Monday, May 3, 2010

ULASAN BUKU: SANTUN KOMUNIKASI

ULASAN BUKU

JUDUL BUKU: SANTUN KOMUNIKASI

PENGARANG: ABDUL MU’ATI @ ZAMRI AHMAD

PENERBIT : DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA

CETAKAN : CETAKAN PERTAMA,2001

HALAMAN : 112 HALAMAN

HARGA : TIDAK DICATAT



Santun Komunikasi adalah sebuah buku komunikasi yang ditulis oleh orang yang tidak asing lagi dalam bidang komunikasi, khususnya di Universiti Putra Malaysia.Beliau kini adalah orang penting di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.Buah tangannya atau bukunya yang lain tentang komunikasi berjudul Komunikasi Di Tempat Kerja, juga diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, satu-satunya penerbit buku-buku ilmiah dan pelajaran serta kesusasteraan yang mendapat dukungan penuh kerajaan.Untuk melihat apakah yang dibicarakan melalui Santun Komunikasi ini kita perlu melihat ringkasan isinya atau sinopsisnya terlebih dahulu sebelum kita berbicara lebih jauh tentang karya “mahaguru” dalam bidang Pengucapan Awam di Universiti Putra Malaysia ini.

Sinopsis

Santun Komunikasi sebenarnya terdiri dari lima bab utama,iaitu bab pertama berjudul Mengenali Komunikasi, seterusnya bab Komunikasi Dalam Keluarga, Komunikasi Di Tempat Kerja, Mendengar Sebagai Satu Komponen Komunikasi, dan terakhir ialah Komunikasi Dari Sudut Islam.Seperti yang telah diberitahu dari awal oleh pengarangnya, Santun Komunikasi tidaklah berbicara secara ilmiah, tetapi sesuai untuk masyarakat umum yang mungkin tidak begitu mesra dengan bidang komunikasi, di samping ianya juga boleh dijadikan bacaan tambahan bagi pelajar-pelajar jurusan komunikasi.

Walau bagaimanapun, dalam bab awal, iaitu Mengenali Komunikasi buku ini mengetengahkan ideanya agak ilmiah juga, iaitu dengan menyentuh tentang takrifan komunikasi.Komunikasi menurut Dr.Abu Muati adalah satu proses manusia menghantar dan menerima mesej.Beliau kemudian menyebut beberapa pendapat dari tokoh-tokoh komunikasi tentang apa itu komunikasi. Umpamanya ia memetik pendapat Byrnes yang menyebutkan komunikasi adalah satu proses interaksi di antara manusia,di mana orang ramai bertutur dan bertukar-tukar pendapat,gerak,isyarat atau simbol, dengan tujuan untuk memberi atau bertukar-tukar maklumat,mempengaruhi tingkahlaku,memujuk ataupun mengubah keadaan fizikal atau mental mereka.

Seterusnya buku ini membahagikan komunikasi kepada empat jenis utama, iaitu Komunikasi Intrapersonal, Komunikasi Antara Perseorangan,Komunikasi Kumpulan Kecil dan Komunikasi Awam. Komunikasi Intrapersonal adalah komunikasi seseorang itu dengan dirinya sendiri,manakala komunikasi interpersonal pula adalah komunikasi yang berlangsung di antara dua orang manusia.Sementara itu komunikasi kumpulan kecil pula adalah komunikasi yang berlaku dalam satu kumpulan yang kecil untuk berbincang seperti mesyuarat dan sebagainya,manakala komunikasi Awam pula ditakrifkan sebagai komunikasi yang disampaikan oleh seseorang pengucap dalam satu majlis yang besar di mana komunikasinya lebih bersifat sehala.

Selanjutnya dibicarakan unsur-unsur dan proses komunikasi di mana sang pengarang menyebutkan ada sebelas unsur komunikasi semuanya termasuklah sumber,enkod,saluran,idea,penerimaan,dekod,pemahaman,penerima, maklumbalas, gangguan dan suasana. Dibicarakan juga bentuk-bentuk komunikasi yang terdiri dari lima bentuk iaitu bentuk lisan, komunikasi bukan lisan, komunikasi sentuhan, tulisan dan isyarat, dan bentuk visual. Halangan-halangan komunikasi juga disinggung dalam bab ini.Halangan-halangan itu merupakan halangan-halangan seperti kebisingan fizikal, kecacatan fisiologi, masalah semantik,masalah sintaksis dan masalah psikologi.

