Tuesday, May 11, 2010

TELEVISYEN: ANTARA HIBURAN DAN INFORMASI

TELEVISYEN: ANTARA HIBURAN DAN INFORMASI

Televisyen, walaupun baru berusia setengah abad,namun ianya mempunyai satu tempat yang penting dalam kehidupan bagi hampir seluruh masyarakat di dunia ini.Media televisyen telah memainkan peranan yang penting dalam menyebarkan maklumat dan pembangunan sesebuah negara.Ciri yang paling menonjol bagi televisyen ialah ia adalah alat hiburan.Tetapi sejarah awal televisyen mementingkan peranan sosialnya untuk menyalurkan berita ,hal ehwal semasa dan maklumat untuk rakyat massa,walaupun unsur hiburan tidak pernah dihilangkan (Prof.R.Karthigesu,1995).

Seperti yang diketahui, televisyen adalah satu alatan teknologi komunikasi yang digunakan oleh hampir setiap penduduk di negara ini.Maklumat yang diperolehi dari kaca televisyen adalah berita,maklumat dan pendidikan.Inilah yang sering kita dapatkan dari peti televisyen yang berada di rumah kita.Namun fungsi hiburan adalah yang paling utama yang kita cuba dapatkan dari peti berkenaan yang dilabelkan sebagai kotak bodoh dalam rencana A.Wahab Hamzah itu. Memang dari suatu segi, ada benarnya pendapat beliau yang menyebutkan bahawa kotak bodoh itu telah melahirkan semula imej perkampungan global seperti yang diwar-warkan oleh Mc Luhan,seorang tokoh media yang terkenal itu. Namun sehingga ini tidak dapat dilihat apakah benar kenyataan bahawa peti televisyen turut menyumbang kepada proses globalisasi.Bahkan lebih jauh ia turut menjadi pengancam sosial yang berpengaruh terhadap masyarakat. Ini adalah pendapat yang terlalu ekstrim sifatnya.

Sungguhpun negara kita kini mempunyai pelbagai saluran televisyen,dari agensi kerajaan hinggalah kepada saluran swasta seperti Astro,namun dalam negara kita terdapat pelbagai peraturan dan akta yang tidak membolehkan sesuatu rancangan disiarkan begitu sahaja.Antara akta yang sudah dikenal pasti mengawal media siaran adalah Akta Penyiaran, yang dibentuk pada 1988,dan dikuatkuasakan pada 1989,ekoran dari perkembangan yang dibawa oleh TV3 atau Sistem Televisyen Malaysia Berhad. Akta ini memberikan kawalan terhadap perkhidmatan penyiaran dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya(Md.Salleh Hj Hassan dan Saiful Nujaimi Abd.Rahman,2001).

Dengan begitu tentulah agak sukar untuk saluran-saluran televisyen yang sedia ada untuk memaparkan sesuatu yang berlawanan dengan pelbagai akta yang berkaitan dengan penyiaran termasuk Akta Hasutan,Akat Keselamatan Dalam Negeri, Akta Rahsia Rasmi dan sebagainya.Oleh itu dakwaan A.Wahab Hamzah bahawa siaran televisyen menjadi pengancam sosial boleh dipertikaikan khususnya dalam konteks negara kita Malaysia.Hal tersebut mungkin boleh dijangkakan terutama di negara-negara blok Barat yang lebih liberal sifatnya terhadap dunia penyiaran.

Memang televisyen adalah sebahagian daripada revolusi maklumat dan media yang berkomunikasi dengan masyarakat melalui pelbagai rancangan yang juga pelbagai sifatnya.Sebab itu ia juga bertanggungjawab melahirkan masyarakat berinformasi, tambahan lagi sebahagiannya adalah merupakan saluran rasmi kerajaan untuk berhubung dengan rakyatnya. Tetapi adalah keterlaluan jika kita mengatakan bahawa siarannya tidak lagi boleh disaring oleh sempadan geografi. Apa yang berlaku adalah sebaliknya.Siaran televisyen di negara ini sering mendapat kritikan dari masyarakat jika ada rancangan-rancangan yang keterlaluan dan bertentangan dengan budaya dan nilai serta pegangan hidup rakyat negara ini. Persoalan bahasa pun sudah dipertikaikan oleh sebahagian anggota masyarakat kita, misalnya “saluran infoteinment anda” khasnya di kalangan ahli-ahli bahasa suatu ketika dulu bila ianya cuba dijadikan slogan untuk saluran TV1.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat mahukan pendemokrasian maklumat khasnya dalam abad ke dua puluh satu ini, sepertimana yang disinggung dalam rencana berkenaan,namun pendemokrasian maklumat yang keterlaluan akan membawa kesan yang bertentangan, tidak sepertimana yang kita harapkan. Untuk menyatakan tapisan dan peraturan sudah hilang kesannya juga masih boleh dipertikaikan, kerana dalam negara kita tapisan dan peraturan seperti yang disinggung di awal tulisan ini, masih kuat ikatannya dan amat sukar untuk diungkai.Tentu sahaja kita masih ingat beberapa kes atau tayangan filem yang dinafikan hak penyiarannya oleh pihak berkuasa kerana mempunyai nilai yang tidak sealiran dengan budaya hidup masyarakat setempat.Umpamanya filem yang menggambarkan Nabi Muhammad sebagai makhluk yang mempunyai rupa paras di dalam filem, atau persembahan kumpulan yang terlalu liar sifatnya, di mana budaya kuning agak terasa dan jelas kelihatan,tidak mampu melepasi tapisan penyiaran.Bahkan adakalanya filem tempatan sendiri yang gagal melepasi tapisan Lembaga Penapis Filem dan tidak ditayangkan kepada awam,melainkan setelah beberapa siri pemotongan dibuat sehingga ada yang mencacatkan jalan dan perkembangan plot cerita itu sendiri.

