Tuesday, April 15, 2025

Kuliah Bahasa; Salleh Rahamad

 Kuliah Bahasa


Saya ingin membangkitkan persoalan kata ganda. 

Ini pandangan saya dan terpakai dalam penulisan mahupun suntingan yang saya buat terhadap tulisan lain.

1. Bagi penulisan yang memerlukan huruf besar pada perkataan pertama, ada dua cara penulisan.


1.1 Jika perkataan itu memang kata ganda seperti kanak- kanak, hanya perkataan pertama dihurufbesarkan: Kanak- kanak, Kura-kura, Pari-pari...


1.2 Jika kata ganda jamak, kedua-dua perkataan perlu dihurufbesarkan pada huruf pertama: Burung-Burung, Buku-Buku, Rumah-Rumah...


2. Kata ganda jamak hanya bagi perkataan konkrit, manakala perkataan abstrak tidak perlu digandakan walau bermaksud jamak.

Contoh kata ganda konkrit: batu- batu permata, baju-baju,   jam-jam tangan...


Contoh kata abstrak yang tidak perlu digandakan walau bermaksud jamak: syarat (bukan syarat-syarat), peraturan (bukan peraturan-peraturan), kelemahan (bukan kelemahan-kelemahan), masalah (bukan masalah-masalah), kemudahan (bukan kemudahan-kemudahan)...


3. Kata umum juga tidak perlu digandakan walau bermaksud banyak (jamak): perabot (bukan perabot-perabot), perumahan (bukan perumahan-perumahan), golongan (bukan golongan-golongan), pihak (bukan pihak-pihak)...


4. Jika dalam ayat sudah ada kata keterangan mahupun penjodoh bilangan yang bersifat penanda jamak, objek yang disebut itu tidak perlu digandakan. Contoh:


serangkai kunci (bukan serangkai kunci-kunci)


bendera berkibaran (bukan bendera-bendera berkibaran)


lampu bergantungan (bukan lampu-lampu bergantungan)


Kambing berkeliaran ( bukan kambing-kambing berkeliaran)


banyak perkara (bukan banyak perkara- perkara)


Jadi, judul novel Usman Awang, Tulang-Tulang Berserakan sepatutnya Tulang Berserakan saja. Tetapi, dalam sastera ada poetic licence (lesen memanipulasi bahasa walaupun tidak gramatis) jika ada kesan estetik pada penggunaan bahasa tidak gramatis. 

Tahukan, maksud jamak? Maksudnya banyak atau berbilang. 


Berbilang tak sama dengan terbilang dan sembilang, ya. 


Sajaaa...


Jika ada bantahan boleh bincang. Saya tidak selalu betul.


Nota kaki: Kuih di gambar itu disebut kuih tiram atau di Papar disebut kuih lidah. Rasanya manis kerana ada gula. Di Papar, Sabah, kuih lidah disalut susu tepung nespray. Itu yang pernah saya  rasalah.


Kalau mahu beli, saya boleh pasarkan. Harga sebalang RM25 saja. Iklan niaga.j

No comments:

Post a Comment