Tuesday, April 15, 2025

Tentang Hati Mawarku-Yatim Ahmad

 TENTANG HATI MAWARKU 


MARZUKI  Ali seperti membuka pintu untuk saya masuk di rumah Maroof Seman. 


Setelah saya menyelidiki semua reka bentuk rumahnya dari luar, susun atur hiasan luaran, kemudian karidor, saya bertemu Marzuki. 


Rumah Maroof itu bukan seperti rumah dikenali saudara mara dan kenalan rapatnya. Mungkin Rosli K Matari dan Ladin Nuawi tahu sebab mereka arkitek rumah baharu Maroof.


Tapi kalau saya tidak beritahu cepat, mungkin semua menduga saya suka-suka masuk rumah orang. Kemudian saya mengadili bagaimana Ladin menukangi rumah Maroof. 


Saya pernah menegur seorang sasterawan serta tokoh wartawan di negeri saya (Sabah) apabila rumah kata yang sudah siap dibuat kurang sempurna. Saya penerbit buku dan kerana itu saya seperti inspektor jkr sebelum masuk di rumah buku.


Saya selalu suka bertanya, untuk apa rumah kata tak sepatutnya kalau untuk menyimpan perkakas bahasa? Asal jadi buku? 


Saya beli rumah buku Maroof,  dalam waktu sekejap pos laju pun sampai.


Baiklah. Sebelum saya bercakap, izinkan saya menggunakan kata singkatan ‘tak’ untuk ‘tidak’; atau ‘nak’ untuk ‘hendak’. Walaupun penulisan rencana atau berita tak sepatut menggunakan singkatan kata, tapi saya fikri kali ini saya gunakan. 


Sehari sebelum Hari Raya Puasa, saya menerima bungkusan pos laju dan selepas membuka, isi kiriman itu Kumpulan Puisi Tentang Hati Mawarku, karya tokoh pengarang Maroof Seman.


Seperti biasa, saya picit tengah buku dan melepaskan helaian dan mencum bau buku. Bau minyak. Saya tak tinggal satu huruf pun apa tertulis sejak muka kulit, belakang kulit hingga hak cipta buku, semua saya baca. 


Hinggakan tulisan Maroof di muka 3 (kira dari lembar pertama, di tulis “MAROOF SEMAN AR, Salam ukhwah, selamat mengembara Tuan Yatim Ahmad," - pun saya renung lama sedikit. Saya suka membaca perwatakan orang dari tulisannya dan saya rasa tulisan begini (Maroof) ialah orang semangatnya besar. Memiliki jati diri tersendiri, yang tak mahu mengalah kepada sesiapa di sebalik sikap yang ramah, kuat berfikir dan kadang suka mengasingkan diri (diam).” 


Tapi usahlah percaya omongan saya. 


Di bahagian kata pengantar buku tertulis ‘Suatu Penghantar: Tentang Hati Mawar’ saya baca rangkap pertama dan  sampai rangkap kedua orang itu berkata, “Didorong dan dijarumi sekian ngilu oleh gejolak santun yang tidak dibenung sekalian daya pada saat, waktu dan ketika melukakan dengan erti pedih gelora dagaha keinginan untuk menikmati suatu rasa yang memberi kepuasan dan tenang gelora,makasuatu usaha pun dibangkitkan dengan membawa semangat keinginan yang berkobar-kobar.”


Sebaik sahaja habis baca ayat itu, saya terus terdorong melihat dulu siapa penulis kata pengantar itu. Tanpa teori dan dia bercakap dengan kita, bukan untuk perhiasan buku.


Marzuki Ali. Guru teater Maroof. Dialah yang saya kata awal-awal tadi seperti membuka pintu rumah Maroof kepada saya. Kata pengantar mengesankan cara dia mengupas sajak Tentang Hari Mawarku.


Buku ialah rumah kepada penulis. Sejak kulit buku depan hinggalah kulit belakang dan segala yang terkandung pada buku itu, bukan sahaja mengambarkan siapa pengarang buku itu, siapa Maroof, tapi bagaimana dia menguasai bidangnya hingga beri kesan kepada kita, kepada khalayak.


Rosli K Matari dan Ladin sudah lulus pembikinan buku ini, tiada rungutan saya. Dari size buku, ilustrasi dan size fon mungkin jenis Ariel, semua lengkap.


Rosli adalah sasterawan Kelatan, penerima SEA Write Awards dari Malaysia, anugerah kerajaan Thailand (2021).  


