Apatah lagi beliau seorang loyalist Anwar yang tidak akan membantah apa sahaja disuruh Anwar. Kesetiaan yang mutlak kadangkala tidak dapat menonjolkan kewibawaan seseorang pemimpin.

Berbanding Mustaffa, Azmin dikatakan lebih pintar dan licik permainan politiknya, dalam bahasa Inggerisnya disebut ‘true political animal’. Beliau juga dididik Anwar, malah lebih mendapat didikan politik kerana bekerja rapat dengan Anwar. Maka beliau berupaya membina jaringan lebih hebat sejak dalam UMNO dahulu sehinggalah PKR ditubuhkan. Kelebihan Azmin bukan sahaja kerana kehebatannya berpolitik, malah lebih mempunyai sumber berbanding pemimpin PKR lain. Beliau mampu bergerak tanpa mendapatkan penajaan daripada sesiapa, malah dikatakan pandai menjaga pengikutnya. Ini membolehkan beliau mempunyai rangkaian lebih jauh, luas dan berkesan.

Mustaffa dan Azmin, dua manusia yang sama sekali berbeza. Mereka masih bersahabat baik, tetapi seteru politik di dalam parti. Masing-masing sentiasa cuba untuk menggembirakan ‘bos’ tetapi kelihatannya Azmin, walaupun Mustaffa lebih jujur dalam politiknya. ‘Bos’ PKR tahu bahawa Mustaffa boleh menjadi pemimpin yang baik seumpama Nik Aziz, tetapi tentu beliau juga tahu PKR memerlukan pemimpin lebih robust, tekal dan berani. Pada masa sama, PKR juga tidak mahu pemimpin yang dilihat terlalu ghairah untuk memegang jawatan sehingga dikhuatiri rakan komponen dalam Pakatan Rakyat. Malah jika Mustaffa tidak mencabar Azmin, awal-awal Tien Chua sudah memberikan amaran tidak akan mengizinkan Azmin menang percuma.

Dalam keterperangkapan PKR antara Mustaffa dan Azmin, timbul awalnya nama Khalid dan seterusnya Zaid. Sejak Khalid menjadi Menteri Besar Selangor sudah beberapa kali namanya ditimbulkan sebagai pilihan ketiga. Mengapa ada pilihan ketiga? Mungkin kerana PKR memerlukan seseorang yang lebih lengkap pakejnya berbanding dua nama tersebut. Cuma, adakah Khalid nama alternatif paling baik?

Khalid awal-awal sudah beberapa kali menolaknya. Dalam politik, jika seseorang mahu bertahan, dia harus memegang jawatan yang kanan dalam hierarki kepimpinan parti. Seawal Khalid menyertai PKR, beliau dilantik menjadi Setiausaha Agung, lalu kemudiannya Bendahari Agung pada waktu PKR dalam kesulitan dananya. Khalid dikatakan dapat membantu pendanaan PKR menjelang pilihan raya umum.

Khalid bernasib baik apabila menang kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dan DUN Ijuk. Andainya PKR mampu mengambil alih Kerajaan Pusat, Khalid adalah calon untuk Menteri Kewangan. Beliau masih bernasib amat baik kerana dengan kedudukan sebagai Bendahari PKR yang rapat dengan Anwar dan dianggap sebagai nama korporat besar, beliau memintas Azmin untuk menjadi Menteri Besar Selangor. Ini kelihatan sesuatu yang kurang adil kepada Azmin, tetapi sebagai ahli politik yang bijaksana, Azmin mengambil jalan tengah untuk berdamai.

Khalid dinilai prestasinya sebagai Menteri Besar dan Ahli Politik. Ramai beranggapan sebagai ahli politik, beliau gagal kerana tidak ‘pandai’ menggembirakan penyokong. Kepimpinan politik yang berjaya, apabila berupaya membina kumpulan penyokong tegar di sekeliling yang akan menjadi pagar kepada beliau. Khalid adalah lone ranger dalam PKR walaupun beliau lebih disenangi rakan-rakan dalam Pakatan. Walaupun dilihat sebagai calon berwibawa dalam pengurusan kerajaan, ramai dalam PKR tidak menjangka beliau boleh menandingi Azmin dalam pemilihan Timbalan Presiden, malah kalau dilihat hubungan mesra akar umbi, Mustaffa jauh lebih baik.

