Friday, September 17, 2010






Khamis, 2010 September 16
Suspek Utama Pembunuhan Sosilawati "Dilindungi" Pihak Tertentu @ "Beli" Polis?

Berita di bawah ini yang saya salin dan tampal dari Mstar:

KUALA LANGAT: Sebanyak sembilan kes jenayah dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain dilaporkan, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata, peguam yang bergelar Datuk itu dikatakan terbabit dengan tujuh kes jenayah komersial membabitkan penipuan dan pecah amanah berjumlah RM7.1 juta di daerah ini.

"Ini termasuk dua laporan polis melibatkan kehilangan dua orang iaitu seorang warga India dan seorang warga tempatan berbangsa Cina.

"Kes ini dibuka semula untuk siasatan. Sedia maklum, kes jenayah komersial bukan cepat untuk diselesaikan maka perlu diteliti banyak dokumen dan menyoal siasat ramai saksi," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Ditanya sama ada terdapat pegawai atau anggota polis 'dibeli' oleh peguam terbabit bagi menutup kes tersebut, Khalid berkata, tiada laporan dibuat mengenainya setakat ini.

"Jika ada, laporkan kepada polis atau datang berjumpa dengan saya sendiri, ceritakan kepada saya apa maksud polis ini dibeli.

"Sudah semestinya perkara ini akan diambil tindakan sekiranya betul. Setakat ini, semuanya sekadar cakap-cakap saja.

"Kita tidak akan melindungi orang-orang kita yang menyeleweng atau mereka yang melindungi orang jahat," tegasnya. Selain itu, laporan lain yang disyaki mempunyai kaitan dengan suspek adalah kehilangan seorang warga India dan seorang warga tempatan berbangsa Cina.

Khalid berkata, kehilangan warga India dilaporkan kepada polis pada 8 September lalu dan berdasarkan siasatan, ia mempunyai kaitan dengan suspek kes bunuh Sosilawati.

"Walaupun kehilangannya pada awal tahun ini namun laporan mengenainya baru saja diterima polis pada 8 September lalu. Ia kini dalam siasatan polis," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kes bunuh seorang wanita India iaitu T.Selvi turut disyaki mempunyai kaitan dengan kes yang sama.

"Bagaimanapun, kes tersebut masih dalam siasatan meskipun suami mangsa membuat pelbagai ulasan dan mengaitkannya dengan suspek.

"Sebelum ini kami sudah melakukan siasatan awal terhadap kes itu namun sehingga kes baru melibatkan Sosilawati, belum ada petunjuk baru yang diperoleh," jelasnya.

Pun begitu, katanya, kes bunuh wanita itu tidak pernah ditutup kerana polis terus mendapatkan risikan serta maklumat untuk meneruskan siasatan.

"Sekarang kita sudah pun dapat petunjuk baru, maka kes ini terus disiasat," katanya lagi.

Selvi ditikam hingga mati di bahagian dada dan perut di kawasan rumahnya di Taman Cempaka dekat sini pada April 2009 kira-kira pukul 5 petang.

Suami mangsa, P. Balasandram, 54 mendakwa kematian isterinya pada tahun lalu mempunyai kaitan dengan suspek utama kes bunuh Sosilawati.

Ini berikutan dia pernah menjalinkan kerjasama dengan suspek atas urusan pinjaman wang sejak 2006 dengan bertindak sebagai pemberi pinjaman mencecah berpuluh ribu ringgit manakala suspek pula menyediakan dokumen perjanjian.

Sosilawati bersama tiga individu lain telah dipukul sehingga mati dan kemudian dibakar dan abu dibuang di Sungai Panchau berhampiran lokasi kejadian di Ladang Gadong, Tanjong Sepat dekat sini.

Selain Sosilawati, tiga individu lain adalah pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32.

Kesemua mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.


Perlukah Ketua Polis Selangor mengeluarkan kenyataan meminta orang ramai melaporkan kepada pihak polis jika ada bukti yang mengaitkan anggota polis menutup kes peguam lahanat ini? Buatlah siasatan dalaman! Bukannya meletakkan beban hal tersebut di atas bahu orang ramai.

Apabila terbaca laporan tentang suspek yang seolah-olah kebal terhadap tindakan undang-undang walhal ada beberapa kes yang dikaitkan dengannya di atas, saya teringat kiriman yang ditulis oleh Mazidul Sidek di blognya. Saya petik:

...Sewaktu berada di kawasan dianggarkan 600 meter dari lokasi kejadian, pelbagai isu kedengaran ditimbulkan orang ramai.