Tentang Hati Mawarku tebal 84 muka surat, selain illustrasi, juga keratan akhbar  kejayaan atau kegiatan Maroof sejak 1980-an. Ada 50 sajak dibahagi enam judul utama. 


Sementara Marzuki, memang saya agak teruja kerana ia sebahagian warga sastera di negeri kami dulu (1970-an sebelum ke Jakarta mendalami jurus teater),  selain itu buku sajaknya “Naban’ dan ‘Rakyat. Puisi Duyung Puisi Rakyat.Puisi’ tersusun di rak depan meja tulis saya, maka itu saya bayangkan Marzuki menyiapkan prakata mengikut gaya pengucapan teater.  Beliau adalah tokoh bidang itu. Mungkin illustrasi dalaman buku Marzuki juga dilakarnya seperti melakar di buku Maroof.


Marzuki mengulas mengikut huraian falsafah yang menarik dan mudah dicerna berdasarkan urutan sajak Maroof Tentang Hati Mawarku.


Membaca karya dua tokoh pengarang, seni dan budaya dari Terenggau ini menjadikan saya dihargai kerana peluang membaca dan terikut berfikir. Sastera demikian murni menjadi alat pelembut rasa kita, perasaan kita, naluri kita – walau kepada orang sangat pemarah,sibuk dn tak minat karangan kreatif,  boleh merubah (sekejap) sikpanya menjadi halus.


Saya ingat tokoh penyair kami Ramli Jusoh juga berasal Terengganu. Di Sabah Ramli menetap di Kota Marudu, utara  negeri.


Sementara itu, Maroof cuba perlihatkan bagaimana tangan pengarang seni – walau mengecam beberapa pelaku dianggapnya  tidak perihatin menyebabkan berlaku peristiwa ketidak seimbangan dari segi pengurusan, pentadbira, politik, rakyat marhaen terbiar dan masalah sosial, diturunkan menjadi bait dan kalimat sehabis sabar dan lembut. 


Walaupun ada tulisan menyebabkan polemik, ia dikata mendewasakan. Betul, tapi orang sastera selalu memasuki dunianya dengan konflik, diri mereka sendiri atau sesama berkelomppk, tapi yang keluar dari keributan itu adalah bagai tali sutera. 


Kata demi kata melalui proses pemikiran. Minda pengarang adalah kilang kata tak pernah berhenti berputar, mahu tidur pun dia berfikir –apa nak ditulis esok. 


Saya tidaklah bermaksud mengulas sajak Maroof, saya mahu menikmatinya. Samalah seperti saya menikmati keindahan pantai Terengganu di kategori pantai terpanjang di negara kita. 


Walau saya belum pernah ke Ganu, tapi saya pernah mencatat sejarah kecil sebagai penerima hadiah sagu hati Sayembara Puisi sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.  Semua sajak peserta dan pemenang di antologikan Pelita berjudul ‘Teng-Ya-Nung Tanah Leluhur’ (selenggara Abdul Mubin Ismail, 2013, Persatuan Penulis Terengganu, Kuala Terengganu). 


Puisi saya berjudul Ceritera  Tun Teja. Sampai sekarang saya anggap Terengganu negeri rohani puisi saya sebab baru merasai ’kemenangan’ menulis puisi kala itu. Sejak itu saya beroleh kekuatan semangat bersaing sebagai penerima Hadiah Sastera Sabah pada tahun berikutnya, kategori puisi selain cerpen bidang utama saya.


Kepada sahabat boleh terus berhubung Maroof beli kumpulan puisi Tentang Hati Mawarku.

Catatan Yatim Ahmad tentang Tunas Cipta dll

 SASTERA MASA HADAPAN 


TIGA majalah buku Perisa (bil 12/2004) saya beli lagi hari ini menjadikan tujuh naskhah simpanan saya termasuk empat naskhaha saya beli awal bulan lalu dan satu lagi saya beli pada 2015. Kedai itu simpan baki majalah ini kalau masih ada lagi. 


Saya belum lagi memutuskan pemberian Perisa kepada kawan-kawan, melainkan saya yakin dia berminat menulis rencana atau resensi sastera. Sebab pertama saya yakin dia akan membaca buku ini kerana perencana atau perensensi sastera khusus sudah tentu minat tinggi membaca. Jadi buku ini dapat dimanfaatkan.


