Saturday, September 11, 2010

Eid Mubarak, Maaf Zahir dan Batin

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

SELEPAS berbuka puasa petang tadi, kita memulakan sambutan Hari Raya Aidil Fitri. Ada yang akan berzanji dan marhaban dari rumah ke rumah dan tentu ada yang akan mula menjamu selera dengan hidangan hari raya.

Apa pun, kita bersyukur kerana sekali lagi kita berjaya melalui keistimewaan dan cabaran Ramadan. Manakala majoriti kita berpuasa dalam suasana aman dan selesa, ramai lagi umat Islam Malaysia yang hidup serba kekurangan dan menderita. Untuk itu kita berharap zakat fitrah yang kita keluarkan dan sedikit sebanyak sedekah kita berikan akan menolong meringankan beban hidup mereka.

Itu belum dikira lagi umat Islam di merata pelosok dunia yang menderita peperangan, penaklukan, penindasan, perang saudara, bencana alam, kemiskinan dan kebuluran. Berbanding dengan mereka, kita adalah amat bernasib baik dan negara kita adalah ibarat syurga.

Oleh sebab itulah saya tidak putus-putus menasihati umat Islam Malaysia agar jangan dengki dan cemburu kepada saudara seagama kita yang kaya dan berada.

Pengalaman saya sebagai pengantara (antara yang berada dengan yang tiada) meyakinkan saya bahawa majoriti orang Islam Malaysia yang kaya dan berada sangat pemurah dan banyak membuat amal jariah.

Tetapi dengan kedudukan saya yang semakin tidak relevan dan ramai orang kaya Muslim jatuh miskin atau dimiskinkan ketika Krisis Mata Wang Asia 1997/98, saya tidak lagi cergas menjadi pengantara dan penyalur amal jariah ini. Ada tidak adapun duit sendiri sekadar yang mampu.

Sebelum usahawan-usahawan Muslim ini dimiskinkan oleh dasar pemerintah yang menarik balik aset-aset yang diswastakan kepada mereka, sedekah dan amal jariah mereka mencurah-curah.

Alhamdulillah, saya mendapat tahu bahawa walaupun dermawan-dermawan Muslim ini tidak lagi kaya raya macam dulu, namun sekadar yang terdaya mereka masih bersedekah dan membuat amal jariah. Ada yang membiayai orang miskin, orang tua dan orang cacat. Ada yang membina masjid dan surau. Ada yang membiayai tahfiz Al-Quran, membuat korban dan menghantar orang susah ke Makkah.

Hari ini kita hanya dengar Syed Mokhtar Albukhary melakukan sedekah jariah berpuluh juta ringgit setahun. Dulu kita ada dermawan besar macam Halim Saad (Renong), Tajudin Ramli (Mas) dan Abdul Rashid Hussein (RHB) dan Allahyarham Basir Ismail (Fima). Walaupun mereka “dimiskin” atau sudah meninggal dunia, namun saya tahu mereka masih membuat amal jariah dan peninggalan mereka memanfaatkan kita yang masih hidup.

Inilah cabaran kita umat Islam dan orang Melayu di Malaysia. Setiap kali air bah, setiap kali pasir berubah dan ramailah usahawan Muslim yang hanyut. Ini tidak pula berlaku kepada usahawan agama-agama lain. Kalau 50 tahun dulu mereka kaya, sekarang mereka super kaya. Mungkin inilah ujian Allah kepada kita umat Islam.

Namun kita tetap bersyukur kepadaNya kerana Muslim Malaysia hari ini jauh lebih senang dan berpelajaran daripada datuk nenek mereka. Dalam masa tiga generasi, status Muslim Malaysia telah berubah dengan begitu mendadak sehingga ramai yang terkejut melihat pengemis (orang asing) meminta sedekah di masjid pada hari raya. Dua generasi lalu, pengemis dan meminta sedekah adalah ciri hidup dalam masyarakat Muslim Malaysia.

Kini, kerana hidup senang dan negara aman, sudah ada umat Islam yang tidak bersyukur dan tidak mengenang budi serta jasa. Malah dengan angkuh mereka berkata, mereka berjaya kerana mereka pandai. Orang seumpama ini seolah-olah berkata, “ibu bapa dan nenek aku dulu miskin kerana mereka tidak pandai macam aku.”

Jadi sambil kita merayakan Eid Mubarak, marilah kita bersyukur kepada Allah dan berdoa agar diperkasakan semula masyarakat perusahaan dan perniagaan Muslim di negara kita ini, moga-moga satu hari nanti tidaklah perniagaan halal dan perbankan Islam dimonopoli oleh orang bukan Islam.

Saya sengaja gunakan ucapan Eid Mubarak kerana negara kita sudah menjadi negara antarabangsa. Ramai pendatang dan pengunjung dari berbagai pelosok dunia menumpang tuah di Malaysia -- bumi Melayu yang besar.

Saya mendapat tahu, dalam bahasa Arab, Eid Mubarak ertinya perayaan yang diberkati atau mengikut pengertian lengkapnya bermakna, moga-moga anda bergembira pada hari perayaan yang diberkati ini.

Berbanding dengan Selamat Hari Raya, rasa-rasanyalah Eid Mubarak lebih lengkap dan tepat dengan semangat Aidil Fitri.

Lagipun, kalau kebetulan kita bermusafir di luar negara pada hari raya dan kita ucap Selamat Hari Raya, rasa-rasanya tidak ramai Muslim yang faham melainkan mereka dari Kepulauan Melayu. Tapi kalau kita ucap Eid Mubarak, lebih ramai faham.

Ada kisah (riwayat) mengatakan para sahabat Rasullah (SAW) mengucapkan “taqabbalallâhu minnâ wa minkum” kepada Baginda yang lebih kurang bermaksud “moga-moga Allah menerima daripada kita (puasa dan kebaikan yang kita lakukan)”

Begitulah lebih kurang, tetapi kalau tak betul atau kurang tetap, saya mohon diperbetulkan. Mengenai permohonan maaf zahir dan batin itu, ia mungkin sesuatu yang unit bagi Muslim di Malaysia. Bagus kalau macam itu sebab ada slogan berbunyi “budi bahasa budaya kita.”

Kepada generasi kasut Fung Kiong dan Bata Badminton Master, kudis buta dan cacing pita, ceti dan padi kunca jangan malu menceritakan kepada anak cucu mengenai asal usul kita yang daif, dihina dan diperkosa oleh orang bangsa dan agama lain.

Eid Mubarak, taqabbalallâhu minnâ wa minkum kepada pembahas, pengikut tetap (followers) dan pembaca blog ini. Terima kasih atas ucapan dan ingatan saudari dan saudara semua.

Datuk Kadir Jasin adalah bekas Ketua Pengarang NSTP,
tulisan-tulisannya banyak yang pro BN. Namun ada beberapa hikmah
yang dapat kita kutip dari tulisan Datuk ini.

kadirjasin.blogspot.com
11.9.2010

No comments:

Post a Comment