Komunikasi Dalam Keluarga

Tajuk di atas adalah merupakan bab ke dua dari buku ini, Santun Komunikasi. Pembicaraan bab ini banyak menyentuh tentang hubungan suami-isteri dan anak-anak.Suami yang juga merangkap sang ayah, seharusnya menjadi contoh dalam keluarga, yang memainkan peranan komunikasi yang baik yang penuh kasih sayang serta menimbulkan keharmonian dalam sesebuah keluarga itu sendiri.Komunikasi di antara suami isteri ini terdiri dari komunikasi lisan dan bukan lisan, di mana komunikasi lisan adalah komunikasi verbal yang melambangkan hubungan suami-isteri.

Dalam komunikasi bukan lisan pula ia boleh berlaku dengan beberapa cara.Antaranya ialah melalui mimik muka.Kejernihan airmuka suami-isteri sewaktu berkomunikasi dapat membawa kedamaian dalam rumah tangga.Bahasa badan juga merupakan komunikasi bukan lisan yang sering diamalkan dalam hubungan suami isteri.Begitu juga hubungan dengan anak-anak. Lain-lain bentuk komunikasi bukan lisan dalam keluarga ialah penggunaan nada suara yang lunak,pertembungan mata,belaian dan sentuhan,penampilan diri,pemberian hadiah atau ganjaran kepada suami-isteri khasnya pada hari-hari tertentu seperti harijadi, dan bentuk terakhir ialah menjadikan diri sendiri sebagai contoh tauladan dalam keluarga sendri.Hal ini penting kerana jika tiada contoh tauladan yang baik anak-anak mungkin akan mencari contoh tauladan yang lain di luar rumah tangga. Mereka mungkin terpengaruh dengan keadaan semasa yang mana masyarakat massa sering menjadikan penyanyi atau bintang filem sebagai “role model” bagi mereka.

Bab ini berakhir dengan sub tajuk Komunikasi dan Pembentukan Harga Diri Anak-Anak di mana sang pengarang membicarakan betapa pentingnya harga diri dalam sesebuah keluarga.Kajian menunjukkan kanak-kanak yang mempunyai harga diri yang tinggi akan lebih mudah belajar dengan berkesan di samping membina hubungan baik dengan masyarakat dan alam sekeliling,lebih pandai menggunakan peluang untuk maju dan lebih produktif.

Komunikasi Di Tempat Kerja

Komunikasi di tempat kerja adalah pembicaraan selanjutnya dalam buku ini. Pembicaraan ini adalah berkisar dalam komunikasi kerogannisasian, di mana ia adalah satu bidang komunikasi yang penting dewasa ini yang lebih dikenali sebagai komunikasi korporat. Biasanya komunikasi di tempat kerja terbahagi kepada dua jenis komunikasi, iaitu komunikasi formal dan tidak formal.Komunikasi formal dalam organisasi merujuk kepada komunikasi yang membawa mesej rasmi daripada pihak pengurusan kepada pekerja,komunikasi daripada pekerja kepada pihak pengurusan dan komunikasi di antara sesama ahli organisasi dalam hierarki yang sama.

Sementara itu komunikasi yang tidak formal dalam organisasi merujuk kepada aliran maklumat yang tidak rasmi dalam organisasi, termasuklah khabar angin,gosip dan seumpamanya.

Selanjutnya dibincangkan komunikasi pengurus dengan para pekerjanya dalam sesebuah organisasi.Komunikasi ini lebih bersifat ke bawah, di mana para pengurus berhubung atau berinteraksi dengan para pekerjanya melalui berbagai cara dan tujuan. Di antara tujuan itu adalah memberi arahan tentang pelaksanaan kerja dan cara menjalankannya,memberi alasan kepada pekerja mengapa mereka perlu melaksanakan kerja tersebut, memberi data-data yang diperlukan mengenai prosedur operasi,dasar serta amalan organisasi,memberikan maklumbalas kepada pekerja mengenai pencapaian mereka dalam kerjaya dan memberikan maklumat yang menyatakan misi dan pemahaman matlamat korporat.

