Sunday, October 25, 2020

 Cerpen Belum Bernama (11).

Aku meneruskan perjalanan untuk meninggalkan daerah sepi yang penuh kenangan. Bermacam-macam perasaan bermain di benakku. Ada pilu, ada gembira, ada sedih dan segala macam perasaan bermain di jiwaku. Betapa beratnya aku ingin meninggalkan kampungku ini tidak dapat kutuliskan dengan kata-kata. Mungkin puisi- puisi peribadiku ada mencatat hal-hal seperti ini yang tersimpan dalam fail di rumahku di KL. Namun aku kurang pasti dan fail itu pun entah di mana letaknya.
Lamunanku dikejutkan oleh suara azan yang berkumandang di masjid berdekatan kedai Ateh Usop tempat aku selalu berkumpul dan menonton tv hitam putih. "Oh, sudah Asar," aku berbisik dengan diriku sendiri. Aku membelokkan kereta memasuki kawasan masjid. Ayahkulah yang menjadi imam setiap kali jumaat. Pejabat agama memilihnya kerana dialah satu-satunya yang memahami Bahasa Arab dan asas ilmu lslam setelah memondok lebih sepuluh tahun lamanya di Langgar ll, Alor Setar.
"Aku harus solat dahulu di sini, kerana takut nanti tidak sempat di pertengahan jalan. Tidak kiralah siapa imamnya," bisik hatiku. Selesai solat aku ke belakang masjid, dan tidak jauh dari situ ialah kawasan perkuburan. Aku ingin menziarahi pusara ibuku dan kakakku yang sulung. Ayahku tidak dikebumikan di sini.
Namun dalam saat- saat seperti ini pun En masih menggangguku lagi. Ada sedikit rasa hiba menyelinap di jiwaku. Suatu waktu ia datang ke rumahku. Dia mendukung seorang anak dan bersamanya seorang laki-laki menemaninya. Aku rasa seperti pernah melihat laki-laki itu. Aku menduga En masih ingat padaku walau pun keadaan sudah jauh berubah.
"Perkenalkan ini ldrus, suamiku," terangnya. Kami bersalaman. 'Rasa-rasa macam pernah jumpa, "aku melontarkan sepatah dua kata kepadanya. "Ya," jawab ldrus. "Kat hospital," sambungnya. Aku mengingat-ngingat wajahnya. " Ya, kat hospital, " aku berkata dalam hatiku. Namun kelihatan ldrus kurang selesa ketika itu. Kelihatan wajahnya membayangkan rasa cemburu terhadapku. Dia agak gelisah.
"Maafkan aku,"kata En pula seolah memecahkan kebuntuan dan kegelisahan ldrus. "Maafkan aku kerana tidak menjemputmu ke majlis perkahwinanku kerana kau ketika itu dalam tahun akhir pengajianmu. Aku tidak mahu mengganggumu di tahun-tahun akhir pengajianmu," sambungnya. Aku hanya mengangguk-nganggukkan kepala.
Aku tersentap dari lamunan bila terpandang satu batu nisan bertulis nama En, meninggal tarikh sekian-sekian. Aku baru tersedar yang aku kini berada di tanah perkuburan kampungku. Setelah membaca AL Fatihah untuk seluruh warga kubur khususnya untuk ibu dan keluargaku yang telah menjadi penghuni alam barzakh itu, aku kembali ke kawasan masjid menuju ke kereta yang aku pandu.
Aku ingin segera pulang. Waktu sudah agak lewat. Dalam perjalanan , aku teringat satu berita yang dikirim oleh adiknya menyatakan En terlibat dalam satu kemalangan jalan raya sewaktu ingin pulang ke kampung meraikan Aidilfitri. Tahun berapa aku kurang pasti. Suami dan anaknya turut meninggal.
Aku mulai memecut kereta menuju highway Plus. Aku ingin meninggalkan kenangan itu di sini. Di kampungku. Tetapi mampukah aku melakukannya ?
Selamat tinggal kampungku yang menghadiahkan kenangan yang bercampur baur ini. Terjawablah sudah mengapa aku tidak suka pulang ke kampung.
Nota; ini hanya cerita rekaan dan tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang mati.
Zainal lazim,
Ibnu Lazim,
Al Rembauwi.
(Nama2 yang pernah digunakan waktu menulis dalam akhbar dan majalah).
25.10,2020.
02.48 am.