Saya ada satu program yang saya namakan Syarah BBK di JS dan mungkin peserta berpontensi akan dihadiahkan.


Perisa tidak lagi diterbitkan dan hal ini sudah saya tulis minggu lalu.  Cuma saya tambah info daripada Editor Dewan Sastera Ybhg Fadli al-Akiti menyatakan Perisa adalah atas cadangan Sasrerawan Negara ke-11 Dato Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala. al-Fatihah untuk arwah.


Sementara saya beli juga Tunas Cipta terbitan 2010 kerana tertarik rencana utama Peranan Korporat dalam Pembangunan Sastera. Sampai di rumah saya belek majalah dan (rupa-rupanya)  ditulis oleh Rozlan Mohammed Noor.  


Saya terus teringatkan sahabat saya ini. Jasanya kepada rakan penulis saya khusus Sabah banyak hingga karya mereka dapat dibukukan, masa itu ITBM aktif menerbit karya penulis. 


Pernah bertemu Rozlan di Rumah Pena dan pejabat ITBM pada 2015/16/17, tetapi masa itu saya dan AMT JS fokus terbit antologi karya ahli JS. Jadi saya kata kepada saudara Rozlan, saya tiada karya mahu kumpul dan hantar kepadanya untuk penilaian dan pembukuan jika layak diterbitkan.  Setakat ini lebih 50 antologi puisi, cerpen dan seram diterbitkan JS.


Saya tidak lagi berhubung dengan saudara Rozlan selepas dia bersara dari ITBM dan berharap sahabat fb saya mengetahui keberadaan saudara Rozlan sampaikan salam saya, juga terima kasih saya kerana beliau pernah membahagiakan rakan saya atas terbitan buku karya mereka. 


Juga ucap selamat Hari Raya Puasa, moga sihat sejahtera selalu. 


Mungkin juga saya akan ulas rencana Rozlan berdasarkan isu sastera dan pembukuan masa kini. Pada masa itu (2010) industri buku masih pesat dan PBKL begitu meriah kerana majoriti pengarang kreatif seluruh negara berkampung di ibu kota. 


Pada 2015 atau 2016 saya pernah mengambarkan dalam kolumnis sastera saya di New Sabah Times (kini ditutup) - apakah industri terus kekal begitu kerana masa itu sastera alam maya mula pesat dan menjangka (kalau) kerana teknologi digital dalam perhubungan semakin maju dan penampakan tanda bukan sahaja peminggiran sastera, tetapi media massa konvesional.


Hal yang dijangka itulah kini sudah berlaku dan sastera   mula hilang pengaruh kalangan masyarakat. Buku dilelong dan ada dibuang. 


Jikalau mampu bertahan, kita pertahankan dengan taruhan pelapis sastera muda. Jika orang sastera dan kepimpinan serta penulis masih terus berdegil tidak mahu adakan program sastera dan bimbingan di sekolah, maka keparahan sastera sekarang semakin bernanah dan tinggal hanya kita-kita sahaja. 


Yang kita-kita itu kalau kebanyakan dah tua, apalagi diharap tahun mendatang kalau semua sudah tiada? Sementara pelapisnya tidak mampu menahan gelombang peminggiran rakyat dan akhirnya sastera kemana?


Mungkin pada era mereka (antara tujuh tahun hingga 10 tahun dari sekarang) sastera dan kepimpinan pun lesu dan mungkin badan berkanun yang mengurus sastera seni budaya tidak lagi meneruskan pemberian anugerah sasterawan negara, sekalipun. 


Kecuali anugerah hadiah sastera negeri mungkin diteruskan kerana masih ada akhbar dan buku menerbitkan sastera. 


Kalau ketiadaan khalayak atau khalayak hanya anggota penulis dan persatuan sahaja untuk apa anugerah itu ini, tokoh itu ini sedangkan karya mereka hanya berkeliling pinggan orang sastera sahaja? Dahulu lainlah, masyarakat tidak malu kalau menyebut sastera sebagai bidang mengilmukan mereka, tapi sekarang lihat dan kajilah apa mereka baca dan habsikan masa berjam-jam di telapak tangan.


Orang sastera pun habis masa dengan telefon bimbit.  


Sama ada kita bersedia atau tidak, kerajinan industri pembukuan akan datang bergantung kuasa beli kalangan orang muda atau bakal lahir sekarang. Kalau kita masih budayakan kau tengok aku, aku tengok kau tanpa pembabitan menyeluruh institusi pelajar di semua peringkat rendah, menengah dan universiti, sastera bakal dikuburkan oleh mereka. 


