Thursday, September 9, 2010

Giliran 13 ADUN PKR sokong Azmin

SHAH ALAM - Seramai 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dan Negeri Sembilan semalam menyatakan sokongan kepada Naib Presidennya, Mohamed Azmin Ali untuk bertanding Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu Oktober ini.:

Kumpulan berkenaan yang diketuai ADUN Selangor kawasan Kota Anggerik, Yaakob Sapari berkata, Azmin adalah pemimpin paling layak menduduki kerusi nombor dua dalam parti itu kerana telah lama bersama dengan parti itu.

“Beliau telah melalui pelbagai cabaran getir termasuk difitnah ahli keluarga sendiri dalam mengharungi gerakan reformasi. Ketika sebahagian pimpinan seangkatan meninggalkan perjuangan mengejar kebendaan dan jawatan, beliau tetap istiqamah dan meneruskan agenda membela rakyat,” katanya pada sidang media yang diadakan di sini, semalam

Selain Yaakob, ADUN Selangor yang turut menyokong Azmin ialah Xavier Jayakumar (Andalas), Rodziah Ismail (Batu Tiga), Shuhaimi Shafie (Sri Muda), Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Lee Kim Sin (Kajang), Amirudin Shaari (Batu Caves), Gan Pei Nei (Rawang) dan Haniza Talha (Taman Medan), manakala ADUN Negeri Sembilan pula ialah Aminudin Harun (Sikamat), Rashid Latif (Ampangan), M Ravi (Port Dickson) dan Chai Tong Chai (Lukut).

Ditanya sama ada sokongan mereka itu adalah cubaan menolak pencalonan Datuk Zaid Ibrahim bagi jawatan itu, Yaakob menafikannya, sebaliknya berkata, ia hanyalah proses demokrasi yang didukung PKR.

Kelmarin, 20 Ahli Parlimen parti itu turut menyuarakan sokongan yang sama terhadap Naib Presiden tersebut.

sinarharian.com.my
8.9.2010

No comments:

Post a Comment