Komunikasi di antara pekerja dengan pengurus pula bertujuan untuk memberi maklumbalas tentang sikap dan perasaan pekerja kepada pihak pengurusan.Ia juga bertujuan untuk memberikan cadangan untuk memperbaiki prosedur dan melahirkan idea baru,memberikan maklumbalas mengenai keberkesanan komunikasi ke bawah, memberikan maklumat mengenai pengeluaran dan pencapaian matlamat, memberi ruang kepada para pekerja untuk menyuarakan permintaan mereka, menyalurkan rungutan-rungutan dari para pekerja dan meningkatkan penglibatan pekerja dalam aktiviti organisasi.

Komunikasi mendatar pula berlaku di antara rakan sesama pekerja itu sendiri dalam hierarki yang sama dalam sesebuah organisasi.Komunikasi jenis ini bertujuan untuk menyelaraskan usaha di antara unit dan jabatan yang saling bergantung, untuk membina sistem sokongan sosial dalam organisasi, perkongsian maklumat di antara sesama rakan sekerja, memudahkan penyelesaian masalah dan menghalang konflik di antara jabatan yang disebabkan oleh salahfaham,gangguan komunikasi dan kekurangan maklumat. Menurut Dr.Zambri, komunikasi jenis ini agak kurang formal berbanding dengan dua jenis komunikasi yang terdahulu.Hal ini mungkin disebabkan ia adalah komunikasi di antara sesama rakan sekerja,bukan komunikasi di antara pengurus dengan pekerjanya atau komunikasi di antara pekerja dengan pihak pengurusan.

Di antara komunikasi mendatar yang sering diamalkan oleh anggota organisasi ialah menerusi perbualan melalui telefon, percakapan dalam acara-acara sosial seperti acara sukan dan berkelah, perbincangan dalam mesyuarat, kmounikasi dalam Jawatankuasa Bertindak, komunikasi bertulis dan komunikasi dalam kumpulan kawalan meningkatkan mutu kerja.

Komunikasi tidak formal,menurut buku ini adalah juga dikenali sebagai grapevine di mana ia membawa maksud apa sahaja jenis komunikasi yang tidak formal yang berlaku dalam sesebuah organisasi.Grapevine membawa ciri-cirinya yang tersendiri, di antaranya ialah ianya membawa mesej dengan cepat dalam organisasi, kebanyakannya berbentuk lisan, ia lebih cendrung untuk menangani perkara-perkara luarbiasa dalam organisasi, ia lebih berorientasikan manusia yang merupakan anggota organisasi, ia dikawal oleh pekerja dan ianya juga didorong oleh pekerja. Walaupun grapevine merupakan komunikasi tidak formal, namun ia membawa banyak manfaat kepada organisasi. Antaranya ia merupakan petunjuk kepada suasana organisasi, ianya boleh digunakan untuk mengumpulkan maklumat yang terus terang lagi ikhlas bagi pengurus yang peka. Grapevine juga merupakan luahan rasa, di samping boleh mempengaruhi persekitaran sosial dan kualiti kerja, dan ia juga dapat menampung kelemahan dalam pemerosesan maklumat yang tidak dapat ditampung oleh saluran formal.

Selanjutnya pengarang membicarakan masalah-masalah komunikasi di tempat kerja dengan menyorot kepada halangan-halangan dalam komunikasi.Halangan pertama dikatakan sebagai kerosakan maklumat di mana ia disebabkan oleh berbagai perkara.Di antaranya ialah pekerja menyembunyikan data penting, pekerja memanipulasi data, pekerja melangkah peringkat-peringkat tertentu dalam hierarki organisasi,pekerja tidak percaya kepada penyelianya dan sebagainya.