Apabila Zaid menyertai PKR, beliau dilihat sebagai calon paling ideal untuk mengambil alih kepimpinan dalam Pakatan Rakyat andainya apa-apa terjadi kepada Anwar. Dalam saf kepimpinan Pakatan Rakyat, Zaid lebih mudah diterima walaupun awalnya akar umbi dalam Pas sukar menerimanya. Cuma Pas adalah parti yang patuh kepada kepimpinan mereka, lalu apabila kepimpinan Pas menerima Zaid, maka pengikut mereka menerimanya. Apatah lagi Zaid dikatakan bukan lagi Zaid pada zaman UMNOnya walaupun tag liberalnya masih kuat terlekat.

Dari segi kecerdikan berpolitik dan kemampuan sumber, Zaid setanding Azmin, hatta sumbernya jauh lebih besar daripada Azmin. Zaid berupaya memberikan saingan kuat kepada Azmin. Kekurangan Zaid ialah kerana beliau masih baru dalam PKR dan belum mengenal sepak terajang dalam PKR sepenuhnya. Persaingan dalam PKR berbeza dengan persaingan dalam UMNO, apatah lagi dengan pengenalan kaedah baru dalam PKR yang memberikan suara dan undi kepada umbi dengan pengundian melibatkan semua cabang dalam PKR.

Akhirnya antara Mustaffa, Azmin, Khalid dan Zaid; siapakah akan menjadi pilihan ahli-ahli PKR? Bagaimana dengan peranan Anwar, sama ada akan memberikan isyarat atau tidak siapa calon pilihannya? Sukar terjadi persaingan empat penjuru, paling-paling tiga atau dua. Akan ada berlaku kompromi dengan calon-calon consolidate di bawah seorang calon, cuma nama yang pasti tidak menarik diri dan tidak bersekutu dengan mana-mana calon lain ialah Azmin. Mustaffa mungkin nanti akan melihat bagaimana Khalid dan Zaid membuat keputusan, sama ada beliau ‘join the wagon’ atau membuat keputusan ‘if you cant beat them, join them’. - Ishak Hamzah

kedahlanie,
19.9.2010
Nik Aziz mahu peranan wartawan dengan ulama seiring

KOTA BAHARU - Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu wartawan dan ulama memainkan peranan yang seiring untuk menjamin keselamatan ummah di dunia dan akhirat.

Mursyidul Am PAS itu berkata tanggungjawab kedua-dua golongan ini adalah sama iaitu mengabdikan diri kepada Allah.

"Tinggal lagi, ulama menyampaikan dakwah melalui lisan manakala wartawan menyebarkan maklumat melalui mata pena.

"Oleh itu, mereka hendaklah bergerak seiring untuk kepentingan dan kesejahteraan ummah dunia dan akhirat," katanya berucap di majlis dialog Menteri Besar Kelantan dengan wartawan anjuran Urusetia Penerangan Negeri, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Abdul Rahman Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Ladang Rakyat Dr Azmi Razali Azmi. - BERNAMA

sinarharian,
19.9.2010
Hormatilah privasi saya'

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Suami kepada jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya meminta pihak media supaya menghormati keputusannya untuk tidak membuat sebarang ulasan mengenai tragedi yang menimpa isterinya.

Beliau yang enggan namanya disiarkan ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini turut melahirkan rasa terkilan dengan pelbagai laporan tidak tepat disiarkan oleh media mengenai Sosilawati termasuk mengenai dirinya.

Katanya, sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk beliau mengulas kes pembunuhan isterinya itu kerana memerlukan masa menenangkan diri.

"(Perkara) dah lepas biarlah lepas. Saya tak ada apa-apa untuk komen.

"Hormatilah privasi saya. Saya tak mahu memberi komen kerana bimbang apa yang diperkatakan akan disalah tafsir nanti," ujarnya.

Sebelum ini, timbul tanda tanya apabila kelibat suami Sosilawati tidak kelihatan di rumah jutawan kosmetik itu di Taman Harmonis, Gombak, sejak wanita tersebut serta tiga yang lain dilaporkan hilang.

Malah, sejak berita pembunuhan pemilik syarikat Nouvelles Visage itu didedahkan, suami Sosilawati itu dikatakan tidak pernah muncul di rumah usahawan tersebut.

