Tuesday, April 15, 2025

Catatan Yatim Ahmad tentang Tunas Cipta dll

 SASTERA MASA HADAPAN 


TIGA majalah buku Perisa (bil 12/2004) saya beli lagi hari ini menjadikan tujuh naskhah simpanan saya termasuk empat naskhaha saya beli awal bulan lalu dan satu lagi saya beli pada 2015. Kedai itu simpan baki majalah ini kalau masih ada lagi. 


Saya belum lagi memutuskan pemberian Perisa kepada kawan-kawan, melainkan saya yakin dia berminat menulis rencana atau resensi sastera. Sebab pertama saya yakin dia akan membaca buku ini kerana perencana atau perensensi sastera khusus sudah tentu minat tinggi membaca. Jadi buku ini dapat dimanfaatkan.


Saya ada satu program yang saya namakan Syarah BBK di JS dan mungkin peserta berpontensi akan dihadiahkan.


Perisa tidak lagi diterbitkan dan hal ini sudah saya tulis minggu lalu.  Cuma saya tambah info daripada Editor Dewan Sastera Ybhg Fadli al-Akiti menyatakan Perisa adalah atas cadangan Sasrerawan Negara ke-11 Dato Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala. al-Fatihah untuk arwah.


Sementara saya beli juga Tunas Cipta terbitan 2010 kerana tertarik rencana utama Peranan Korporat dalam Pembangunan Sastera. Sampai di rumah saya belek majalah dan (rupa-rupanya)  ditulis oleh Rozlan Mohammed Noor.  


Saya terus teringatkan sahabat saya ini. Jasanya kepada rakan penulis saya khusus Sabah banyak hingga karya mereka dapat dibukukan, masa itu ITBM aktif menerbit karya penulis. 


Pernah bertemu Rozlan di Rumah Pena dan pejabat ITBM pada 2015/16/17, tetapi masa itu saya dan AMT JS fokus terbit antologi karya ahli JS. Jadi saya kata kepada saudara Rozlan, saya tiada karya mahu kumpul dan hantar kepadanya untuk penilaian dan pembukuan jika layak diterbitkan.  Setakat ini lebih 50 antologi puisi, cerpen dan seram diterbitkan JS.


Saya tidak lagi berhubung dengan saudara Rozlan selepas dia bersara dari ITBM dan berharap sahabat fb saya mengetahui keberadaan saudara Rozlan sampaikan salam saya, juga terima kasih saya kerana beliau pernah membahagiakan rakan saya atas terbitan buku karya mereka. 


Juga ucap selamat Hari Raya Puasa, moga sihat sejahtera selalu. 


Mungkin juga saya akan ulas rencana Rozlan berdasarkan isu sastera dan pembukuan masa kini. Pada masa itu (2010) industri buku masih pesat dan PBKL begitu meriah kerana majoriti pengarang kreatif seluruh negara berkampung di ibu kota. 


Pada 2015 atau 2016 saya pernah mengambarkan dalam kolumnis sastera saya di New Sabah Times (kini ditutup) - apakah industri terus kekal begitu kerana masa itu sastera alam maya mula pesat dan menjangka (kalau) kerana teknologi digital dalam perhubungan semakin maju dan penampakan tanda bukan sahaja peminggiran sastera, tetapi media massa konvesional.


Hal yang dijangka itulah kini sudah berlaku dan sastera   mula hilang pengaruh kalangan masyarakat. Buku dilelong dan ada dibuang. 


Jikalau mampu bertahan, kita pertahankan dengan taruhan pelapis sastera muda. Jika orang sastera dan kepimpinan serta penulis masih terus berdegil tidak mahu adakan program sastera dan bimbingan di sekolah, maka keparahan sastera sekarang semakin bernanah dan tinggal hanya kita-kita sahaja. 


Yang kita-kita itu kalau kebanyakan dah tua, apalagi diharap tahun mendatang kalau semua sudah tiada? Sementara pelapisnya tidak mampu menahan gelombang peminggiran rakyat dan akhirnya sastera kemana?


Mungkin pada era mereka (antara tujuh tahun hingga 10 tahun dari sekarang) sastera dan kepimpinan pun lesu dan mungkin badan berkanun yang mengurus sastera seni budaya tidak lagi meneruskan pemberian anugerah sasterawan negara, sekalipun. 


Kecuali anugerah hadiah sastera negeri mungkin diteruskan kerana masih ada akhbar dan buku menerbitkan sastera. 


Kalau ketiadaan khalayak atau khalayak hanya anggota penulis dan persatuan sahaja untuk apa anugerah itu ini, tokoh itu ini sedangkan karya mereka hanya berkeliling pinggan orang sastera sahaja? Dahulu lainlah, masyarakat tidak malu kalau menyebut sastera sebagai bidang mengilmukan mereka, tapi sekarang lihat dan kajilah apa mereka baca dan habsikan masa berjam-jam di telapak tangan.


Orang sastera pun habis masa dengan telefon bimbit.  


Sama ada kita bersedia atau tidak, kerajinan industri pembukuan akan datang bergantung kuasa beli kalangan orang muda atau bakal lahir sekarang. Kalau kita masih budayakan kau tengok aku, aku tengok kau tanpa pembabitan menyeluruh institusi pelajar di semua peringkat rendah, menengah dan universiti, sastera bakal dikuburkan oleh mereka. 


Kuasa beli kalau diabaikan, kerosakannya akan memupuskan sastera.

No comments:

Post a Comment