Kuasa beli kalau diabaikan, kerosakannya akan memupuskan sastera.

Sajak sajak cura lara- Yatim Ahmad

 KRITIKAWAN: Sekilas Pandang Sajak-Sajak Cura Lara di Kumpulan Puisi Kupu-Kupu yang Memakan Masa Lalu. (1) 


SAJAK kepada perempuan yang pandai menulis adalah pemberontakan kepada laki-laki. Tidak kira apa tema, aliran, sajak umpama meluah mati emak, ditelan mati bapa. 


Mungkin di luar sana, perempuan yang bermain sajak berasa enggan berterus terang bukan kerana sifat kelemahan, tapi sifat menjaga ego laki-laki, tapi dalam sajak – seni mereka umpama pisau yang lebih tajam di genggaman laki-laki.


Tapi laki-laki kerana dia (selalunya) pelindung perempuan, dibiarkan sahaja beban emosi perempuan mengalir seperti hujan kerana tahu perempuan akan kehilangan kewarasan jika disekat sesuatu menyakitinya, sedang sajak atau karya seni – bagi kebanyakan pengarang laki-laki bukanlah pembunuh (laki-laki), walaupun laki-laki selalu dikemalangankan pujuk rayu perempuan.


Saya membiasakan menyebut perempuan sejak lama dan sajak saya pun ada bau perempun, maka saya rasa saudara tidak (pernah) marah kepada saya. Saya adalah pendukung feminis pada kadar sederhana (penganut feminis Malaysia, ketimuran, bukan feminis Elaine Showwalter).


Dalam setiap karya, saya menyerukan rakan penulis saya – awas! Jangan jadi pengecut, jangan jadikan perempuan pelakon air mata, tapi semangat kuat walau hadapi musibah dan akhirnya perempuan adalah pemenang. Walau pemenang dalam kesenyapan. 


Saya mendapat penjelasan pengertian peribahasa ‘diluah mati emak, ditelan mati bapa dari sudut pemikiran wanita dalam persajakan daripada tokoh penyair Terengganu, Nor Aini Muhammad.


Nor Aini, yang saya panggil bonda ketika berikan interpretasi sajak berjudul ‘Mengerti’, adalah pandangan peribadi berkaitan laki-laki.


…lelaki itu

adalah kekasih yang paling kau kasihi

adalah musuh yang paling kau benci….

(Mengerti, Dewan Sastera, 1971 – penerima Hadiah Sastera Malaysia, 1971)


Mengikut Abdullah Tahir sajak ‘Mengerti’ ada usaha penyair menggunakan suatu filsafat baru dalam sajak ini. Baris-baris puisinya harus direnung dan diteliti untuk penghayatan pemikirannya yang tajam. (Zurinah Hassan, 2014, Dewan Sastera, Kuala Lumpur).


Nor Aini adalah anta penyair yang penting pada tahun 1970-an dan menampilkan tema wanita yang beriman, tabah dan jujur mewakili pengalaman wanita yang esoterik. (Sakinah Abdu Bakar, 2002, Warna-warna Dalam Puisi Penyair Wanita Tahun 1970-an, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka) 


(Esoterik - kesan kejiwaan yang mendalam dan tersembunyi menaakul spiritual yang tinggi – pen.)


Berdasarkan kutipan, saya cuba menelusuri pemikiran Cura Lara , dalam persajakan kerana berpendapat cuba membawa keluar pergantungan sepenuhnya kepada laki-laki dalam beberapa segi. 


Tapi, itu tidak bermakna meletakkan ketidakpercayaan kepada laki-laki, tapi cuba membuat ‘sempadan’ agar keyakinan diri, kemampuan diri dan usaha tidak pernah terhenti walaupun hadapi pelbagai karenah birokrasi dan kuasa yang masih ditentukan oleh laki-laki.


Ini bermakna, dalam banyak pujsi Cura Lara cuba menerbitkan rasa percaya diri bahawa perempuan sebenarnya memiliki kekuatan sendiri dan ‘kekuasaan’ itu tidak perlu ada campurtangan sesiapa.