 Cerpen Belum Bernama (10)

Aku masih memandu perlahan meninggalkan kampung halaman yang sudah lama kutinggalkan. Ayah ibuku sudah lama pulang ke pangkuan Illahi. Begitu juga dengan kakak sulung dan kakak ke tiga jua telah meninggal. Rumah kakak sulungku itu dihuni oleh anak sulungnya, Azlan dan telah mempunyai beberapa orang anak. Ada rasa pilu di dada sewaktu ingin ke luar ke jalan besar. Mungkin terlampau banyak kenangan pahit manis yang ditinggalkan.
Wajah En bermain lagi di mataku. Senyumnya, tutur katanya masih menjadi igauanku. Sementelahan pula aku sedang berada di kampung, tempat di mana kejadian bermula.
Aku teringat satu hari aku pulang bersama seorang kawan, Nasir namanya. la rakanku di tingkatan 6, dan seterusnya menghuni kampus yang sama. Waktu itu kami sudah selesai menjalani peperiksaan akhir.
Sejak kunjungan En ke hospital, hubungan kami agak renggang. Suatu waktu En memberitahuku dia ternampak aku berjalan-jalan di pasaraya dengan seorang perempuan sambil berpimpin tangan. Aku agak terkejut dengan makluman itu. Aku berfikir keras untuk mencari jawaban siapakah perempuan itu. Hamidah mungkin. Aku memberi jawapan sendiri kepada diri sendiri.
Memang aku ada seorang kawan bernama Hamidah. Hamidah gadis biasa saja, namun dia tinggal di PJ bersama abangnya yang mengajar di universiti Malaya dan memiliki keluarga. Kukira minatku terhadapnya tidaklah begitu mendalam seperti En.
Lagipun aku dan Hamidah baru beberapa tahun berkenalan. Itu pun dikenalkan oleh seorang kawan satu sekolah denganku. Kukira hati En terguris dengan peristiwa itu. Lama dia tidak menghubungiku. Masa itu telefon bimbit belum ada. Jadi agak sukar untuk berhubung.
Ingatanku kembali kepada Nasir. "Aku ingin ke kampung kau," beritahu Nasir."Kampungku jauh di pedalaman," jelasku. "Aku pun orang kampung." tingkahnya."Kau akan merasa sunyi di sana." Aku sudah biasa dengan kesunyian." Tidak lama. Dalam satu minggu." Kita kena naik bas dan teksi sapu." Ah, itu masalah kecil." Jelas Nasir.
"Oklah," jawabku mengalah.
Dari pekan Kota, kami naik teksi haram ke kampungku. Kami turun di simpang jalan sempit, lorong menuju rumahku. Saat menghampiri laluan ke rumah En, kedengaran suara manusia riuh rendah. Seperti ada satu jamuan kahwin. Ya, memang sungguh ada jamuan itu. Kelihatan sebuah khemah besar tempat para tetamu menikmati hidangan.
Aku dan Nasir menyusup di celah-celah lorong sempit itu dan berselindung di balik pokok- pokok kecil yang tumbuh meliar di tepi jalan. Sebaik sampai di rumah, adikku menyambut dengan ramah. Aku tidak pun bertanyakan adikku tentang majlis di rumah En. Adikku pula tidak berkata apa- apa mengenainya. Aku bertanya dalam hatiku sendiri, "siapakah yang kahwin?" En kah yang kahwin setelah selesai pengajian peringkat diploma? Tidak ada jawapan. Aku hanya diam membungkam. Setahuku kakak-kakaknya semua sudah menamatkan zaman bujang.
"Nasir, kita kena balik esok." Aku memberitahu sahabatku itu. "Kenapa?" soalnya meminta kepastian."Aku tidak boleh berlama di sini. Nanti aku beritahu " Nasir hanya diam membungkam.
"Ok."Nasir kemudian bersuara. Malam itu adalah paling sukar bagiku. Fikiranku kacau bilau. Jam empat pagi baru dapat aku tidur. Hatiku berbisik,"engkaukah yang kahwin En? Kenapa tidak memberitahuku?" Malam terus menyepi.
21.10.2020.
23.20pm.
Nazimah Abd Wahab, Nordin Ibrahim Osman dan 12 yang lain
23 Komen
Suka
Komen
Kongsi