Menurutnya, beliau memang tidak mahu menonjolkan diri atau memberi sebarang komen dalam kes pembunuhan isterinya itu kerana tidak mahu keadaan menjadi bertambah buruk.

Malah, dalam nada kecewa suami Sosilawati itu memberitahu, beliau tidak mahu lagi membaca apa-apa berita yang ditulis mengenai dirinya dan Sosilawati yang dilaporkan dalam akhbar selepas ini.

Pada 2 Januari lalu, Sosilawati, 47, dalam satu sidang akhbar memaklumkan bahawa beliau berkahwin dengan lelaki itu yang merupakan seorang ahli perniagaan pada 25 November tahun lalu di Songkhla, Thailand.

utusanonline,
19.9.2010
M. Rajoli ampunkan isteri, anak-anaknya


KUALA LUMPUR 18 Sept. - Pelakon veteran, M. Rajoli sempat memaafkan dua isteri dan empat anaknya sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Ampang di sini, malam tadi.

Menurut anak bongsu Allahyarham, Muhammad Ariff, 23, dia sempat berbisik ke telinga M. Rajoli memohon maaf bagi pihaknya dan ahli keluarga yang lain jika pernah melakukan kesalahan dan menyinggung perasaan bapanya itu.

"Arwah bapa saya koma dua jam sebelum meninggal dunia. Saya sempat berbisik ke telinganya memohon maaf semasa dia dalam keadaan itu. Dia mengerdipkan matanya dan menganggukkan sedikit kepala selepas itu.

"Saya faham isyarat arwah bapa saya itu," katanya sewaktu ditemui pemberita selepas upacara pengebumian jenazah Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat di sini, hari ini.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al-Aqram Jalan Datuk Keramat pada pukul 9.30 pagi dan selamat dikebumikan di tanah perkuburan itu pada pukul 10.30 pagi.

Hadir sama isteri pertama Allahyarham, Hashimah Md. Din dan anak-anaknya. Kelibat isteri keduanya yang merupakan bekas pembaca berita RTM, Wan Chik Daud tidak kelihatan.

Ketika ditanya, Muhammad Ariff menjelaskan, dia menjemput ibu tirinya hadir ke upacara itu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) tetapi Wan Chik membalas dengan mengatakan dia tidak dapat hadir.

"Dia (Wan Chik) kata walaupun tidak dapat hadir tetapi dia yakin akan berjumpa juga dengan arwah bapa di akhirat kelak," jelas Muhammad Arif yang turut membacakan talkin untuk Allahyarham.

Sementara itu, pemergian Allahyarham ke rahmatullah bukan sahaja dirasai oleh isteri dan anak-anaknya tetapi juga rakan-rakan seperjuangan Allahyarham dalam bidang lakonan yang hadir memberi penghormatan terakhir.

Pengarah Yusof Kelana menyifatkan Allahyarham yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan sebagai pelakon versatil dan komited dalam kerjayanya sejak bergelar pelakon pada 1964 melalui filem Ibu Ayam arahan Salleh Ghani.

"Saya pernah mengarahkan filem berjudul Juara pada 1991 yang dilakonkan oleh Allahyarham. Dalam filem itu Allahyarham melakonkan watak komedi. Saya tidak sangka dia juga sebenarnya pelakon komedi.

"Ini kerana, selama ini ramai yang beranggapan Allahyarham hanya sesuai melakonkan watak orang alim sahaja. Beliau mampu melakonkan pelbagai watak dan komited sewaktu di lokasi penggambaran," jelasnya.

utusanonline,
19.9.2010

Friday, September 17, 2010

BILA MAFIA MULA MENGUASAI NEGARA?

PAS mahu tindakan sewajarnya diambil terhadap segelintir anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didakwa cuai dan tidak serius dalam menyiasat beberapa laporan kes kehilangan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata parti itu memandang berat kenyataan yang mengatakan ada laporan kehilangan tidak disiasat dengan serius.

"PAS mengharapkan supaya pegawai yang cuai terhadap laporan yang dibuat terhadap beberapa kes pembunuhan dan menghilangkan mangsa oleh kumpulan mafia ini mesti disiasat sama. Apa makna laporan dibuat jika siasatan tidak dibuat dengan cara yang serius," katanya.