Mengapa hanya setelah kes pembunuhan Datuk Sosilawati dan 3 mangsa lain terbongkar, baharulah laporan kehilangan sebilangan mangsa sebelum ini akan disemak semula? Bagaimana jika mangsa terkini bukan individu berprofil tinggi? Adakah laporan kes kehilangan orang mempunyai hubung kait dengan suspek utama, peguam berstatus 'Datuk' akan senyap begitu sahaja? Apakah status kertas siasatan dibuka pegawai penyiasat kes sebelum ini?

Mekanik, P. Balasandam, 54 mula membuka mulut, baca di sini dan barangkali soalan sama bermain di mindanya.

Saya bukan individu berhak menjawab semua soalan terbabit. Namun saya percaya soalan sama akan terus meniti di bibir anggota masyarakat jika tidak dijawab secara logik.

"Polis akan membuka semula kertas siasatan kes terdahulu"

Kenyataan itu bukan berbentuk jawaban, hanya sekadar tindakan susulan pihak berkuasa.

Pagi ini, Ketua Polis Negara, KPN Tan Sri Ismail Omar dilaporkan akan berkunjung ke Ibu Pejabat Polis Daerah, IPD Kuala Langat. Tujuan sebenar lawatan itu tidak jelas setakat ini. Saya telah meminta wartawan 999 untuk berada di lokasi sama pada jam 9 pagi hari ini. Jika mengadakan sidang media, mungkin KPN bakal menjawab persoalan di atas.

Ahli perniagaan berusia 42 tahun saya temubual malam semalam di Dengkil mendakwa suspek utama kes pembunuhan gagal menjelaskan bayaran tertunggak hasil 2 transaksi pembelian dan penjualan tanah seluas seluas 30 dan 15 ekar di Batu Feringgi dan Butterworth, Pulau Pinang di antara tahun 2008 dan 2009.

Untuk transaksi pertama, tanah dibeli berharga 25 juta ringgit dan dijual 29 juta ringgit. Maksudnya, beliau, Datuk Sosilawati dan 2 individu kenamaan lain setakat ini masih tidak menerima bahagian keuntungan mereka diuruskan suspek. Saya difahamkan keuntungan diraih kononnya akan dijelaskan dalam tempoh 6 bulan. Kini lebih 2 tahun masa berlalu dan lebih malang seorang daripada rakan kongsi terkorban, pembayaran masih tertunggak..................

Dalam temubual lebih sejam, ahli perniagaan sama mendakwa mengenali suspek utama dan Datuk Sosilawati sebagai rakan perniagaan sejak 3 tahun lalu.

"Datuk (suspek utama) sebelum ini kalau pergi ke mana pun bersama polis," katanya.

Wow!

Pada masa sama saya dimaklumkan, suspek sama berusia 41 tahun itu juga acapkali diiringi beberapa pengawal peribadi mengikut keperluan.....

WOW! Saya ulang kata seruan yang digunakan oleh Mazidul. Sebelum itu, Pak Bakaq a.k.a Penarik Beca menulis hal yang sama. Saya petik dan tampal seperti yang berikut:

Adakah masih wujud lagi pembunuh-pembunuh bersiri yang lepas bebas selepas melakukan jenayah kejam? (Lihat Malaysiakini semalam "Sosilawati murder: 'Suspects may be serial killers'")

Adakah sehingga sembilan orang dibunuh barulah diceritakan kepada umum perbuatan kejam mereka? (Lihat The Star semalam "More may have died at hands of Sosilawati killers")

Adakah kita perlu menunggu seseorang yang terkenal dibunuh barulah kita mendengar laporan bahawa beberapa kes pembunuhan sebelum ini dipercayai dapat diselesaikan? (Lihat Utusan Malaysia 13/9/10 "Suspek pernah bunuh, bakar mangsa")

Adakah kita perlu menunggu seseorang yang terkenal dibunuh barulah kita mendengar laporan bahawa si suspek sebenarnya "mahir 'menghilangkan' pelanggannya"? (Lihat Kosmo! 13/9/10 "Mayat dibakar di ladang ayam")

Adakah kita akan mendengar lagi laporan bahawa suspek pembunuhan "sering terlepas daripada tindakan undang-undang kerana mempunyai hubungan istimewa dengan orang kenamaan"? (Lihat Kosmo! 13/9/10 "Mayat dibakar di ladang ayam")

Kalaulah benar si pembunuh "sering terlepas daripada tindakan undang-undang kerana mempunyai hubungan istimewa dengan orang kenamaan", terhapuskah kebimbangan rakyat tentang keselamatan mereka semata-mata dengan berita bertajuk "NKRA capai hasil, kadar jenayah turun" (Malaysiakini 13/9/10)?

No comments:

Post a Comment