Friday, December 6, 2024

Sekumtum Mawar Mersh

 Sekuntum Mawar Merah


Kutitipkan sekuntum mawar untukmu namun warnanya merah tiada sama warnamu

Merah atau putih, ia adalah mawar masih bisa bersahabat

hanya ia berlainan warna namun jenis

tetap sekuntum bunga.


Adakalanya warna kurang penting tapi keihklasan

menjadikan perpaduan lebih utama

dari warna kulit dan bahasa.


Ibnulazim

30.10.24

Thursday, December 5, 2024

Ulasan Puisi Ella

 Ulasan Puisi Tidak Berjadual


Puisi moden atau pun sajak, adalah curahan hati yang berbaur dengan isi atau fikiran dan rumusan dari sesuatu isu, dan isi inilah yang memberi nilai kepada sajak itu. Sajak yang tiada buah fikiran di dalamnya adalah sajak curahan perasaan, sajak cinta, kenangan dan sebagainya. Namun kebanyakan penulis pemula menulis sajak jenis ini, luahan emosi tanpa ada unsur-unsur pemikiran yang memandaikan bangsa, seperti kata SN Muhammad Hj Salleh. Namun begitu, fasa ini harus dilalui oleh setiap penulis pemula sebelum meneroka lebih jauh ke dalam rimba belantara kesusasteraan itu.


Di bawah ini ada sebuah sajak yang lebih merupakan luahan rasa dan sedikit unsur pemikiran kalau ada, kerana penulis mungkin belum cukup lama menceburkan diri dalam dunia penulisan. Tetapi ulasan dan kritikan penting dalam mematangkan seseorang pengkarya.


Soalanku


kau tawarkan apa

untuk aku memilihmu

itu soalan


jawapan

apapun 

aku tidak mahu tahu


si rajawali telah terbangkan

hati dan cinta

entah di bawa ke mana


- senyum, jangan rajuk


Aku Anggerik 

13.07.23#8.23am

Bukit Palah


Sajak soalanku ini ditulis oleh penulis yang masih mencari kematangan dalam berkarya, iaitu Aku Anggerik atau Wangikah Anggerik, nama samaran yang digunakan oleh Rahilah Adam. Beliau sebenarnya telah menulis sejumlah sajak dan diterbitkan oleh Pemuisi Nasional dan Kopi.


Sajak "Soalanku" merupakan soalan Yang ditujukan kepada seseorang sahabatnya ، yang saya kira lelaki, tentang apakah yvang diperolehinya jika ia memilih lelaki berkenaan. Namun pada bait berikutnya dia sendiri menjawab dengan nada agak sinis, kerana dia sebenarnya tidak memerlukan jawaban tersebut. Untuk apa bertanya jika tidak mahu jawaban? Di sini ada kontradiksi antara soalan dan jawaban. Dan penulis sendiri memberikan jawban kepada persoalannya."Si Rajawali telah terbangkan hati dan cintanya entah dibawa ke mana,".


Pada bait akhir penyair memujuk temannya dengan menyebut "senyum jangan rajuk.' Tentulah hampa perasaan teman itu dengan ayat berkaitan.


Ada satu perlambangan yang digunakan oleh penyair iaitu Rajawali. la adalah lambang kegagahan Dan kesempurnaan manusia yang melarikan hati dan cintanya . Dapat difaham bahawa dia bukanlah sembarang orang yang menjadi saingan temannya itu. Sebetulnya temannya itu harus menarik balik hajatnya yang besar itu. Dan saya menyatakan penulis harus mempelbagaikan teknik sajaknya dengan aliterasi،asonansi, metafora ,ambiguiti, personafikasi , anafora, epifora dan sebagainya agar karyanya lebih hidup dan memenuhi ciri-ciri puisi moden.


Ibnulazim,

14.7.2023.

Friday, November 29, 2024

MASIH KUINGAT

Masih kuingat 

bapa ke ladang

menoreh getah 

dari batang ke batang

sambil menyuap isi rumah

pucuk ubi dan gelama kering

manakala aku menebas

pohonan yang berkeliaran 

di sana sini 

menghalang perjalanan

bapa dan pisau torehan.