 9

CERPEN BELUM BERNAMA (9)
Aku masih memandu perlahan menelusuri jalan sempit itu untuk keluar dari tanah asalku. Aku membelok ke kiri memasuki jalan besar. Di kiri kanan jalan kelihatan sawah padi yang sudah kering kontang. Boleh dijadikan padang bola. Suatu waktu dulu, pemuda UMNO kampungku mengusahakan tanaman jagung, namun tidak menjadi. Satu projek yang gagal. Memang kampungku itu dikuasai oleh UMNO. Kakakku yang sulong merupakan Ketua Cawangan UMNO di situ. Suaminya menjawat jawatan setiausaha.
Laluan ke kiri adalah ke Lubuk China. Hala ke kanan adalah ke Astana Raja terus ke pekan Kota yang boleh menuju ke Tampin atau Seremban. Di satu simpang di hadapan ada satu simpang lain yang menuju ke tol lebuhraya utara selatan sebelum sampai ke Pedas.
Aku kemudian melintasi sebuah jambatan. Aku masih ingat di situlah aku sering mengail waktu umurku belasan tahun. Aku juga pernah jatuh ke dalam anak sungai di bawah jambatan itu. Jambatan itu juga pernah putus sewaktu banjir besar tahun 70, setahun selepas peristiwa 13 Mei yang terkenal di negara kita.
Di tahun-tahun 60an jalan yang kulalui itu belum lagi ditar. Sewaktu pihak JKR menurap dengan tar pada akhir 60an, aku teringat penyelianya sering berbaju putih, berseluar putih, selalu singgah di kedai bapa En. Dia akhirnya jatuh hati dengan kakak En. Akhirnya mereka berkahwin. Namun kakak En selalu sakit. Kakinya membesar dan bengkak. Akhirnya kakak En meninggal dengan penyakitnya itu.
Wajah En tiba tiba menari-nari di di depan mataku. Entah kenapa bila mengingatkan kakak En, aku selalu mengingati En. Aku sendiri kurang pasti samada aku jatuh cinta dengannya, sebab kami berkawan sejak kecil lagi.
"Ah, En , bila kau akan pulang? Aku serasa meriduikau. Aku tersangat ingin bertemu denganmu ." Aku pun tidak tahu kadangkala aku tersangat ingatkan dia. Wajahnya menari-nari di pelupuk mataku. Lama aku merenung jambatan dan sungai kecil di bawahnya. Sungguh banyak memori yang tertinggal di situ.
"En, di mana kau?" Tetapi aku harus meneruskan perjalanan. Ada orang sedang menunggu kepulanganku. Aku menghidupkan enjin kereta. Aku harus segera pulang.
18.10.2020
06.50 am.