Ujarnya lagi, PAS meletakkan kepercayaan terhadap jaminan yang diberikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar untuk mengambil tindakan terhadap pegawai polis yang cuai apabila laporan kehilangan yang tidak siasat dengan serius.

"Ini adalah merupakan ujian awal ke atas Ketua Polis Negara yang baru," katanya lagi sambil menyifatkan sangat malang jika perkara tersebut benar-banar berlaku.

PAS, jelasnya tidak mahu lagi melihat akan ada lagi pembunuhan bersiri seperti yang berlaku kepada Allahyarhamah Sosilawati dan tiga yang lain.

Kecekapan polis, ujarnya juga sedang dipersoal apabila rakyat tertanya-tanya kenapa tindakan pantas tidak dibuat sebelum ini seperti mana tindakan pantas terhadap kematian Allahyarhamah Sosilawati Lawiya.

Beliau merujuk kepada laporan kehilangan seorang jutawan India, Allal Kathan Muthuraja, 34, yang dilaporkan hilang di Malaysia, 18 Januari 2010 selepas menemui suspek di Banting atas urusan perniagaan.

Sumber berkata, suspek itu juga dikatakan terbabit dalam pembunuhan seorang wanita bernama T Selvi, 44, yang juga isteri kepada pemilik bengkel di hadapan rumahnya, tahun lalu. Mangsa dikatakan dibunuh selepas berselisih faham berhubung pinjaman sejumlah wang dengan suspek utama, seorang peguam bergelar Datuk.

"PAS tidak mahu negara ini dikuasai oleh “mafia” yang menganggu ketenteraman negara dan keharmonian rakyat di negara ini," katanya.

Sehubungan itu, PAS mengharapkan segala laporan yang pernah dibuat kepada polis mengenai kehilangan misteri perlu diselongkar kembali, pegawai yang terlibat perlu disiasat untuk menjaga maruah institusi polis.


suwaritimur.blogspot.com

17.9.2010
[Kemas Kini] Kronologi Pembunuhan Sosilawati

Saya petik:

[BH] Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang bersamanya, dikatakan dibunuh, kira-kira jam 10 malam, 30 Ogos lalu, iaitu pada hari sama keempat-empat mangsa dilaporkan menemui seorang peguam bergelar Datuk di Banting, Selangor, untuk urusan jual beli tanah.

Perkara itu didedahkan suspek hasil soal siasat yang dilakukan polis, sekali gus menolak teori kononnya Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44, peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38, masih hidup selepas tiga hari kehilangan mereka dilaporkan.

Kira-kira dua jam sebelum dibunuh dan dibakar di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting, Noorhisyam dipaksa menelefon isterinya, Suzana Radin Pangat, 38, bagi memaklumkan beliau akan pulang selepas tiga hari.

“Tempoh tiga hari yang dinyatakan itu mungkin taktik kumpulan penjenayah itu untuk menghapuskan segala bukti sebelum ahli keluarga mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan mereka,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, Sosilawati dan dua lagi mangsa pula tidak dibenarkan menelefon keluarga masing-masing kerana kumpulan penjenayah itu percaya maklumat yang disampaikan Noorhisyam akan disebarkan kepada semua keluarga mangsa terbabit.

“Hanya Noorhisyam dibenar menghubungi isterinya, tetapi dengan kawalan dan pengawasan ketat kumpulan penjenayah terbabit menyebabkan panggilan itu berlaku dalam keadaan tergesa-gesa.

“Sebab itu, Noorhisyam dalam perbualan dengan isterinya antara lain meminta maaf dan mengaku tidak dapat memberitahu apa yang berlaku terhadapnya dan berjanji untuk menceritakan segala-galanya selepas tempoh tiga hari,” katanya kepada Berita Harian.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Suzana menerima panggilan daripada suaminya pada jam 8.15 malam, 30 Ogos lalu.

Suzana berkata, beliau hairan kerana suaminya bercakap dalam keadaan tergesa-gesa tetapi beliau tidak membuat laporan polis kerana suaminya akan pulang tiga hari lagi.

Pembunuhan kejam Sosilawati bersama tiga individu itu hanya terbongkar pada 10 September lalu selepas lapan suspek termasuk seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya juga seorang peguam, ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan mangsa.