Masih kuingat

lima jam kemudian

susu cair di kutip

dari batang ke batang 

dibawa pulang

dibekukan dengan cuka

dan takungan tin.


Lewat seminggu dua 

kami ke pekan 

membawa hasil kutipan

membeli keperluan asas

beras dan ikan bilis

serta keperluan lain

bagi memasak perut

berkeriut bagai ensel

tanpa minyak

sambil menunggu esok 

kami kembali

menemui pokok itu juga 

dari batang ke batang.


Bila ayah pulang

ke negeri abadi

ladang bertukar

menjadi belantara

semua yang tinggal

mencari kehidupan

di kota, dan tanah kampung

kembali menjadi hutan.


Tanpa tarikh.




Thursday, November 28, 2024

Impian

 Sesekali seperti ini

di sini, Azah, kutemui kau 

dalam keserabutan fikiran

antara keinginan Dan kehendak

apakah kita punya pilihan

Untuk hidup sebumbung

atau hanya impian

dilambung gelombang

seperti badai semalam.


Azah, kalau mungkin 

Impian itu tetcapai

bisakah kita bersama

hidup bahagia.

di sisa kehidupan.


Ibnulazim

28.11.24.

Sunday, October 25, 2020

 Cerpen Belum Bernama (11).

Aku meneruskan perjalanan untuk meninggalkan daerah sepi yang penuh kenangan. Bermacam-macam perasaan bermain di benakku. Ada pilu, ada gembira, ada sedih dan segala macam perasaan bermain di jiwaku. Betapa beratnya aku ingin meninggalkan kampungku ini tidak dapat kutuliskan dengan kata-kata. Mungkin puisi- puisi peribadiku ada mencatat hal-hal seperti ini yang tersimpan dalam fail di rumahku di KL. Namun aku kurang pasti dan fail itu pun entah di mana letaknya.
Lamunanku dikejutkan oleh suara azan yang berkumandang di masjid berdekatan kedai Ateh Usop tempat aku selalu berkumpul dan menonton tv hitam putih. "Oh, sudah Asar," aku berbisik dengan diriku sendiri. Aku membelokkan kereta memasuki kawasan masjid. Ayahkulah yang menjadi imam setiap kali jumaat. Pejabat agama memilihnya kerana dialah satu-satunya yang memahami Bahasa Arab dan asas ilmu lslam setelah memondok lebih sepuluh tahun lamanya di Langgar ll, Alor Setar.
"Aku harus solat dahulu di sini, kerana takut nanti tidak sempat di pertengahan jalan. Tidak kiralah siapa imamnya," bisik hatiku. Selesai solat aku ke belakang masjid, dan tidak jauh dari situ ialah kawasan perkuburan. Aku ingin menziarahi pusara ibuku dan kakakku yang sulung. Ayahku tidak dikebumikan di sini.
Namun dalam saat- saat seperti ini pun En masih menggangguku lagi. Ada sedikit rasa hiba menyelinap di jiwaku. Suatu waktu ia datang ke rumahku. Dia mendukung seorang anak dan bersamanya seorang laki-laki menemaninya. Aku rasa seperti pernah melihat laki-laki itu. Aku menduga En masih ingat padaku walau pun keadaan sudah jauh berubah.
"Perkenalkan ini ldrus, suamiku," terangnya. Kami bersalaman. 'Rasa-rasa macam pernah jumpa, "aku melontarkan sepatah dua kata kepadanya. "Ya," jawab ldrus. "Kat hospital," sambungnya. Aku mengingat-ngingat wajahnya. " Ya, kat hospital, " aku berkata dalam hatiku. Namun kelihatan ldrus kurang selesa ketika itu. Kelihatan wajahnya membayangkan rasa cemburu terhadapku. Dia agak gelisah.
"Maafkan aku,"kata En pula seolah memecahkan kebuntuan dan kegelisahan ldrus. "Maafkan aku kerana tidak menjemputmu ke majlis perkahwinanku kerana kau ketika itu dalam tahun akhir pengajianmu. Aku tidak mahu mengganggumu di tahun-tahun akhir pengajianmu," sambungnya. Aku hanya mengangguk-nganggukkan kepala.
Aku tersentap dari lamunan bila terpandang satu batu nisan bertulis nama En, meninggal tarikh sekian-sekian. Aku baru tersedar yang aku kini berada di tanah perkuburan kampungku. Setelah membaca AL Fatihah untuk seluruh warga kubur khususnya untuk ibu dan keluargaku yang telah menjadi penghuni alam barzakh itu, aku kembali ke kawasan masjid menuju ke kereta yang aku pandu.
Aku ingin segera pulang. Waktu sudah agak lewat. Dalam perjalanan , aku teringat satu berita yang dikirim oleh adiknya menyatakan En terlibat dalam satu kemalangan jalan raya sewaktu ingin pulang ke kampung meraikan Aidilfitri. Tahun berapa aku kurang pasti. Suami dan anaknya turut meninggal.
Aku mulai memecut kereta menuju highway Plus. Aku ingin meninggalkan kenangan itu di sini. Di kampungku. Tetapi mampukah aku melakukannya ?
Selamat tinggal kampungku yang menghadiahkan kenangan yang bercampur baur ini. Terjawablah sudah mengapa aku tidak suka pulang ke kampung.
Nota; ini hanya cerita rekaan dan tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang mati.
Zainal lazim,
Ibnu Lazim,
Al Rembauwi.
(Nama2 yang pernah digunakan waktu menulis dalam akhbar dan majalah).
25.10,2020.
02.48 am.