…keluh kisah tak mampu terbang

sedang kepakmu tidak pun patah

memilih hinggap di dahan 

dari pohon mendepang luas 

merimbun teduh kauinginkan…

(Pesan pada Cenderawasih, hal. 56)


Keluh kisah hanya membebankan emosi, rohani dan jasmani, walaupun terbeban kerana musibah, namun akhirnya perempuan perlu beredar dari hanya mengenang, kepada usaha untuk bangkit.


Menurut Dr Siti Zainon Ismail, (memetik) pengalaman beberapa penyair (wanita) berusaha sendiri membangunkan kreatif hingga ke puncak adalah gambaran gigih disamping keinsafan diri, dan keberanian untuk menerbitkan karya sendiri atau membuktikan kekuatan karya hingga diterbitkan (penerbit dominan) sesungguhnya kerana pengisian karya berorientasikan kebenaran dan cahaya. (Siti Zainon Ismail, 2009, Kumpulan Esei Memasuki Taman Puisi, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka).


Begitulah agaknya Cura Lara, menyedari kerjaya sebagai guru bukan tangga gerak (escalator) untuk diterima begitu sahaja sebagai penyair, tanpa usaha, belajar dan menghargai alam persekitarannya sebagai simbol dan sumber ilham.


Maka menjadilah kumpulan puisi Kupu-Kupu yang memakan Masa lalu, enam puluh puisi dalam satu buku bukanlah mudah disiapkan kerana penghayatan terhadap alam itu bukanlah seperti mata pandang untuk dinilai.


Kumpulan puisi Kupu-Kupu yang memakan Masa lalu, diterbitkan oleh Pena, 2025. 


Pertama, bahasa; Kedua, gaya yang menjadi tonggak kekuatan sajak. Dan kerana Cura Lara adalah pendidik, maka pemikirannya tidak sebatas di kelasnya sahaja, tetapi kerana guru adalah Pembina Masa Hadapan manusia, maka cara pandangnya melangkaui masa hadapan.


Maka itu sajak-sajak Cura lara lebih menjurus kepada ‘pemberontakan’ walaupun sesekali dia main romantis. 


“…Kadang aku mawar merah/yang kau terngadah/meliang liuk indah /dalam imaginasi basah/segarit senyum meresah//kadang aku mawar hitam/persis bayangan malam/menari dalam balam/melerai kukuh tanggam/ hanyir yang terpendam …”


Sajak ini menggambarkan peribadi atau watak seorang perempuan, bukan hanya gambaran dari dalam dan luar kewanitaan itu, tetapi bermaksud apakah (laki-laki) masih beranggapan perkasihannya sama seperti mula-mula kenal dan menikahi, sama selepas melayari rumahtangga. 


Apakah keterujaan dan manis itu masih rasa sama? Itu soal peribadi yang laki-laki selalu berselindung menjawab. 

dan akhirnya dengan nada lucu atau keanak-anakan (manja) si-aku lirik bertanya”


“..apa kau akan marah 

saat mawarku tidak merah?...”


Stanza akhir ini memperlihatkan kemahiran Cura Lara bermain ‘jenaka’ dalam romantis, halus dan menyenangkan.


Cura lara tidak menggunakan unsur provokasi – “apakah kau tidak suka”; tapi menggunakan “apa kau akan marah” –dua kalimat itu tentu memiliki perbezaan tindak balas.


Frasa ini (apa kau akan marah) dengan menghilangkan “kah” - pada umumnya polos dan saya menyenangi cara Cura lara manipulasi emosi orang (laki-laki) menerusi pemilihan bahasanya yang bergaya.


Setidaknya pada puisi ini.


Sudah tentu, Cura Lara terlatih dalam psikologi, sesuai bidang profesionnya (pendidik), maka (apabila) dia main romantis dalam sajak ‘Menjadi Perempuan’ (Hal. 29), si-aku lirik bijak menyembunyikan perasaan jengkel (kepada laki-laki) apabila di akhir stanza sajak itu dia berkata:


tiada mawar merah

tumbuh di muka(nya)

Hanya jerawat pemanis,

sebenarnya stress


Membaca Cura lara adalah membaca kepelbagaian corak pemikiran perempuan yang sering disalah anggap. Kepada penyair, dia ingin berada (bukan selalu) di ruang yang terbuka luas dengan had yang ditentukan oleh awam dan dirinya secara peribadi, penyair ingin berada dalam keramaian seperti baca sajak untuk mengenali sesama, dia tidak melarang dirinya berada di dalam kebingitan muzik/konsert.


