Thursday, November 26, 2026

Artificial. Justice

 Artificial Justice


Para cerdik pandai bersidang

mencari kesalahan

yang tidak bersalah seperti dahulu, tilam diusung

jadi bahan bukti dalam agenda

drama semasa

dan kali ini bersidang lagi mencari beban bukti yang bakal merosak laluan keluar masuk yang telah pun rosak puluhan tahun.


Para cendekiawan bersidang dalam sebuah lakonan entah Hamlet atau sang Oedipus yang membayangi "apa-apa" atau "patung-patung" Dan mengkelabu-asapkan keadilan di negara yang memang tidak pernah adil, sejak mamak Bendahara merantai keadilan zaman berzaman.


Dan kini 

watak yang sama bertopeng cendikiawan bakal memutuskan kesalahan kepada yang tidak berbuat durjana, bahkan, mereka lebih durjana dari Oedipus sang raja 

membunuh ayahnya serta mengahwini ibunya sambil berteriak

"keadilan telah pun ditegakkan, dan rakyat yang tertipu bersorak kegembiraan.


Di satu ruang kecil seorang budak mengalirkan airmata sambil memikirkan di manakah "aku ingin hidup" seribu tahun lagi

sedang negara sudah tiada, bangsaku entah di mana ditipu oleh cendekiawan durjana.


26.11.26.

Ibnulazim@zainallasim.

No comments:

Post a Comment