Tuesday, August 5, 2025

Puisi Eila Adam 2

 Ulasan puisi، ulasan ini tidak termasuk dalam siri Selebriti Sasterawan..


Sekuntum kemboja secawan kopi


dihulur secawan kopi

di hiasi sekuntum kemboja

sebuah puisi

atas meja 


siapa pengirimnya


kemboja itu bunga kuburan

putih bersih

wangi


aduh bagaimana ini

mau dihirup kopinya dulu

atau

dicium kembojanya

atau 

dibaca puisinya

atau

serentak itu ketiganya


aku ke pejabat dulu

kopi , puisi dan bunga kemboja 

snap saja photonya

lalu kusimpan di dada

jadi kenangan sepanjang usia


Wangikah Anggerik 

15.06.23


Ulasan Puisi;

Sekuntum Kemboja Secawan Kopi


Saya pun kurang ingat bagaimana boleh terbaca sajak ini di tengah-tengah kesibukan media sosial yang selalu saja

melahirkan pemuisi-pemuisi baru. Namun bila dibaca saya melihat ada bakat yang boleh diketengahkan dari sajak ini.


Tema sajak ini ringan sahaja, iaitu sekuntum bunga kemboja dan secawan kopi. Saya cuba mencari maksud lain dari ke dua-dua imej ini. Saya tidak menemui sebarang maksud lain kecuali ia mungkin lakaran emosi penulisnya, Wangikah Anggerik, atau nama sebenarnya Rahilah Adam. Ada lagi sekumpulan sajak yang ditulisnya, namun saya tidak sempat menelaahnya kerana kesuntukan masa.


Pada bait pertama beliau menulis:


'dihulur secawan kopi

dihiasi sekuntum kemboja

sebuah puisi 

atas meja'.


Apa yang dapat difaham ialah ada seseorang memberinya secawan kopi bersama sekuntum bunga kemboja. Kopi adalah air penghilang dahaga, sementara kemboja adalah sekuntum bunga, di mana bunga sering dikaitkan dengan wanita, atau pemberian bunga boleh juga dilihat sebagai lambang cinta yang disogokkan oleh seseorang kepadanya. Namun kopi dan bunga itu menjadi puisi di atas meja, atau menjadi satu harapan dalam hubungan sesama insan. Dengan kata lain, kopi dan bunga melambangkan harapan yang diberikan seseorang kepadanya.


Pada rangkap ke dua dan ketiga, penulis tidak berkesempatan meminum kopi, atau mencium bau kemboja, mungkin kerana hambatan waktu, dia hanya mempotret imej-imej tersebut, tanpa menyatakan apakah ia menerima atau menolaknya. Ia hanya menyatakan menyimpan imej-imej tersebut di dadanya dan menjadi kenangan dalam hidupnya. Majaz-majaz yang digunakan, adalah majaz yang lazim digunapakai dalam masyarakat kita. Cuma men'snap' imej berkaitan dan menyimpannya sebagai kenangan adalah agak baharu dalam dunia perpuisian kita. Harapan kita, penyair ini terus menulis dan meneroka tema-tema yang lebih bermakna untuk sastera kita dan generasi mendatang.


Ibnulazim,

1.7.2023.

Puisi Eila Adam

 Ulasan Puisi Tidak Berjadual


Puisi moden atau pun sajak, adalah curahan hati yang berbaur dengan isi atau fikiran dan rumusan dari sesuatu isu, dan isi inilah yang memberi nilai kepada sajak itu. Sajak yang tiada buah fikiran di dalamnya adalah sajak curahan perasaan, sajak cinta, kenangan dan sebagainya. Namun kebanyakan penulis pemula menulis sajak jenis ini, luahan emosi tanpa ada unsur-unsur pemikiran yang memandaikan bangsa, seperti kata SN Muhammad Hj Salleh. Namun begitu, fasa ini harus dilalui oleh setiap penulis pemula sebelum meneroka lebih jauh ke dalam rimba belantara kesusasteraan itu.


Di bawah ini ada sebuah sajak yang lebih merupakan luahan rasa dan sedikit unsur pemikiran kalau ada, kerana penulis mungkin belum cukup lama menceburkan diri dalam dunia penulisan. Tetapi ulasan dan kritikan penting dalam mematangkan seseorang pengkarya.


Soalanku


kau tawarkan apa

untuk aku memilihmu

itu soalan


jawapan

apapun 

aku tidak mahu tahu


si rajawali telah terbangkan

hati dan cinta

entah di bawa ke mana


- senyum, jangan rajuk


Aku Anggerik 

13.07.23#8.23am

Bukit Palah


Sajak soalanku ini ditulis oleh penulis yang masih mencari kematangan dalam berkarya, iaitu Aku Anggerik atau Wangikah Anggerik, nama samaran yang digunakan oleh Rahilah Adam. Beliau sebenarnya telah menulis sejumlah sajak dan diterbitkan oleh Pemuisi Nasional dan Kopi.


Sajak "Soalanku" merupakan soalan Yang ditujukan kepada seseorang sahabatnya ، yang saya kira lelaki, tentang apakah yvang diperolehinya jika ia memilih lelaki berkenaan. Namun pada bait berikutnya dia sendiri menjawab dengan nada agak sinis, kerana dia sebenarnya tidak memerlukan jawaban tersebut. Untuk apa bertanya jika tidak mahu jawaban? Di sini ada kontradiksi antara soalan dan jawaban. Dan penulis sendiri memberikan jawban kepada persoalannya."Si Rajawali telah terbangkan hati dan cintanya entah dibawa ke mana,".


Pada bait akhir penyair memujuk temannya dengan menyebut "senyum jangan rajuk.' Tentulah hampa perasaan teman itu dengan ayat berkaitan.


Ada satu perlambangan yang digunakan oleh penyair iaitu Rajawali. la adalah lambang kegagahan Dan kesempurnaan manusia yang melarikan hati dan cintanya . Dapat difaham bahawa dia bukanlah sembarang orang yang menjadi saingan temannya itu. Sebetulnya temannya itu harus menarik balik hajatnya yang besar itu. Dan saya menyatakan penulis harus mempelbagaikan teknik sajaknya dengan aliterasi،asonansi, metafora ,ambiguiti, personafikasi , anafora, epifora dan sebagainya agar karyanya lebih hidup dan memenuhi ciri-ciri puisi moden.


Ibnulazim,

14.7.2023.