Dia juga mahu berada dekat dengan gelandangan yang ketiduran di kaki lima atau bangku, serta di mana bayangan kesusahan hidup, perdesaan, kampung nelayan yang masih beratapkan zink berkarat bertiang seribu, juga mahu membuat kesenangan sendiri untuk keluar negeri.


Pemberontakan sajak Cura Lara bukan sesuatu yang sengaja, selain latar belakang penyair, kajian sajak-sajak berunsurkan apa sahaja, setidaknya sedikit sebanyak pemikiran penyair dapat ditinjau untuk memudahkan analisis.


Semua kehidupan persekitaran adalah idea untuk perenungan diri. Dan semua ini ditentukan kekuasaan laki-laki untuk membina sesuatu yang dianggap memenuhi syarat kemerdekaan.


Tapi perempuan memandang kemerdekaan itu berbeza, kemerdekaan tidak seharusnya mutlak kerana itu mengapa wanita (dan kanak-kanak) sering dimanipulasi dan eksploitasi oleh laki-laki.


Tapi perempuan tetap perempuan, dia (secara halus) akan menikam belakang laki-laki menerusi sajak kerana ini ia tidak terjerumus dalam tuntutan undang-undang.


Kerana sajak kepada perempuan adalah laki-laki yang sejati. Yang tak pernah marah kepada mereka. 


Akhirnya, terima kasih kiriman buku dan baju T grup baca Kopi. Moga ada lagi kumpulan sajak masa akan datang untuk koleksi Perpustakaan Anai-Anai saya.

Kuliah Bahasa; Salleh Rahamad

 Kuliah Bahasa


Saya ingin membangkitkan persoalan kata ganda. 

Ini pandangan saya dan terpakai dalam penulisan mahupun suntingan yang saya buat terhadap tulisan lain.

1. Bagi penulisan yang memerlukan huruf besar pada perkataan pertama, ada dua cara penulisan.


1.1 Jika perkataan itu memang kata ganda seperti kanak- kanak, hanya perkataan pertama dihurufbesarkan: Kanak- kanak, Kura-kura, Pari-pari...


1.2 Jika kata ganda jamak, kedua-dua perkataan perlu dihurufbesarkan pada huruf pertama: Burung-Burung, Buku-Buku, Rumah-Rumah...


2. Kata ganda jamak hanya bagi perkataan konkrit, manakala perkataan abstrak tidak perlu digandakan walau bermaksud jamak.

Contoh kata ganda konkrit: batu- batu permata, baju-baju,   jam-jam tangan...


Contoh kata abstrak yang tidak perlu digandakan walau bermaksud jamak: syarat (bukan syarat-syarat), peraturan (bukan peraturan-peraturan), kelemahan (bukan kelemahan-kelemahan), masalah (bukan masalah-masalah), kemudahan (bukan kemudahan-kemudahan)...


3. Kata umum juga tidak perlu digandakan walau bermaksud banyak (jamak): perabot (bukan perabot-perabot), perumahan (bukan perumahan-perumahan), golongan (bukan golongan-golongan), pihak (bukan pihak-pihak)...


4. Jika dalam ayat sudah ada kata keterangan mahupun penjodoh bilangan yang bersifat penanda jamak, objek yang disebut itu tidak perlu digandakan. Contoh:


serangkai kunci (bukan serangkai kunci-kunci)


bendera berkibaran (bukan bendera-bendera berkibaran)


lampu bergantungan (bukan lampu-lampu bergantungan)


Kambing berkeliaran ( bukan kambing-kambing berkeliaran)


banyak perkara (bukan banyak perkara- perkara)


Jadi, judul novel Usman Awang, Tulang-Tulang Berserakan sepatutnya Tulang Berserakan saja. Tetapi, dalam sastera ada poetic licence (lesen memanipulasi bahasa walaupun tidak gramatis) jika ada kesan estetik pada penggunaan bahasa tidak gramatis. 

Tahukan, maksud jamak? Maksudnya banyak atau berbilang. 


Berbilang tak sama dengan terbilang dan sembilang, ya. 


Sajaaa...


Jika ada bantahan boleh bincang. Saya tidak selalu betul.


Nota kaki: Kuih di gambar itu disebut kuih tiram atau di Papar disebut kuih lidah. Rasanya manis kerana ada gula. Di Papar, Sabah, kuih lidah disalut susu tepung nespray. Itu yang pernah saya  rasalah.