Halangan kedua adalah bebanan komunikasi, di mana ia ditakrifkan sebagai amaun atau kuantiti dan kecanggihan mesej yang diterima oleh sesuatu unit analisis.Unit analisis merujuk kepada sebuah jabatan atau seorang pekerja dalam organisasi.Kekontangan maklumat berlaku apabila seorang pekerja dinafikan haknya untuk menerima maklumat dalam jaringan komunikasinya.Kelimpahan maklumat pula berlaku bilamana seorang pekerja tidak berupaya lagi untuk menampung dan memproses maklumat yang terlalu tinggi kuantitinya. Kedua-dua bebanan komunikasi ini iaitu kelimpahan dan kekontangan maklumat boleh diatasi dengan melibatkan anggota organisasi yang tersisih ke dalam mesyuarat, menjalankan agihan kerja yang betul, memberi maklumat kepada pekerja berdasarkan bidangnya sahaja dan melatih pekerja menentukan keutaman tugas.

Konflik

Dalam bab ini juga dibicarakan konflik dalam organisasi, yang merupakan sub tajuk yang terakhir bagi bab ini. Dalam mentakrifkan konflik Dr.Zamri mengambil pandangan beberapa orang sarjana dalam mendefinisikannya.Antaranya pendapat Hocker dan Wilmot yang menyebut konflik adalah pergelutan sekurang-kurangnya di antara dua pihak yang saling bergantung, dan mereka dapat merasakan perbezaan matlamat,kekurangan ganjaran dan halangan daripada pihak kedua dalam pencapaian matlamat masing-masing.

Secara umumnya konflik tercetus dari empat punca iaitu perbezaan pendapat, perbezaan matlamat, perbezaan peranan dan sumber yang terhad.Walau bagaimanapun setiap konflik boleh diselesaikan.Menurut McCroskey dan Wheeless konflik boleh dielakkan dengan meninggalkan punca konflik itu secara fizikal atau psikologikal.Selain dari itu,konflik boleh dihalang dengan melemahkan perbincangan tentang konflik. Persaingan juga dapat menyelesaikan konflik dengan syarat peraturan-peraturannya dipatuhi seperti isu yang dibincangkan perlu ada sempadannya, kenyataan yang dibuat mestilah hanya berkisar kepada masalah konflik sahaja dan bukan peribadi atau individu. Individu yang terlibat juga perlu mengelakkan isu-isu yang sukar dan rumit pada pandangan pihak yang satu lagi.Jika hal-hal seperti ini boleh dielakkan, persaingan dalam bentuk menang-menang akan dapat menyelesaikan konflik. Selain dari itu,konflik juga boleh diselesaikan melalui rundingan dan kompromi serta pendekatan integrasi yang kreatif.

Mendengar Sebagai Satu Komponen Komunikasi

Tajuk di atas merupakan bab ke empat dari buku ini.Dalam aktiviti komunikasi kita sebenarnya memperuntukkan 17% dari kegiatan komunikasi itu untuk membaca,16% untuk bercakap, 14% untuk menulis dan selebihnya 53% adalah untuk mendengar.Dengan demikian aktiviti mendengar adalah yang paling besar peratusannya dalam kegiatan komunikasi kita setiap hari. Sebab itu mendengar adalah aktiviti terpenting dalam proses komunikasi. Pendengaran bergantung kepada persekitarannya, di mana sang pengarang membahagikan ia kepada dua,iaitu persekitaran psikologikal dan persekitaran fizikal.

Persekitaran psikologikal dipengaruhi oleh unsur-unsur pengalaman,sistem nilai, latar belakang pendidikan dan set psikologi di mana set psikologi lebih menjurus kepada sikap pendengar itu sendiri.Umpamanya adakah ia bersikap defensif, agresif atau pun dingin terhadap pihak yang berbicara. Persekitaran fizikal pula adalah keadaan di sekeliling pendengar yang mengandungi unsur-unsur ketajaman pendengaran,usia , tempat, masa dan gangguan dalam komunikasi.Tabiat mendengar juga mendapat sorotan penting dari pengarang buku ini, di mana ia mempnyai unsur buruk dan baik.Pendengar yang berkesan akan cuba mencari unsur-unsur yang menarik dalam setiap subjek yang didengarinya.Manakala pendengar yang tidak berkesan pula akan membiarkan emosinya menguasai dirinya khususnya apabila perkataan-perkataan tertentu.

