Tuesday, May 18, 2010

MELAYU TIDAK MUDAH LUPA

Melayu Tidak Mudah Lupa

Melayu bukanlah bangsa yang mudah lupa
apa lagi bangsa yang pelupa.

Melayu tidaklah mudah lupa,tapi,
Melayu mudah melupakan sengketa,
mudah menerima segala-galanya takdir yang ditimpakan ke atas mereka
lalu mereka buat-buat lupa.

Mana mungkin Melayu lupa akan adanya pemimpin mereka yang beraja di mata
bersultan di hati,
Melayu tidak lupa akan membuta tulinya kesetiaan Tuah,
membabibutanya keberanian Hang Jebat,
durjananya fitnah Karma Wijaya,
natijahnya dendam Sang Rajuna Tapa,
padahnya hasad dengki Si Kitul.

Melayu tidak mudah lupa
betapa sadisnya Pertugis,
betapa kejinya Belanda
betapa liciknya Inggeris hingga Melayu diaibkan di bumi sendiri
hingga Melayu harus berkongsi negeri
kendati baiknya hati Melayu tidak dihargai.

Melayu tidak mudah lupa
betapa sejarah silamnya melakarkan derita nestapa
mereka yang sekian lama hidup rukun damai,
meski berlainan bangsa
tapi diporakperandakan oleh Barat,
dan kini,
dipimpin oleh Melayu yang gersang keluhuran Melayunya.

Melayu tidak mudah lupa
gara-gara pembesar mereka yang serakah
gemar berbalah sesama sendiri lantaran berbeza idealogi
dan takbur dengan keberadaan sendiri
rakyat yang selama ini aman sentosa pun menjadi pecah-belah
lantas berprasangka, berprejudis antara mereka.

Melayu tidak mudah lupa
perihal para pemimpinnya yang pandai berkata-kata
tapi, liat hendak mengkotakannya
gampang menabur janji, tapi payah melunaskannya.

Melayu tidak mudah lupa akan Melayu yang menindas Melayu,
Melayu yang mengakali Melayu
Melayu yang mencemburui Melayu,
Melayu yang melecehkan Melayu,dan
Melayu yang hipokrit dan oportunis.

AlKisah,
Melayu yang mudah menjadi pelupa, dan
lupa diri adalah Melayu yang berkuasa,
tapi selalu lupa akan kuasa Tuhan
dan ingat-ingat lupa akan kuasa rakyat
yang memilih mereka.

Melayu yang mudah lupa itu,
adalah Melayu yang sudah kaya raya
tapi, lupa untuk berzakat kepada Melayu yang fakir dan miskin
Melayu yang miskin lagi piatu,dan
Melayu yang serba serbinya dhaif.

Melayu yang mudah lupa,
adalah Melayu yang lupa bahawa Melayu bukan pelupa.

Oleh:
Abang Patdeli Abang Muhi,
Dewan Sastera,
Mei,2010.

No comments:

Post a Comment