 Cerpen Belum Bernama (10)

Aku masih memandu perlahan meninggalkan kampung halaman yang sudah lama kutinggalkan. Ayah ibuku sudah lama pulang ke pangkuan Illahi. Begitu juga dengan kakak sulung dan kakak ke tiga jua telah meninggal. Rumah kakak sulungku itu dihuni oleh anak sulungnya, Azlan dan telah mempunyai beberapa orang anak. Ada rasa pilu di dada sewaktu ingin ke luar ke jalan besar. Mungkin terlampau banyak kenangan pahit manis yang ditinggalkan.
Wajah En bermain lagi di mataku. Senyumnya, tutur katanya masih menjadi igauanku. Sementelahan pula aku sedang berada di kampung, tempat di mana kejadian bermula.
Aku teringat satu hari aku pulang bersama seorang kawan, Nasir namanya. la rakanku di tingkatan 6, dan seterusnya menghuni kampus yang sama. Waktu itu kami sudah selesai menjalani peperiksaan akhir.
Sejak kunjungan En ke hospital, hubungan kami agak renggang. Suatu waktu En memberitahuku dia ternampak aku berjalan-jalan di pasaraya dengan seorang perempuan sambil berpimpin tangan. Aku agak terkejut dengan makluman itu. Aku berfikir keras untuk mencari jawaban siapakah perempuan itu. Hamidah mungkin. Aku memberi jawapan sendiri kepada diri sendiri.
Memang aku ada seorang kawan bernama Hamidah. Hamidah gadis biasa saja, namun dia tinggal di PJ bersama abangnya yang mengajar di universiti Malaya dan memiliki keluarga. Kukira minatku terhadapnya tidaklah begitu mendalam seperti En.
Lagipun aku dan Hamidah baru beberapa tahun berkenalan. Itu pun dikenalkan oleh seorang kawan satu sekolah denganku. Kukira hati En terguris dengan peristiwa itu. Lama dia tidak menghubungiku. Masa itu telefon bimbit belum ada. Jadi agak sukar untuk berhubung.
Ingatanku kembali kepada Nasir. "Aku ingin ke kampung kau," beritahu Nasir."Kampungku jauh di pedalaman," jelasku. "Aku pun orang kampung." tingkahnya."Kau akan merasa sunyi di sana." Aku sudah biasa dengan kesunyian." Tidak lama. Dalam satu minggu." Kita kena naik bas dan teksi sapu." Ah, itu masalah kecil." Jelas Nasir.
"Oklah," jawabku mengalah.
Dari pekan Kota, kami naik teksi haram ke kampungku. Kami turun di simpang jalan sempit, lorong menuju rumahku. Saat menghampiri laluan ke rumah En, kedengaran suara manusia riuh rendah. Seperti ada satu jamuan kahwin. Ya, memang sungguh ada jamuan itu. Kelihatan sebuah khemah besar tempat para tetamu menikmati hidangan.
Aku dan Nasir menyusup di celah-celah lorong sempit itu dan berselindung di balik pokok- pokok kecil yang tumbuh meliar di tepi jalan. Sebaik sampai di rumah, adikku menyambut dengan ramah. Aku tidak pun bertanyakan adikku tentang majlis di rumah En. Adikku pula tidak berkata apa- apa mengenainya. Aku bertanya dalam hatiku sendiri, "siapakah yang kahwin?" En kah yang kahwin setelah selesai pengajian peringkat diploma? Tidak ada jawapan. Aku hanya diam membungkam. Setahuku kakak-kakaknya semua sudah menamatkan zaman bujang.
"Nasir, kita kena balik esok." Aku memberitahu sahabatku itu. "Kenapa?" soalnya meminta kepastian."Aku tidak boleh berlama di sini. Nanti aku beritahu " Nasir hanya diam membungkam.
"Ok."Nasir kemudian bersuara. Malam itu adalah paling sukar bagiku. Fikiranku kacau bilau. Jam empat pagi baru dapat aku tidur. Hatiku berbisik,"engkaukah yang kahwin En? Kenapa tidak memberitahuku?" Malam terus menyepi.
21.10.2020.
23.20pm.
Nazimah Abd Wahab, Nordin Ibrahim Osman dan 12 yang lain
23 Komen
Suka
Komen
Kongsi