Pendengaran adalah sesuatu yang boleh diusahakan dan boleh dilatih.Ini menjadikan pendengaran itu kepada dua, iaitu pendengaran pasif dan pendengaran aktif.Pendengaran aktif dipengaruhi oleh empathy,penerimaan,keserasian dan kejituan.Pendengaran pasif pula bertentangan dengan pendengaran aktif.Sikap dan perbuatan kita boleh menjadi penghalang kepada pendengaran itu senidiri.Umpamanya sikap bias,prasangka,dan pendapat-pendapat peribadi yang sempit seringkali palsu dan salah. Kita seharusnya mendengar terlebih daulu sebelum membuat sebarang kesimpulan dari sesuatu pembicaraan yang sedang berlangsung itu.Sikap gopoh dan merasakan diri lebih daulu makan garam, akan menjadikan pendegaran kita sia-sia ,kerana komunikasi yang berkesan tidak akan sempurna dan berjaya tanpa pendengaran yang berkesan.

Komunikasi Dari Sudut Islam

Komunikasi dari sudut Islam adalah merupakan bab ke lima dan terakhir dari buku Santun Komunikasi ini. Pada bahagian ini penulis melihat komunikasi dan mengupas permasalahan komunikasi dari sudut Islam dengan berpandukan ayat-ayat AlQuran dan Hadis, di mana kedua-duanya adalah sumber yang paling autentik bagi sumber hukum dalam Islam. Menurut beliau (penulis) komunikasi dalam Islam adalah dengan tujuan untuk menyampaikan kalam Allah di atas muka bumi ini.Ia berpaksikan usaha menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Antara landasan yang perlu diikut untuk menjadikan komunikasi itu bersifat Islam ialah merancang idea sebelum berkomunikasi,menganalisa siapa bakal pendengarnya,menentukan isi bicara yang benar,gaya bahasa yang baik, nada percakapan yang terkawal,susunan maklumat yang jelas dan berstruktur, bahasa badan yang perlu menyokong bahasa lisan, waras bila berhujah,mengambil kira pendapat orang lain ,melaksanakan apa yang dicakapkan, meninggalkan celaan dan umpatan, menjauhi tanggapan buruk terhadap orang lain dan mendengar dengan berkesan.

Pada setiap topik yang dikupas,pengarang menyokong setiap hujahnya berlandaskan AlQuran dan Hadis.Terakhir beliau menyentuh adab memberi dan menjawab salam dalam Islam.Pada bahagian penutup disingung secara sepintas lalu masalah komunikasi silang budaya,yang mana ia perlu dipelajari khususnya dalam kegiatan dakawah Islami.Selain itu komunikasi dalam bidang kesihatan juga disinggung.Terakhir penulis menyarankan subjek komunikasi hendaklah dimulakan di sekolah lagi,bukan di pusat-pusat pengajian tinggi,seperti yang dilaksanakan di sesetengah negara.


Kritikan dan Ulasan

Seperti yang telah ditekankan di awal tulisannya, Dr.Abdul Muati @ Zamri Ahmad cuba mengketengahkan buku ini bukan dalam nada yang terlalu akedamik sifatnya, kerana sasarannya ialah pembaca awam yang bukan berkecimpung dalam bidang komunikasi.Namun ia juga sesuai untuk rujukan para mahasiswa jurusan komunikasi yang ingin mengingat kembali asas-asas komunikasi dan bidang-bidang yang sering dibincangkan dalam ilmu komunikasi itu sendiri.

Sesuai dengan tujuan itu, buku ini mempersembahkan gaya penulisan yang agak mudah difahami, sekalipun seseorang itu tidak pernah membaca tentang komunikasi sebelum ini.Namun pemaparannya tidaklah menyeluruh tentang bidang komunikasi yang luas itu.Umpamanya,masalah komunikasi silang budaya yang disentuh secara sepintas lalu sahaja,sedangkan ia adalah pembicaraan penting dalam subjek komunikasi.