 7

Cerpen Belum Bernama
Petang itu aku bersama Razali menaiki motosikal menuju ke Bangi. Aku yang mengusulkan program itu. Aku mengajak Razali ke sana untuk menonton konsert Khatijah Ibrahim bersama beberapa orang penyanyi lain. Tiket masuk cuma lima ringgit.
Razali yang bertubuh kecil dan berambut sedikit keriting itu memang cekap memandu motor untuk perjalanan jauh. Jarak di antara kampungku dengan Bangi hampir 100 kilometer. Razali tidak memandu di bahagian tepi jalanraya. Dia mengambil bahagian tengah di atas garis putih yang memisahkan perjalanan dua hala itu.
Razali memecut lebih 120 km sejam untuk sampai ke Bangi sebelum jam delapan. Aku hanya memboceng. Dengan kuasa kuda 125 cc, kami sampai jam 7.30 di Bangi. Pertunjukan akan berlangsung kira-kira jam 8 malam. Razali , kawan baikku di kampung merupakan rakan sekelasku dari darjah satu hingga darjah tiga. Dia bersedia menemaniku ke mana sahaja.
"Eh, aku dengar emak En melaga-lagakan engkau dengan anaknya itu, betul ke?" Razali melontarkan soalan kepadaku sebaik kami membelok masuk ke kampus UKM. "Biasalah tu," balasku selamba. " Dari kecil aku bermain sorok-sorok dengan dia dengan beberapa anak jiran depan rumah." Aku menyambung. "So," Razali meminta penerangan selanjutnya. " Memanglah adat kampung macam tu. Jodohkan orang itu dengan orang ini," jelasku. "Engkau sukan ke dengan dia?" Razali melanjutkan pertanyaan.
'Hem." Aku cuma berdehem tanpa menjawab soalan sahabatku itu. "Bukankah kau sekampus dengan dia," aku pula mengajukan pertanyaan." "Ya, tapi aku tidak pernah bertemu dengannya." Razali membalas soalanku.
"Eh , dah dekat jam delapan, jom masuk." sambung Razali sambil mengheret tanganku. Malam itu kami dibuai oleh Khaty dengan lagu-lagu topnya. Aku sempat bersalaman dengannya sebelum pertunjukan selesai. Malam itu aku tidur dengan wajah En dan Khaty yang datang silih berganti. Tidak banyak perbezaan , cuma Khaty agak tinggi, bisik hatiku.
16. 10.2020
00.25am.

 Cerpen Belum Bernama (8)

Malam itu seperti biasa aku dan kawan-kawan berkumpul di bawah rumpun buluh bersetentangan dengan kedai runcit merangkap kedai tea tempat orang-orang kampung bertemu dan berbincang selepas penat berkerja menoreh getah atau ke sawah padi dan menuai atau menanam padi. Kadangkala mereka membersihkan sawah padi yang menghijau dengan membuang rumput rampai yang tumbuh meliar di bendang. Kerja begini dikenali sebagai merumput.
Jika musim tidak ke sawah,orang-orang kampungku itu menternak kerbau, lembu atau kambing di samping ayam dan itik. Itulah pekerjaan utama mereka sepanjang tahun untuk menyara hidup keluarga dan persekolahan anak-anak.
Malam itu agak dingin. Barangkali kerana hujan siang tadi. TV hitam putih di kedai itu pun tidak mempunyai siaran menarik. Kedai itu dimiliki oleh Ateh Usop, yang berusia dalam lingkungan enam puluhan. Seorang dari anaknya Rahim adalah kawan rapatku. Dia juga menunggu keputusan peperiksaan STPM. Badannya agak gempal sedikit dan tingginya pun lebih kurang sama dengan kawan-kawan yang lain.
" Mari kita pergi menonton wayang India," Rahim mengemukakan cadangan. '"Kat mana?" Tanya Razali." Kat Marlow Estet," jawap Rahim. "Eh takutlah." Balasku pula. "Kita akan melalui bukit tempurung, di mana kiri kanan jalan itu ada hutan besar." Aku menyambung." Harimau pun mungkin ada ," tambah ku.
'Hei, kau jantan ke betina." Rahim menghalakan soalan kepadaku. Aku hanya tersenyum simpul. "Ayuhlah kita pergi ." Aku bersuara, seolah-olah itu satu keputusan. "Kita naik basikal saja. Motorsikal ada satu, kita berempat termasuk Zubir. Dia tengah menonton tv hitam putih di kedai Ateh Usop.
Menjelang tengah malam filem India itu baru selesai. Jam 12 malam kami pulang. Tatkala melalui Bukit Tempurung, bulu tengkok aku mula meremang. "Apa pula halnya ini," aku bertanya dalam hatiku. Tiba- tiba Rahim menjerit," Dia kat belakang," jeritnya. "Laju, laju," tambahnya. Satu makhluk berpakaian serba putih dan berambut panjang mengejarnya dari belakang. Kami berempat membuat kayuhan selaju mungkin.
"Oh Tuhan, kita selamat," ucap Razali sebaik sampai di bawah rumpunan buluh tempat kami mula bertolak tadi. Aku akan terpaksa melalui hadapan rumah En. Dia tiada di situ. Masih di kampus. Hanya keluarganya tinggal di rumah besar itu.
"En, bila kau akan pulang En. Aku ingin bicara dengan kau. Aku mungkin juga rindu." Bisikku kepada diri sendiri. Sebaik sampai di rumah, aku terus masuk bilik tidur. Malam itu mataku agak sukar untuk lena. Fikiran dan perasaan bercampur baur.
17.10.2020
00: 12am.