Kalau mahu beli, saya boleh pasarkan. Harga sebalang RM25 saja. Iklan niaga.j

Friday, April 11, 2025

Perempuan dalam sajak- Yatim ahmad

 MENCARI PEREMPUAN DALAM SAJAK 


TIGA padangan dan saranan untuk memastikan kebangkitan yang lebih membanggakan kalangan penyair wanita generasi baharu.


Pertama, bengkel (kepada pemula) seminar dan program penataran; kemudahan menerbitkan karya; dan pembabitan yang lebih serius kalangan penyair wanita.


Prof Madya Dr Lim Swee Tin, berkata dalam tempoh dua dekad sejak Hasnah Brahim muncuil sebagai penulis wanita pertama pada 1930 menerusi sajak Perempuan Mesti Bangun (Lidah Benar, 22 April 1930), pada masa ini boleh menjadi ukuran kemantapan dan kematangan kepenyairan wanita.


Dr Swee Tin semasa menyiapkan hiumpunan esei Pemikiran Kesusasteraan: Wajah dan Wadah Kebudayaan Kebangsaan  adalah Pensyarah Kesusasteraan Melayu Fakulti Bahasa Moden Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) dan selepas ini saya tidak lagi menyebut Prof Madya (sekarang Datuk Dr Lim Swee Tin).


Manakala esei kepenyairan wanita itu dimuatkan dalam isi kandungan Penyair Wanita Malaysia Generasi Baru. 


Buku kumpulan esei ini diterbitkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Komunikasi dan Kebudayaan, 2009, Selangor.


Ada tujuh judul utama dalam buku ini membabitkan 26 sub-judul, semua berkaitan susastera, termasuk berkaitan sastera pelajar, Komsas, sejarah cerpen, sejarah kepenyairan dan sasterawan Negara (Usman Awang, Sasterawan Negara).


Sudah tentulah rencana dan esei Dr Swee Tin begitu berkesan untuk saya menyediakan resensi sastera saya, khusus kepenyairan wanita. 


(Kerana tidak boleh mengatakan kebetulan) esei kajian mengenai penyair wanita di buku ini menambah baik resensi saya kerana karangan saya selepas ini memang berkaitan kepenyairan wanita.


Sebenarnya ada banyak buku kajian Dr Swee Tin dalam Perpustakaan Anai-Anai saya, nanti kita bicarakan lain kali.


Di sebalik, kalau tidak kerana pelupusan buku ini oleh sebuah sekolah menengah di Sitiawan, tidaklah ia menjadi pemilikan saya. 


Saya (seolah-olah) bercakap lagi hal begini sebagai lanjutan perbincangan di beberapa grup whatsApp dan beberpa portal berIta (majalah) berkaitan sastera pelajar, kuasa beli pada masa akan datang.


Walaupun buku ini bacaan dewasa, tapi buku ini adalah berasal perpustakaan (pusat sumber) sebuah sekolah menegah, bukanlah pula saya menjurnaliskan atau mensasterwikan (jurnalisme sasterawi) hal sekolah itu, tetapi berkaitan gejala pelupusan buku di sekolah pun sudah berlaku.


Sama kita sedar atau tidak, sastera tidak boleh dipertahankan kerana kita hanya tahu menulis sahaja, tapi kena berfikir. Sastera tanpa berfikir perlakuan zaman di masa hadapan, adalah sastera kolot, ia menghancurkan bidang ini.


maknanya kalau anda bercakap dengan saya pasal sastera pelajar, pergi dahulu buat sedikit kajian, kaji selidik (selembar kertas dengan beberapa soalan), kemudian anda cari laporan akhbar pertemuan penulis muda, di mana, berapa yang hadir, apa mereka buat? 


Belajar tulis sajak, cerpen dan novel, kemudian di mana mereka selepas itu? Kenapa asyik-asyik bengkel untuk orang yang sudah pandai? Yang itu-itu juga, kenapa tidak pergi sekolah dan berbengkel di sana?


jadi, dengan dapatan itu anda tidaklah meremeh orang lain, apabila orang menulis keberangkalian sastera perlahan-lahan mengecil bermula (apabila) generasi muda (pelajar sekolah dan instiitusi pengajian tinggi awam dan swasta) tidak didedahkan, didekati oleh persatuan penulis lebih serius, anda kata orang itu seperti menyalak bukit. Sungguh rendah cara anda berfikir. Kolot.