Namun begitu,ada dua hal yang agak menarik,iaitu perbincangannya mengenai mendengar sebagai satu komponen komunikasi yang disentuh pada bab empat,dan komunikasi dari sudut Islam pada bab akhir. Menjadi pendengar yang baik adalah penting dalam komunikasi, dan ia adalah unsur asas dalam bidang ini.Menjadi pendengar yang baik boleh dicapai melalui proses latihan.Ini adalah beberapa aspek yang jarang dibicarakan oleh pengarang lain dalam bidang ini,walaupun ianya disentuh juga dalam bidang komunikasi interpersonal.

Komunikasi dari sudut Islam mungkin pernah dibincangkan oleh para pangkaji komunikasi,namun ia tidak pernah dibincangkan dalam bilik-bilik kuliah,selain dari ceramah atau pembentangan kertas kerja. Adalah dirasakan sudut ini penting untuk dipekembangkan lagi, memandangkan Islam sendiri memberatkan aspek komunikasi, dan dakwah tidak akan berjalan bahkan tidak akan berkembang tanpa komunikasi di antara manusia.

Namun untuk melihat secara teoritis tentang pemaparan idea dalam buku ini tentunya agak sukar dirasakan, kerana ia memang ditulis oleh seseorang yang sememangnya mahir dalam bidang komunikasi, pun begitu kita mungkin dapat melihat aspek-aspek lain seperti aspek fizikal dan sebagainya.Sekali pandang, warna kulitnya agak kurang menarik, iaitu hijau tua becampur kehitaman dan dilatari dengan tulisan bewarna putih dan kuning.Adalah dirasakan warna dan bentuk kulitnya kurang sesuai dengan aspek-aspek yang hendak dikatakan,iaitu bidang komunikasi. Seharusnya warnanya biarlah lebih lembut dan menawan atau warna yang lebih nipis,seperti hijau muda kuning air dan sebagainya.Ia mungkin lebih menarik jika ada sedikit lukisan atau sketsa di luarnya.

Fon tulisannya pula agak besar dan kurang menarik perhatian berbanding isi yang diperkatakan.Fon sebegini lebih sesuai untuk mereka yang mengalami rabun dekat, sementara jarak di antara perenggan terlalu dekat, menjadikan aspek fizikalnya kurang menarik perhatian.

Kesimpulan

Terlepas dari beberapa kecacatan kecil yang diperkatakan di atas,buku Santun Komunikasi ini memberikan sumbangan yang tidak sedikit dalam bidang komunikasi,khususnya buku-buku komunikasi yang terdapat dalam Bahasa Malaysia.Kita tentu tahu bahawa bidang ini agak baru di negara ini, dan penulisan dalam bidang ini agak terbatas.Dalam hal ini buku ini memberikan sumbangan yang tidak ternilai khasnya untuk bacaan umum serta rujukan untuk para mahasiswa dalam bidang komunikasi, kerana ia menyentuh hampir sebahagian besar tajuk-tajuk yang dibincangkan dalam disiplin ilmu komunikasi. Cuma bidang komunikasi kewartawanan tidak disinggung dalam buku ini, dan ia mungkin sesuai dengan judul buku yang diberi,iaitu Santun Komunikasi.Jika bidang ini disentuh,ia mungkin lebih lengkap dan lebih menyeluruh sifatnya.





Bibliografi:

Abdul Mua’ti@Zamri Ahmad,(2001),Santun Komunikasi,Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka,cetakan pertama.

Prof. Madya Dr.Saodah Wok,Dr. Narimah Ismail dan Prof.Dr.Mohd Yusof Hassan,(2004),Teori-Teori Komunikasi, Janda Baik,Bentung,Pahang, PTS Publicaton & Distributors Sdn. Bhd,cetakan pertama.

Prof. Drs.Onong Uchjana Effendy,(1999), Ilmu Komunikasi: Teori Dan Praktik,Bandung,PT Remaja Rosdakarya,cetakan ke 12.

Dr.Deddy Mulyana dan Drs.Jalaluddin Rakhmat, (2000), Komunikasi Antarbudaya, Bandung,PT Remaja Rosdakarya,cetakan ke lima.


AlKundangi,
3.5.2010
http://alrembauwi.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Post a Comment