Dunia hari ini menyaksikan berakhirnya satu era apabila Ayatollah Ali Khamenei, Pemimpin Tertinggi Republik Islam Iran, disahkan meninggal dunia pada usia 86 tahun awal pagi Ahad dalam serangan udara oleh Israhel dan Amerika Syarikat. Pemergian beliau bukan sahaja memberi kesan besar kepada rakyat Iran, bahkan turut menggoncang landskap politik Asia Barat dan dunia Islam secara keseluruhan.
Dilahirkan pada tahun 1939 di Mashhad, beliau dibesarkan dalam suasana pendidikan agama yang kuat dan sejak muda terlibat dalam gerakan menentang pemerintahan Shah Iran. Ketika Revolusi Islam Iran 1979 tercetus, beliau merupakan antara tokoh penting yang bersama pengasas republik tersebut, Ruhollah Khomeini, dalam membentuk sebuah negara berasaskan prinsip kepimpinan ulama (Wilayat al-Faqih).
Sebelum dilantik sebagai Pemimpin Tertinggi pada tahun 1989, beliau pernah memegang jawatan Presiden Iran dari 1981 hingga 1989. Sepanjang lebih tiga dekad memimpin sebagai individu paling berkuasa dalam struktur negara, beliau mempunyai kuasa tertinggi dalam hal ehwal ketenteraan, keselamatan, kehakiman dan dasar luar, menjadikan beliau arkitek utama hala tuju Republik Islam Iran moden.
Di peringkat antarabangsa, beliau dikenali dengan pendirian tegas terhadap campur tangan kuasa Barat serta konsisten dalam isu Palestin dan konflik serantau. Di dalam negara pula, beliau sering menekankan kepentingan kedaulatan nasional, ketahanan ekonomi dan pengukuhan identiti Islam dalam pemerintahan.
Pemergian beliau menutup satu bab panjang kepimpinan yang penuh cabaran, daripada perang Iran-Iraq, sekatan ekonomi antarabangsa, sehinggalah ketegangan geopolitik yang berpanjangan. Kini, perhatian dunia tertumpu kepada proses pemilihan pengganti oleh Majlis Pakar Ulama Iran, yang bakal menentukan kesinambungan dasar dan arah tuju negara tersebut pada masa hadapan.
Sesungguhnya kepimpinan adalah amanah yang berat dan sejarah akan terus menilai sumbangan serta legasi yang ditinggalkan. Semoga segala jasa dan pengorbanannya dinilai sebaiknya di sisi Allah SWT.
#bunutpayongawesome