Monday, September 13, 2010

Pembunuhan Sosilawati ke-2 dahsyat selepas kes Altantuya-PAS

Oleh:
Dzulfikar Mashoor

JOHOR BAHRU, 12 Sept: PAS menganggap kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga rakannya sebagai kedua paling dasyat di Malaysia selepas kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Sharibuu.

Menurut Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar, kes pembunuhan mendiang Altantuyaa Sharibuu sebelum ini menggemparkan negara apabila dibom dengan C4 di Bukit Raja, Shah Alam pada 19 Oktober empat tahun lalu.

"Kematian al-Marhumah Sosilawati dan tiga yang lain adalah kes kedua paling dahsyat selepas kematian mendiang Altantuya," ujarnya petang tadi ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengesahan pihak polis bahawa Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, telah dibunuh.

Mayat mereka juga dibakar, manakala abunya dibuang ke dalam sebuah sungai dekat Ladang Gadong, di Tanjung Sepat, Banting.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, sepatutnya Polis sudah boleh mengesan suspek pembunuh lebih awal memandangkan saspek yang juga seorang peguam bergelar 'Datuk' turut dikaitkan dengan kehilangan empat individu setahun yang lalu.

"Selepas empat individu yang menjadi perhatian rakyat dilaporkan mati menjadi abu, baru Polis boleh mengaitkan saspek dengan kes empat orang yang hilang tahun lepas," ujarnya sambil menasihatkan bakal Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar supaya memperbaiki sistem siasatan kepolisan tanah air.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan bahawa kes tersebut turut membabitkan pemimpin negara yang berprofil tinggi sebagaimana kes pembunuhan Altantuya.

"Kalau Polis masih enggan mendedahkan siapakah peguam bergelar 'Datuk' yang dimaksudkan, mungkin rakyat selepas ini akan anggap pembunuh Sosilawati ini mungkin ahli politik yang berprofil tinggi, seperti kes Altantuya," ujarnya sambil mendesak Polis menjelaskan motif di sebalik kenyataan media tanpa laporan forensik yang dibuat Mohd Bakri petang tadi.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang dihubungi kemudian mengecam pihak yang terbabit yang sanggup membunuh lalu membangkar keempat-empat mangsa sebelum dihanyutkan dalam sungai berdekatan Ladang Gadong di Tanjong Sepat, Banting.

"Sekiranya benar apa yang diumumkan oleh Datuk Mohd Bakri dalam sidang media tadi, PAS mengecam pembunuhan dahsyat itu," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau turut menasihatkan pasukan Mohd Bakri membuat pengesahan lanjut beserta laporan rasmi dari Jabatan Forensik.

Ini kerana, katanya laporan itu boleh mengurangkan rasa gelisah rakyat terhadap tahap keselamatan mereka masing-masing.

Beliau, mewakili PAS turut merakamkan takziah kepada keluarga mangsa sambil mengajar rakyat membantu Polis supaya kes dasyat seperti itu tidak berulang lagi di tanah air kelak.

"Mewakili PAS, takziah...saya harap keluarga mangsa bersabar."

"Saya seru seluruh rakyat Malaysia sama-sama membantu Polis agar kes sebegini tidak berulang," ujarnya.

12.9.2010

No comments:

Post a Comment