Monday, August 9, 2010

GAJI KAKITANGAN POS MALAYSIA : INDAH KHABAR DARI RUPA?


Kenaikan tarif setem yang diumumkan baru-baru ini dari 30sen kepada 60sen surat biasa berukuran standard diikuti dengan pengumuman kenaikan gaji kakitangan pegawai dan kakitangan Pos Malaysia. Kenaikan itu dikatakan sehingga 19 %. Satu kemaikan yang cukup tinggi dalam keadaan ekonomi yang kurang menentu dan negara sedang menuju ke arah kebangkrapan yang sukar diduga. Malaysia bakal bangkrap bukan kerana tiada hasil negara yang cukup dan rakyatnya malas, bahkan Malaysia adalah pengeluar kereta, pengeluar minyak dan berbagai-bagai bahan pertanian seperti kelapa sawit, getah dan sebagainya. Malaysia bakal bangkrap bukan sebab itu, bukan, tetapi Malaysia telah diurus oleh sekumpulan manusia yang rakus, tamak haloba sehingga mengikis kekayaan negara untuk kepentingan diri sendiri, sanak saudara dan kroni.


2. Jika seorang kakitangan itu bergaji RM 1000, tambahan yang ia dapat ialah RM 190 sebulan, dan diikuti oleh kenaikan RM50 belanja sara hidup dan RM50 elaun kehadiran sekiranya tidak mengambil cuti sakit dan cuti kecemasan. Namun adakah semua kakitangan Pos Malaysia menerima kenaikan tersebut? Satu kajian yang dibuat menunjukkan kakitangan yang menerima kenaikan gaji dan elaun yang tinggi itu adalah di kalangan orang-orang muda, yang baru berkhidmat, yang belum meninggalkan apa-apa jasa kepada Pos Malaysia. Orang-orang lama, khasnya yang telah mati skim gajinya, walaupun mempunyai tempuh perkhidmatan yang masih panjang sehingga 10 tahun, hanya menerima 1% sahaja. Jika seseorang petugas lama itu bergaji RM2,500, ia hanya menerima RM 25.00 sahaja dicampur RM50 elaun sara hidup, dan RM50 elaun kehadiran jika mencukupi syarat. Inilah keputusan yang dibuat oleh perunding yang dilantik (consultant) oleh Pos Malaysia dalam membuat pelarasan gaji baru-baru ini.


3. Demikianlah sebenarnya kedudukan pelarasan gaji yang heboh dalam media massa samada bercetak atau elektronik yang diumumkan baru-baru ini. Apakah orang-orang lama yang bekerja di Pos Malaysia itu melakukan apa-apa kesalahan? Tidak. Mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan. Adakah mereka tidak produktif? Tidak, Kadangkala orang lama lebih produktif dari orang baru, dan mereka mempunyai pengalaman yang luas dalam operasi Pos Malaysia. Tetapi kenapa mereka hanya diberi 1% sahaja? Mungkinkah mereka bukan kroni kepada pihak pengurusan? Adakah adil penyelarasan gaji sedemikian rupa? Adakah mereka tidak bekerja atau mereka sudah tidak diperlukan? Tetapi mengapa pendapat mereka ditanya apabila ada satu-satu masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh orang-orang baru yang berkelulusan tinggi itu? Inilah dilemma dan ketidakadilan yang berlaku di sebalik hiruk-pikuk pelarasan gaji baru anggota Pos Malaysia itu yang diwar-warkan di seluruh negara. Di manakah perginya keadilan dalam pembahagian kekayaan dan ekonomi yang disebut-sebut dalam DEB itu?


Pakitam,
5.8.2010

No comments:

Post a Comment