Sumber berkata, Sosilawati dan tiga individu itu dipercayai dibunuh kerana penjenayah itu menghadapi kesukaran untuk menjaga mangsa serta bimbang dikesan polis.

“Siasatan terperinci sedang dilakukan bagi memastikan sama ada terdapat individu lain terbabit dalam kes pembunuhan kejam ini serta kaitan lapan suspek yang ditahan itu dengan kes berkenaan dan kehilangan empat individu lain yang dilaporkan hilang sejak setahun lalu.

“Bahan bukti yang diperoleh sedang dikumpul untuk dilakukan ujian forensik. Siasatan awal pula mendapati motif pembunuhan itu mempunyai kaitan dengan masalah perniagaan, tetapi siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

KRONOLOGI
Detik sebelum dibunuh
10 pagi: Sosilawati memasuki pejabatnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

4 petang: Membeli kerepek di Kampung Sungai Lang, Banting.

5 petang: Kamaruddin menghubungi anak saudaranya, Khairul Izuan Ismail.

5-6 petang: Sosilawati menghantar SMS kepada suami memberitahu dia ke Banting.

8.15 malam: Noorhisham menelefon isterinya, Suzana Radim Pangat.

10 malam: Keempat-empat mangsa dibunuh dan dibakar di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting.


Berkaitan:

* Kes bunuh Sosilawati: Taktik licik hapus bukti
[HM] KUALA LUMPUR: Taktik siasatan polis berdasarkan teori ‘No Body, No Murder’ digunakan suspek utama yang juga seorang peguam berstatus Datuk dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga individu lain di Ladang Gadong, Tanjung Sepat dekat sini, baru-baru ini.

Teori itu dikatakan digunakan suspek ketika dia cuba menghapuskan segala bukti fizikal dengan membakar semua mayat sebelum abunya dibuang ke dalam sungai.
Malah bagi mengelirukan polis, suspek turut membuang abu mayat mangsa, barangan peribadi, senjata digunakan dan bahan yang ada kaitan dengan kes itu ke dalam beberapa sungai yang terletak berhampiran ladang berkenaan. Dengan perancangan rapi dilakukannya, lelaki berkenaan disifatkan sebagai bijak kerana mengetahui cara terbaik menghapuskan barangan kes....

* 16 anjing ganas
[HM] BANTING: Suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain membela 16 anjing rottweiler bagi mengawal ladangnya di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, di sini selain digunakan untuk menakutkan mangsa jika enggan mengikut arahan.

Semua mangsa suspek dikatakan diugut akan dicampak ke dalam kandang anjing berkenaan sekiranya tidak mahu bekerjasama atau enggan mematuhi arahan.
Difahamkan, ladang berkenaan juga mempunyai beberapa unit rumah seakan chalet menempatkan sebuah rumah yang eksklusif dan kolam renang.

Sosilawati dan rakannya juga dipercayai ditakutkan dan diugut akan dicampak ke dalam kandang anjing berkenaan. Malah, semua mereka dipercayai dibunuh selepas suspek berpendapat sukar mengawal mereka.

Semua mangsa dibelasah dengan kayu kriket sebelum dibunuh seorang demi seorang. Mayat mangsa dibakar sebelum abunya dibuang ke dalam sungai dengan tujuan melupuskan bukti....


* Selamat Menyambut Hari Malaysia. Tahniah PR!

duniacacamerba.blogspot.com
17.9.2010

Thursday, September 16, 2010






bNegara Demokratik Satu Tuntutan Patriotik

SHAH ALAM 16 Sept - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengajak rakyat Malaysia supaya menguatkan tekad dan iltizam untuk bersama-sama berganding bahu mewujudkan sebuah negara yang benar-benar demokratik serta menghormati kedaulatan undang-undang yang berteraskan prinsip kebebasan dan keadilan.

Dalam perutusan sempena sambutan Hari Malaysia yang ke-47 yang juga disambut sebagai cuti umum buat pertama kali dalam sejarah, Abdul Khalid menegaskan tanggungjawab ini adalah tuntutan patriotik yang perlu digalas oleh setiap warganegara yang prihatin.