Kalau kita melihat kempen-kempen pilihanraya di Barat,di Amerika misalnya, parti yang memerintah dan parti pembangkang diberi peluang yang sama banyak untuk berdebat dan berkempen di peti televisyen,tidak demikian halnya di negara kita.Parti pembangkang langsung tiada peluang untuk berhadapan dengan rakyat,khususnya di saat hampirnya pilihanraya.Ini memperlihatkan bahawa tapisan maklumat itu masih kuat dan utuh dalam konteks negara kita.Meskipun A Wahab Hamzah sebenarnya lebih bermaksud untuk membicarakan televisyen internet,iaitu siaran yang boleh didapati menerusi internet,namun peratusan penggunaan dalam negara ini masih rendah,jauh berbanding dengan Singapura atau pun Korea. Seseorang tidak akan dapat menonton televisyen internet jika dia tidak boleh atau tidak mempunyai talian internet di rumahnya.Di tempat-tempat awam ia agak sukar dilakukan kerana terpaksa berhadapan dengan pengawalseliaan dan penguatkuasaan undang-undang.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa teknologi televisyen berkembang pesat hari ini,dan memperlihatkan satu kecanggihan yang luarbiasa dari tempuh-tempuh sebelumnya.Konsep televisyen yang digabungkan dengan multimedia mula mengambil alih konsep yang hanya menggambarkan warna dan cerita.Kini terdapat televisyen yang mampu menjadi media interaktif,yang digabungkan dengan komputer dan internet.Namun sejauhmana penggunaannya dalam negara masih terlalalu awal untuk dibuat tinjauan dan kajian.Kebanyakan kita masih memerlukan komputer untuk berhubung dengan dunia internet,atau untuk melaksanakan kerja-kerja menulis atau menaip,di samping membiarkan peti televisyen dengan rancangan hiburan,dokumentari,berita dan sebagainya.Kita sebenarnya tidak begitu tertarik dengan penggunaan peti TV sebagai media interaktif,meskipun sudah wujud peti TV yang boleh mengakses ke internet di samping melakukan kerja penulisan dan sebagainya.

Apa yang terlihat jelas pada masyarakat kini adalah penukaran dari TV kecil kepada TV yang lebih besar sehingga 29 inci besar skrinnya, dan skrinnya pula rata atau leper,namun masyarakat tidak begitu mengindahkan perkembangan teknologinya yang lain,seperti kebolehaksesannya ke dunia internet dan sebagainya di mana ia juga boleh berfungsi sebagai sebuah komputer peribadi.Tanggapan umum adalah televisyen adalah media hiburan di samping maklumat yang disebarkan melalui siaran-siaran berita semasa,dokumentari dan sebagainnya. Bahkan konsep MTV pun tidak begitu mendapat sambutan yang menggalakkan, tidak sepertimana sebahagian remaja termasuk orang-orang dewasa yang tergila-gilakan bola sepak istimewa pada musim Piala Eropah dan Piala Dunia. Begitu juga dengan rancangan-rancangan Malaysian Idol, Audition, Akademi Fantasia dan sebagainya yang merupakan rancangan hiburan semata,namun lebih diminati dan ditunggu-tunggu oleh para belia kita.Tidak ada rancangan yang berbentuk maklumat yang digilai oleh mereka, bahkan siaran berita perdana pun, sebahagian anggota masyarakat mendengar secara sambil lalu sahaja.

Memang ada sedikit kegilaan penonton terhadap rancangan yang berbentuk realiti seperti Suvivor dan sebagainya, namun minat itu tidaklah sebegitu kuat seperti tarikan Akademi Fantasia dan sebagainya yang berbentuk hiburan.Mungkin selera penonton di negara kita masih lemah,dan tidak tertarik dengan persembahan yang berbentuk real berdasarkan falsafah humanisme atau sebagainya,maka itu ia tidaklah memberikan kesan yang besar terhadap sikap dan pandangan hidup rakyat terbanyak di negara ini.Kita harus mengaku bahawa bahawa kita masih di tahap negara-negara membangun,dengan demikian rakyat negara ini tidak terlalu tertarik dengan konsep dan falsafah hidup yang sudah agak jauh dari jangkauan kita, seperti konsep humanisme yang dipaparkan menerusi Survivor itu.

Dengan begitu kesan TV sebagai media interaktif dalam negara ini masih lagi terbatas.Keterbatasan itu juga mungkin disebabkan oleh rancangan-rancangan yang kurang bermutu yang dipersembahkan melalui berbagai slot drama tempatan,yang menjadikan masyarakat kurang berminat untuk menghampiri skrin TV, terutama di kalangan mereka yang pencapaian akademiknya agak tinggi,seperti lulusan maktab dan universiti.Ini mungkin disebabkan oleh rancangan yang kurang bermutu itu,yang tidak menarik minda mereka, dan dalam hal ini ada benarnya kenyataan yang disebut oleh A.Wahab Hamah itu,tentang krisis keyakinan terhadap siaran televisyen di negara ini.Walaupun begitu,bagi masyarakat umum, masyarakat yang sederhana pendidikannya,masih lagi memberikan perhatian yang besar terhadap rancangan-rancangan televisyen di negara kita, yang merupakan tempat melepas lelah bagi mereka setelah seharian bekerja,mencari sesuap rezeki untuk menyara hidup dan persekolahan anak-anak dan keluarga.

AlKundangi,
11.5.2010.

No comments:

Post a Comment