Sungguh pelebelan peribahasa itu hanya mengakibatkan anda malas turun ke padang dan meninjau perkembangan sastera akar umbi pada hal inilah kuasa beli yang akan mempertahankan sastera. Kalau saya berkasar hal begini (menjawab) nanti anda kata saya tidak layak sebab orang sastera, berseni konon jiwa raganya. 


Bayangkan saya menjawab begini - bagus lagi tu anjing menyalak bukit, bukit tidak lari, yess,  tapi penyamun dan hantu polong di bukit itu ketakutan dan lari. Hantu polong itu bukan sahaja hantu betul-betul, tapi hantu (syaitan) manusia. Itulah yang menyebabkan kesombongan manusia yang diberi anugerah otak, ilmu dan kepandaian.


Budaya pelupusan buku berasal pusat sumber (perpustakaan) sekolah bukan sahaja berlaku di Sitiawan, malah di Sabah. Beberapa sekolah termasuk sekolah berasrama penuh pernah melupuskan buku dari pusat sumber dan saya ada juga mendapat percuma (kerana saya mendapat tahu).


Ada banyak juga buku 'pelupusan' ini di rak Perpustakaan Anai-Anai saya, antaranya banyak dibeli daripada kolektor buku. 


Selain itu, pelupusan buku juga pernah berlaku di Ulu kelang, satu lori besar penuh buku dimuatkan dan dibuang ke pusat pelupusan sampah pihak majlis berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.


belum lagi penutupan toko buku, lelong buku, akhbar ditutup. Dahulu pada 2019 di KL Sentral ada kedai buku besar di sana, ketika saya ke KL baru-baru ini dalam rangka kerja sastera saya, toko buku itu sudah tiada, tutup.


Saya tidaklah mahu menimbulkan kerisauan atau kebencian anda kepada saya kerana (seolah-olah) merendahkan sastera, sedangkan saya berusaha mencadangkan untuk kita melakukan kerja penyelamatan sastera terutama menyediakan pelapis, sama ada pandai menulis atau peminat (pembeli) buku sastera kalangan generasi muda.


Kita tidak boleh beri gambaran palsu atau pura-pura mempertahankan sastera masih ramai khalayak, sedangkan sejak dalam fikiran lagi tentu anda tahu orang sekarang lebih kepada henpon, teknologi multi media yang meraksasa.


Buku, sorry!


Sementara itu selesai saya membaca dan mencatat maklumat yang bersesuaian bacaan saya ini dengan rencana yang telah siap, saya akan menyiarkan resensi saya (Sabtu) mengenai seorang penyair perempuan yang sekarang ada bersayap kupu-kupu. 


perempuan itu adalah

Friday, March 28, 2025

Antara Doa Dan Takdir

 Antara Doa Dan Takdir


Ini kata-kata yang hilang, kutemui kembali, di helaian buku dan kamus, tentang hidup ini, kadangkala antara nasib  dan takdir berbeza rentak sehingga sebahagian kita, menyalahkan takdir atau suratan, namun emosi selalu mencelarukan keadaan kerana katanya bukan salah takdir menjadikan hidup ini menghadapi soalan, yang tak terjawabkan.


Lalu kufikir apa guna berdoa, kalau takdirnya kita akan kemalangan apa guna ikhtiar kalau kita tetap akan mati sekian hari bulan, apa guna ubat tidak menyembuhkan.


Bisakah doa mengubah takdir, atau kita tak perlu berdoa kerana nasib sudah ditakdirkan.


Antara takdir, nasib, doa dan ikhtiar, ada persoalan yang tidak terungkaikan.


Ibnulazim,

27.3.2025.

#pemuisiberkarya

#pemuisinasional

Tuesday, March 11, 2025

Beginilah

 Beginilah

(Prosaic)


Beginilah Miey, Jalan di hadapan memang berliku, sementelah lorong gelap dan lampu jalan tiada. Kiri kanan hutan rimba.


Beginilah Miey

kita terpaksa lalui jalan ini kerana ia satu-satunya jalan untuk ke sana. Walau hujan gelap, halilintar sambung menyambung.


Kita kena tempuhinya

kerana inilah takdir yang ditakdirkan untuk seorang Miey.


Semoga kaulalui ia dengan cekal dan tabah, tanpa pilihan, dan kutemani dikau dengan doaku.


Ibnulazim,

11.3.2025.