"Ini bukanlah perkara baru kerana ia terkandung di dalam teks Pemahsyuran Kemerdekaan negara kita. Ia juga diulang semasa pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

"Saya yakin rakyat Malaysia kini kian matang untuk secara demokratiknya menilai serta menyaring banyak wacana yang muncul dalam masyarakat. Dengan kematangan ini, kita harus yakin untuk berbeza pendapat secara aman dengan maksud sama berusaha mencari penyelesaian," kata Menteri Besar.

Namun selepas 47 tahun penubuhan gagasan Malaysia, rakyat berhadapan dengan masalah urus tadbir negara yang lemah disebabkan salah guna kuasa oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional.

"Kita kini berdepan dengan isu urus tadbir kerajaan yang lemah kerana salah guna kuasa di samping sistem pengurusan yang tidak lancar. Ini turut mengheret masalah ekonomi yang ditandai dengan pelbagai isu rasuah dan penyelewengan serta masalah sosial seperti jenayah, kemiskinan serta prejudis kaum dan agama yang tebal. Umumnya, kita kini berdepan dengan persoalan identiti, iaitu ke mana hala tuju negara ini mahu di bawa.

"Kita telah menyaksikan sepanjang sejarah singkat negara ini, wujud jurang ketara dalam aspek pembangunan kemudahan serta pengupayaan sosio-ekonomi rakyat. Komitmen semua diperlukan agar masalah ini dapat diketengahkan sebagai perhatian untuk diselesaikan.

"Kita tidak boleh lagi menyapu sampah ke bawah tikar. Setiap masalah yang muncul perlu dihadapi untuk penyelesaian tuntas. Ini hanya dapat dilakukan dengan penegasan prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban. Bagaimanapun, penegasan dua prinsip ini akan melibatkan sejumlah birokrasi, sekurang-kurangnya di peringkat awal. Suka atau tidak, ia perlu dilakukan agar disiplin pengurusan ekonomi yang mapan dapat mengambil tempat. Dengan tertegaknya bentuk pentadbiran begini, agenda merakyatkan ekonomi akan dapat disusun dengan lebih baik untuk semua," tegas Abdul Khalid lagi.

Menteri Besar menyeru rakyat negara ini agar mengingati, memahami dan menginsafi perjalanan sejarah negara untuk menghargainya serta terus berusaha memberikan yang terbaik untuk membangunkannya serta memelihara kedaulatannya.

"Selepas sekian lama bersatu sebagai sebuah negara Malaysia, kita telah berpeluang mengurus-tadbir negara ini sendiri sebagaimana yang dihajatkan semasa perjuangan untuk Merdeka. Ia adalah satu proses berterusan dan tidak mudah.

"Pada hari ini, dalam kepesatan era teknologi dan inovasi, kita berdepan dengan pelbagai persoalan yang mencabar dan menuntut kita untuk sentiasa bersedia membuat keputusan tepat, cepat dan berintegriti tinggi.

"Sempena sambutan Hari Malaysia ini, saya ingin menyeru kita semua untuk merenung semula makna diri merdeka serta erti hidup bernegara dan hubungannya dengan diri kita, keluarga, masyarakat seluruhnya serta negara. Semoga masa depan Malaysia akan menjadi lebih baik untuk semua," ujar beliau.

http://suara-keadilan-.com
16.9.2010



Anwar Enggan Terima Sebarang Pencalonan

Oleh Dzulkarnain Taib

SHAH ALAM 14 Sept - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak akan menerima sebarang pencalonan untuk sebarang jawatan dalam parti.

Disamping itu beliau mengingatkan ahli yang menjadi calon bagi jawatan parti agar patuh kepada etika pemilihan sepenuhnya dan tidak mendakwa mendapat restu daripadanya.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata KEADILAN telah memperkenalkan sistem pemilihan yang demokratik dan memberi ruang kepada setiap anggota menentukan calon pilihan mereka.

“Maka di atas pundak setiap anggota dibebankan tanggungjawab untuk memastikan idealisme perjuangan dan tuntutan reformasi terus dipertahankan dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Prinsip tersebutlah yang kelak menjadi asas pertimbangan, dan bukannya tuntutan luaran atau sogokan,” kata beliau di dalam posting terbarunya dalam blog www.anwaribrahimblog.com hari ini.

