Monday, May 25, 2026

Instuti Raja

 PENDAPAT | Institusi Diraja yang Semakin Tegas Menandakan Keyakinan terhadap Kerajaan Madani Semakin Turun


Saya rasa sukar untuk dinafikan bahawa institusi diraja kini dilihat semakin tegas dan bersuara dalam urusan pentadbiran negara.


Hari ini, Tengku Mahkota Pahang mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia supaya mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada Sultan Pahang sebelum menjalankan latihan ketenteraan di negeri itu.


Menurut baginda, baginda bimbang aktiviti ketenteraan yang dirancang berhampiran pulau-pulau Pahang berpotensi menjejaskan ekosistem alam sekitar, flora, dan fauna di kawasan berkenaan.


Namun, Istana Pahang bukan satu-satunya institusi diraja yang menjadi tumpuan kebelakangan ini.


Istana Negeri Sembilan dan Selangor juga turut  melibatkan diri dalam beberapa kontroversi politik yang berlaku di negara kita sejak kebelakangan ini.


Bulan lalu, Negeri Sembilan menyaksikan apa yang boleh dianggap sebagai satu cubaan “rampasan kuasa”  apabila 14 ADUN UMNO, yang diketuai oleh ketua negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias, menarik sokongan terhadap kerajaan negeri dan bersama lima ADUN pembangkang cuba membentuk pentadbiran baharu.


14 ADUN UMNO tersebut memohon menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, pada akhir April 2026, namun pertemuan itu tidak berlaku.


Sebaliknya, Yang di-Pertuan Besar menitahkan Menteri Besar Aminuddin Harun, untuk meneruskan tugas pentadbiran seperti biasa bagi mengekalkan kestabilan sementara isu sokongan majoriti diperjelaskan.


Kemudian timbul pula pertikaian antara beberapa ahli politik DAP dan Istana Selangor berkaitan isu penternakan babi di negeri itu.


Awal tahun ini, Sultan Selangor telah menitahkan supaya aktiviti penternakan babi di Selangor dihentikan.


Beberapa pemimpin DAP mempertikaikan perkara tersebut, khususnya Tony Pua, penasihat kepada Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, yang mempersoalkan sama ada titah tersebut perlu dianggap sebagai arahan, bila di lihat dari kaca mata Perlembagaan negara.


Belum pun kontroversi melibatkan Istana Selangor dan DAP benar-benar reda, Istana Pahang pula sekarang tampil ke hadapan — kali ini atas nama perlindungan alam sekitar.


Sekali pandang, semua perkembangan ini tentunya akan menimbulkan satu persoalan dalam kalangan rakyat Malaysia:


Apakah sebenarnya peranan institusi raja dalam sistem Perlembagaan negara kita?


Buat masa ini, pertanyaan  ini banyak berkisar tentang maksud dan kuasa sesuatu “titah” atau perintah diraja.


Jika seorang Sultan menitahkan sesuatu kepada kerajaan negeri, adakah kerajaan tersebut mesti mematuhinya?


Namun, daripada mendalami maksud "titah" mungkin cara yang lebih sesuai untuk memahami peranan institusi diraja ialah seperti berikut:


Peranan Institusi diraja adalah paling jelas,  ketara dan aktif apabila kerajaan yang dipilih rakyat dilihat sedang berdepan kesukaran, tidak berfungsi dengan baik, atau gagal mengekalkan kestabilan dan keyakinan awam.


Terdapat beberapa keadaan yang boleh membawa kepada situasi ini.


Pertama, keadaan ini mungkin  berlaku secara semula jadi.


Apabila Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan pilihan raya diadakan, wujud satu tempoh peralihan kuasa sebelum kerajaan baharu dibentuk. Dalam tempoh ini, yang biasanya berlangsung untuk selama beberapa minggu,  institusi diraja memainkan peranan yang lebih aktif dalam memastikan kesinambungan dan kestabilan pentadbiran.


Kedua, keadaan ini juga akan  berlaku apabila ada konflik dalam institusi utama negara.


Apabila cabang eksekutif, kehakiman, legislatif atau parti politik berada dalam kebuntuan atau krisis, institusi diraja boleh muncul sebagai institusi penimbangtara yang berfungsi memecahkan kebuntuan itu.


Krisis kehakiman Malaysia 1988 merupakan contoh paling jelas dalam sejarah, apabila konflik antara eksekutif dan kehakiman yang berakhir dengan pemecatan Tun Salleh Abas,  telah mendorong  institusi diraja untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam menyelesaikan krisis itu.


Penubuhan kerajaan selepas PRU15 juga boleh di lihat dari kaca mata ini, apabila institusi di raja telah berperanan memecahkan kebuntuan yang timbul apabila tiada satu pun parti atau gabungan yang bertanding mendapat cukup mandat dari rakyat untuk membentuk kerajaan.


Hanya dengan campurtangan institusi di raja, kebuntuan ini berjaya di pecahkan.


Ketiga, keadaan ini juga akan berlaku semasa  darurat diisytiarkan.


Dalam situasi darurat, penghayatan perlembagaan akan berubah secara ketara. Mandat rakyat yang diberikan melalui pilihan raya menjadi kurang utama berbanding soal kestabilan dan kelangsungan negara — dan dalam keadaan sedemikian, institusi diraja akan memperoleh lebih ruang  untuk menggunakan budi bicara mereka demi memastikan keselamatan dan kestabilan negara.


Secara keseluruhan, apa yang kita lihat di sini  adalah jelas:


Institusi diraja cenderung menjadi lebih aktif apabila mekanisme kerajaan demokrasi dilihat lemah, terhenti, berpecah, atau gagal meraih keyakinan.


Itulah sebabnya kenapa  kecenderungan institusi diraja untuk tampil bertitah dalam hal pentadbiran negeri dan negara baru-baru ini   memberi petanda yang membimbangkan kepada Kerajaan Madani.


Jika kerajaan persekutuan dan negeri benar-benar stabil, cekap dari segi pentadbiran, dan dihormati dari segi institusi, maka keperluan untuk Institusi Di Raja melibatkan diri dalam urusan pentadbiran negara atau Negeri tidak akan berlaku.


Hakikat bahawa beberapa institusi diraja kini dilihat lebih bersedia untuk tampil mempertahankan apa yang mereka anggap sebagai kepentingan negeri masing-masing menunjukkan bahawa wujud sesuatu perkembangan yang membimbangkan mungkin sedang berlaku dalam landskap politik negara kita.


Dengan kata lain, semakin institusi diraja merasa perlu untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam pentadbiran negara dan negeri, semakin masyarakat akan menafsirkannya sebagai ketidakmampuan Kerajaan Madani untuk mentadbir atau memerintah negara dengan berkesan.


#Malaysia

#Madani

#AnwarIbrahim

#RajaRajaMelayu

#InstitusiDiraja

#PolitikMalaysia

#DAP

#Selangor

#Pahang

#NegeriSembilan

#Perlembagaan

#MonarkiBerperlembagaan

#KerajaanMadani

#Royalty

#ConstitutionalMonarchy

#MalaysianPolitics

#TitahDiraja

#UMNO

#PakatanHarapan

#PoliticalAnalysis

No comments:

Post a Comment