 9

CERPEN BELUM BERNAMA (9)
Aku masih memandu perlahan menelusuri jalan sempit itu untuk keluar dari tanah asalku. Aku membelok ke kiri memasuki jalan besar. Di kiri kanan jalan kelihatan sawah padi yang sudah kering kontang. Boleh dijadikan padang bola. Suatu waktu dulu, pemuda UMNO kampungku mengusahakan tanaman jagung, namun tidak menjadi. Satu projek yang gagal. Memang kampungku itu dikuasai oleh UMNO. Kakakku yang sulong merupakan Ketua Cawangan UMNO di situ. Suaminya menjawat jawatan setiausaha.
Laluan ke kiri adalah ke Lubuk China. Hala ke kanan adalah ke Astana Raja terus ke pekan Kota yang boleh menuju ke Tampin atau Seremban. Di satu simpang di hadapan ada satu simpang lain yang menuju ke tol lebuhraya utara selatan sebelum sampai ke Pedas.
Aku kemudian melintasi sebuah jambatan. Aku masih ingat di situlah aku sering mengail waktu umurku belasan tahun. Aku juga pernah jatuh ke dalam anak sungai di bawah jambatan itu. Jambatan itu juga pernah putus sewaktu banjir besar tahun 70, setahun selepas peristiwa 13 Mei yang terkenal di negara kita.
Di tahun-tahun 60an jalan yang kulalui itu belum lagi ditar. Sewaktu pihak JKR menurap dengan tar pada akhir 60an, aku teringat penyelianya sering berbaju putih, berseluar putih, selalu singgah di kedai bapa En. Dia akhirnya jatuh hati dengan kakak En. Akhirnya mereka berkahwin. Namun kakak En selalu sakit. Kakinya membesar dan bengkak. Akhirnya kakak En meninggal dengan penyakitnya itu.
Wajah En tiba tiba menari-nari di di depan mataku. Entah kenapa bila mengingatkan kakak En, aku selalu mengingati En. Aku sendiri kurang pasti samada aku jatuh cinta dengannya, sebab kami berkawan sejak kecil lagi.
"Ah, En , bila kau akan pulang? Aku serasa meriduikau. Aku tersangat ingin bertemu denganmu ." Aku pun tidak tahu kadangkala aku tersangat ingatkan dia. Wajahnya menari-nari di pelupuk mataku. Lama aku merenung jambatan dan sungai kecil di bawahnya. Sungguh banyak memori yang tertinggal di situ.
"En, di mana kau?" Tetapi aku harus meneruskan perjalanan. Ada orang sedang menunggu kepulanganku. Aku menghidupkan enjin kereta. Aku harus segera pulang.
18.10.2020
06.50 am.