Anwar juga berkata adalah hak anggota memilih berdasarkan prinsip perjuangan parti dan menginginkan persaingan yang sihat.

Sebelum ini Muafakat Kepimpinan Keadilan Negeri Selangor (MMKKNS) mencadangkan Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dicalonkan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden PKR pada November ini pada 9 September lalu.

Cadangan ini lantas mendapat sokongan Timbalan Presiden, Senator Dr Syed Husin Ali yang mengumumkan tidak mempertahankan jawatannya pada Pemilihan Parti 200 November depan.


suarakeadilan,
15.9.2010



Ibrahim bersandiwara atau tak faham Perlembagaan
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Penganalisis politik, Prof Dr Abdul Aziz Bari menganggap Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) tidak memahami inti sebenar Perlembagaan Persekutuan.

Anggapan itu gara-gara inisiatif ekstrem Datuk Paduka Ibrahim Ali mengasaskan Perkasa bagi mempertahankan hak keistimewaan Melayu, bahasa Melayu, Majlis Raja-Raja Melayu serta Islam seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang kononnya sedang dihakiskan oleh pihak 'bukan Melayu' tertentu.

"Lagipun kefahaman Perlembagaan (Persekutuan) oleh Perkasa adalah tidak tepat kerana tidak ada sesiapa yang boleh memadam peruntukan yang mereka (Perkasa) kata perlu dipertahankan," ujar pakar perlembagaan itu kepada Harakahdaily.

Kata ahli akademik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) lagi, langkah Perkasa itu seakan menghalang kebebasan bersuara rakyat dalam membincangkan isu-isu yang selama ini dianggap sensitif oleh pemerintah.

"Perkasa juga semacam lupa bahawa Perlembagaan memberi hak bersuara selagi ia tidak meminta pemansuhan kedudukan yang sedia ada itu, termasuk Raja, bahasa dan lain-lain," ujarnya.

Walhal, katanya sesetengah isu-isu yang diwacanakan oleh rakyat, khususnya bukan Melayu tidaklah sampai pada tahap membelakangkan Perlembagaan.

Lanjutan itu, beliau mempersoal motif sebenar Ibrahim, Presiden Perkasa menggunakan media untuk meniupkan api perkauman ekstrem belakangan ini.

"Jadi, apa yang hendak dipertahankan?" soalnya.

Beliau turut mempersoal idea Ibrahim pada Ahad lalu yang mahu Perkasa mewujudkan muafakat politik baru, iaitu menerima keanggotaan bukan Melayu.

"Dengan idea ekstrem yang mereka bawa, nak kerjasama dengan bukan Melayu yang macam mana.

"Jadi, macam Perkasa nak buat kerjasama...dengar nama Perkasa pun mereka (bukan Melayu) sudah meluat," ujarnya.

Hari ini, dilaporkan Ibrahim menuduh MCA menguasai Umno pula.

Tuduhan terbaru itu selepas Ibrahim menuduh PAS tunduk pada kemahuan politik para pemimpin bukan Islam dari DAP serta Pakatan Rakyat yang lain.

Tuduhan-tuduhan Ibrahim itu ekoran keengganan pihak masing-masing untuk menerima pelawaan Perkasa, badan bukan kerajaan untuk mempopularkan politik ekstrem Melayu di tanah air.

Manakala, Umno pula dilihat seakan dalam dilema sama ada mahu berwajah liberal atas nama slogan 1Malaysia atau kekal dalam kerangka 'ultra Melayu' seperti yang didesak Perkasa.

harakahdaily
15.9.2010
Baik UMNO, PAS, ANWAR hatta MAHATHIR sekalipun, Ekonomi Melayu Hanya Tinggal Slogan kerana WTO Telah Menjajah Malaysia

Penulis tamu: Jafrul Jaafar

Ahli politik Melayu bolehlah sekadar bercakap di surat khabar dan TV. Hakikatnya,dalam sektor ekonomi, hak bumiputera telah sudah lama hilang dan dirampas oleh raksasa yang bernama WTO.

