Sunday, September 19, 2010

Hormatilah privasi saya'

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Suami kepada jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya meminta pihak media supaya menghormati keputusannya untuk tidak membuat sebarang ulasan mengenai tragedi yang menimpa isterinya.

Beliau yang enggan namanya disiarkan ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini turut melahirkan rasa terkilan dengan pelbagai laporan tidak tepat disiarkan oleh media mengenai Sosilawati termasuk mengenai dirinya.

Katanya, sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk beliau mengulas kes pembunuhan isterinya itu kerana memerlukan masa menenangkan diri.

"(Perkara) dah lepas biarlah lepas. Saya tak ada apa-apa untuk komen.

"Hormatilah privasi saya. Saya tak mahu memberi komen kerana bimbang apa yang diperkatakan akan disalah tafsir nanti," ujarnya.

Sebelum ini, timbul tanda tanya apabila kelibat suami Sosilawati tidak kelihatan di rumah jutawan kosmetik itu di Taman Harmonis, Gombak, sejak wanita tersebut serta tiga yang lain dilaporkan hilang.

Malah, sejak berita pembunuhan pemilik syarikat Nouvelles Visage itu didedahkan, suami Sosilawati itu dikatakan tidak pernah muncul di rumah usahawan tersebut.

Menurutnya, beliau memang tidak mahu menonjolkan diri atau memberi sebarang komen dalam kes pembunuhan isterinya itu kerana tidak mahu keadaan menjadi bertambah buruk.

Malah, dalam nada kecewa suami Sosilawati itu memberitahu, beliau tidak mahu lagi membaca apa-apa berita yang ditulis mengenai dirinya dan Sosilawati yang dilaporkan dalam akhbar selepas ini.

Pada 2 Januari lalu, Sosilawati, 47, dalam satu sidang akhbar memaklumkan bahawa beliau berkahwin dengan lelaki itu yang merupakan seorang ahli perniagaan pada 25 November tahun lalu di Songkhla, Thailand.

utusanonline,
19.9.2010

No comments:

Post a Comment