 

16 Oktober jam 3:41 PG 
Dikongsi dengan Awam
Awam
7
Cerpen Belum Bernama
Petang itu aku bersama Razali menaiki motosikal menuju ke Bangi. Aku yang mengusulkan program itu. Aku mengajak Razali ke sana untuk menonton konsert Khatijah Ibrahim bersama beberapa orang penyanyi lain. Tiket masuk cuma lima ringgit.
Razali yang bertubuh kecil dan berambut sedikit keriting itu memang cekap memandu motor untuk perjalanan jauh. Jarak di antara kampungku dengan Bangi hampir 100 kilometer. Razali tidak memandu di bahagian tepi jalanraya. Dia mengambil bahagian tengah di atas garis putih yang memisahkan perjalanan dua hala itu.
Razali memecut lebih 120 km sejam untuk sampai ke Bangi sebelum jam delapan. Aku hanya memboceng. Dengan kuasa kuda 125 cc, kami sampai jam 7.30 di Bangi. Pertunjukan akan berlangsung kira-kira jam 8 malam. Razali , kawan baikku di kampung merupakan rakan sekelasku dari darjah satu hingga darjah tiga. Dia bersedia menemaniku ke mana sahaja.
"Eh, aku dengar emak En melaga-lagakan engkau dengan anaknya itu, betul ke?" Razali melontarkan soalan kepadaku sebaik kami membelok masuk ke kampus UKM. "Biasalah tu," balasku selamba. " Dari kecil aku bermain sorok-sorok dengan dia dengan beberapa anak jiran depan rumah." Aku menyambung. "So," Razali meminta penerangan selanjutnya. " Memanglah adat kampung macam tu. Jodohkan orang itu dengan orang ini," jelasku. "Engkau sukan ke dengan dia?" Razali melanjutkan pertanyaan.
'Hem." Aku cuma berdehem tanpa menjawab soalan sahabatku itu. "Bukankah kau sekampus dengan dia," aku pula mengajukan pertanyaan." "Ya, tapi aku tidak pernah bertemu dengannya." Razali membalas soalanku.
"Eh , dah dekat jam delapan, jom masuk." sambung Razali sambil mengheret tanganku. Malam itu kami dibuai oleh Khaty dengan lagu-lagu topnya. Aku sempat bersalaman dengannya sebelum pertunjukan selesai. Malam itu aku tidur dengan wajah En dan Khaty yang datang silih berganti. Tidak banyak perbezaan , cuma Khaty agak tinggi, bisik hatiku.
16. 10.2020
00.25am.