Hakikat sebenar, ekuiti di dalam sektor perkilangan telah lama dibolehkan 100% dimiliki oleh bukan Melayu dan orang asing. Tetapi tiada siapa pun yang berani bersuara di dalam UMNO (Anwar pun ada waktu ni) walhal Menteri MITI ialah kedudukan eksklusif untuk UMNO (mana tak eksklusif , Rafidah pegang berapa tahun? Mahathir pun pernah pegang position kat MITI), di manakah MITI di dalam menguatkuasakan terma-terma untuk mewujudkan dan memastikan 30% para pengedar barang-barang syarikat perkilangan hendaklah diedarkan oleh pengedar Bumiputera. Berapa banyak pengedar Bumiputera yang diwujudkan oleh kilang Sony dan Samsung di Malaysia?

Rata-rata klausa-klausa ini ada dikenakan oleh MITI kepada pengeluar-pengeluar asing yang beroperasi di Malaysia. Tidak cukup dengan 'failure in enforcement' dalam dasar perkilangan ini, kini, MITI sekali lagi meneruskan dasar liberalisasi di dalam sektor perkhidmatan. Bayangkan ekonomi Eropah yang lebih matang dan awal dibangunkan jika dibandingkan dengan ekonomi Malaysia telah terjejas teruk kerana angkara WTO, inikan Malaysia yang penduduknya hanya 4-5 juta bekerja yang mana rata-ratanya bergaji bawah dari RM 3 ribu sahaja.

Di sebalik keasyikan dan keghairahan para 'economist' tajaan PEMANDU dan 'LAB' untuk mewujudkan ‘ekonomi yang bersaing’ ,’high economic income’ dan pelbagai ‘jargon’ lain tetapi rata-rata orang Melayu masih lagi berniaga ala 'gypsy' di pasar-pasar malam dan di pasar-pasar hari yang rata-ratanya asetnya hanyalah payung plastik, meja berkaki empat, bangku, dan van atau kereta second hand tetapi peniaga-peniaga Cina telah berniaga dan asetnya ialah bangunan kedai, kilang, lori baru dan forklift.

Jika di dalam sektor pekerjaan pula, orang Melayu rata-rata gah berpangkat besar di dalam sektor kerajaan dan anak-anak syarikat milik kerajaan tetapi orang Cina malah orang India mereka memegang jawatan penting di dalam syarikat-syarikat yang pemilikan asing.

Akhir kalam, orang Melayu menggunakan politik untuk mendapatkan kuasa ekonomi. Tetapi , orang Cina dan orang India menggunakan kuasa ekonomi untuk mendapatkan kuasa politik. Wahai ahli politik Melayu yang masih dibuai mimpi yang indah, zaman sebelum wujudnya WTO, mungkin kuasa politik untuk beli kuasa ekonomi itu mudah. Tetapi, dalam keadaan zaman yang sudah berubah di mana zaman pasaran adalah kuasa mutlak, yang mana lebih mudah? Adakah kuasa ekonomi beli kuasa politik atau kuasa politik untuk beli kuasa ekonomi? Fikir2kan.

Wallahuallam..

Kedudukan Istimewa Orang Melayu
Posted by Luna and Thatguy

Penulis Tamu: Jafrul Jaafar

Perkara 153 Perlembagaan telah memaktubkan Hak Istemewa Orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak meliputi :- perkhidmatan awam : Perkara 153 (2,3 dan 4)

* - ekonomi : Perkara 153 (6)
* - pelajaran: Perkara 153 (2,3 dan 4)
* - Kedudukan Istimewa orang Melayu yang lain termasuklah peruntukan Perkara 89 dan 90 – berhubung dengan tanah rizab Melayu.
* - Hak-hak ini tidak boleh dipertikaikan dan ia dilindungi di bawah Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1971).


Kalau Presiden MCA sendiri pertikai, kenapa tak sumbat dalam ISA ja? Nampak sangat 'sandiwara' UMNO dan MCA. Cuba DAP yang pertikai.mesti dah lama kena. anyway, agak2 kalau Soi Lek ditakdirkan lahir di Tanah Besar Cina, dia boleh jadi Menteri Kesihatan ka dulu? Udah2 la Soi Lek. Muhyiddin pun sekarang baru nak tunjuk dia juara Melayu. Baguih la kalau hang dah insaf. Tapi boss hang 1Malaysia. Macam mana ni? . Nombor 1 1Malaysia. No2 Melayu.

Pendek kata, Malaysia dibawah BN semakin caca marba.

colourluna.blogspot.com
15.9.2010